Selamat Datang


Dan di antara mereka pula ada orang-orang yang buta huruf, mereka tidak mengetahui akan isi al-Kitab selain dari angan-angan (penerangan-penerangan bohong dari ketua-ketua mereka), dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja." - [ al-Baqarah: 2/78 ].

Ketahuilah! Sesungguhnya aku telah diutuskan dengan al-Qur'an dan yang seumpamanya (as-Sunnah) bersama-sama. Hampir sahaja (munculnya) seorang lelaki yang kekenyangan sambil bersandar di atas katilnya lalu berkata: Hendaklah kalian berpegang kepada al-Qur'an ini sahaja, apa yang dihalalkannya maka halalkanlah dan apa yang diharamkannya. maka haramkanlah - Ketahuilah, apa yang diharamkan oleh Rasul itu serupa seperti apa yang diharamkan Allah". - [ Tirmizi, Abu Daud, Ibn Majah, Ahmad ].

Wednesday, August 22, 2012

Ilmu Azbabun Nuzul

Menurut Imam Jalaluddin as-Sayuthi, jika diteliti terdapat dua cara pendekatan Al-Quran iaitu

1. Pendekatan yang Tidak Didahului dengan Pertanyaan.

Pendekatan ini boleh dilihat dalam ayat-ayat Al-Quran yang mengandungi perintah secara langsung dan larangan kepada kaum mukminin. Biasanya pendekatan ini menggunakan ayat-ayat Al-Quran yang didahului dengan ayat seperti :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا

"Wahai orang-orang yang beriman ..."

Contohnya firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُبْطِلُوا صَدَقَاتِكُم بِالْمَنِّ وَالْأَذَىٰ

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah merosakkan pahala sedekah kamu dengan perkataan mengungkit-ngungkit dan (kelakuan yang) menyakiti ..." [ Al-Baqarah: 2/264 ]

Pendekatan yang tidak didahului dengan pertanyaan ini adalah wajib dipatuhi dan dilaksanakan manakala larangan-larangannya hendaklah dijauhi

2. Pendekatan sebagai jawapan terhadap pertanyaan yang diajukan kepada Nabi SAW.

a. Pertanyaan kaum muslimin yang ditujukan kepada Nabi SAW mengenai perkara-perkara yang belum ada ketetapan daripada Allah SWT ataupun sebagai penjelasan yang lebih lanjut terhadap sesuatu ketetapan yang masih memerlukan penjelasan. Contoh ayat seperti ini adalah seperti berikut:

Maksudnya:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ ﴿ البقرة: ١٨٦﴾

"Dan apabila hamba-hambaku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaku. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahku) dan hendaklah mereka beriman kepadaku supaya mereka menjadi baik serta betul." [ al-Baqarah: 2/186 ]

Pertanyaan-pertanyaan yang diajukan mengandungi perlawanan dan penentangan seperti:

1. Masalah kiamat, terdapat dalam Surah al-A’raf ayat 187, al-Ahzab ayat 163 dan seluruh Surah al-Naziat.

2. Masalah roh, terdapat dalam Surah Al-Isra’ ayat 85.

3. Masalah kejadian masa lampau, terdapat dalam Surah al-Kahfi ayat 83.

Dengan gambaran yang telah disebutkan, jelaslah menunjukkan bahawa ayat-ayat Al-Quran yang diturunkan mempunyai latar belakang dan peristiwa yang berbeza-beza.

Oleh itu, untuk lebih memahami isi kandungan Al-Quran, kita perlu mengetahui latar belakang sebab penurunannya atau dikenali sebagai "asbabulnuzul". Dengan mengetahui asbabul nuzul ayat-ayat Al-Quran kita akan lebih memahami erti dan makna ayat tersebut. Dengan demikian, hilanglah keraguan dalam mentafsirkan ayat-ayat tersebut.

Kaedah bahasa Arab menggariskan kata "Asbab al-Nuzul" [ أَسْبَابُ النُّزُولِ ] terdiri daripada dua suku kata iaitu "Asbab" [ أَسْبَابٌ ] dan "an-Nuzul" [ النُّزُولُ ]. Kata "Asbab" ialah kata jama' daripada kata "sabab" [ سَبَبٌ ] yang bererti "sebab". Sementara kata "Nuzul" pula adalah kata terbitan atau "mashdar" [ مَصْدَرٌ ] daripada kata kerja atau "fi'il" [ فِعْلٌ ] "nazala" [ نَزَلَ ] yang bererti "telah turun". Oleh itu, frasa "Asbab al-Nuzul" bererti "sebab-sebab turun" yang bermaksud sebab-sebab turunnya ayat-ayat al-Quran kepada Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم sebagai utusan Allah SWT.

Dari sudut istilah pula, para mufassirin mendefinisikan "Asbab al-Nuzul" sebagai "apa-apa yang menyebabkan penurunan sesuatu ayat atau beberapa ayat atau pemberian jawapan terhadap sebabnya ataupun menerangkan hukumnya pada masa berlakunya peristiwa itu."

1 comment:

  1. Sangat jelaskan.... apabila baginda nabi diaju sebarang persoalan yg berkaitan syariat, baginda tidak terus menjawab sebaliknya nabi menunggu wahyu Allah dan dengan wahyu tersebut barulah baginda menjawabnya.....

    Ini membuktikan bahwa nabi tidak mempunyai kuasa penuh atau aitoriti dari diri baginda sendiri untuk menjelaskan permasahan syariat tersebut..... jika baginda ada autoriti maka tidak perlulah baginda menunggu wahyu, baginda akan jawab terus....

    Takkan itu pun golongan tuan tak boleh nak fikir....

    ReplyDelete