Apabila dikatakan kepada golongan anti-hadis, kebanyakan ummat Islam dulu dan sekarang, semuanya berpegang kepada al-Qur'an dan as-Sunnah dan tidak ada yang mengingkari kedua-duanya atau salah satu dari kedua-duanya sebagai wahyu Allah seperti mana yang mereka lakukan, iaitu mereka mengingkari as-Sunnah sebagai wahyu Allah kedua setelah al-Qur'an yang wajib diimani oleh setiap jiwa yang berserah diri dan beriman, mereka menjawab dengan membawakan firman Allah berikut:
وَإِن تُطِعْ أَكْثَرَ مَن فِي الْأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ ۚ إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ (٦:١١٦) ه
"Dan jika engkau menuruti kebanyakan penduduk di atas muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah, tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta." - [ al-An'aam: 6/116 ].
Di dalam hal ini, sekali lagi mereka telah melakukan kesilapan di dalam memahami konteks ayat Allah.
Di dalam ayat ini, ada tersebut perkataan "akthara man fil ardh" ( أَكْثَرَ مَنْ الأّرْضِ ) yang bermaksud "kebanyakan penduduk di atas muka bumi". Persoalan paling penting yang perlu difahami ialah, siapakah yang dirujukkan dengan kebanyakan penduduk bumi itu?
Maksud sebenar yang dikehendaki daripada lafaz "kebanyakan penduduk bumi" di sini adalah orang-orang kafir dan musyrikin yang mensyirikkan Allah, orang-orang munafiq yang berpura dengan keimanan mereka, dan orang-orang yang mensyirikkan Allah yang kebanyakan mereka menjadi majoriti penduduk bumi dan memenuhi bumi dengan kesesatan dan kezaliman. Buktinya ada di dalam ayat berikut:
"Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan. Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah berbondong-bondong. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dialah yang amat menerima taubat". - [ an-Nashr: 111/1 - 3 ].
Sekiranya diperhatikan, dapat dilihat kalimah " afwaaja " [ أَفْوَاجًا ] digunakan disitu. Ia membawa maksud "berbondong-bondong", bererti ramai manusia yang akan memasuki agama Allah dan ummat Islam akan menjadi "kebanyakan penduduk bumi" yang menguasai dunia pada ketika itu.
Keadaan ini menjadi lebih jelas sekiranya kita memerhatikan suasana dakwah permulaan di zaman ketika Islam mula-mula berkembang. Ketika itu, jumlah orang-orang mu'min sangatlah sedikit, sedangkan kebanyakan penduduk Mekah masih terdiri daripada orang-orang Musyrikin Quraish yang merupakan penyembah-penyembah berhala. Orang-orang beriman sentiasa ditindas dan dizalimi oleh mereka, sehingga keadaan ini menyebabkan turunnya perintah daripada Allah supaya berhijrah daripada Kota Mekah ke Kota Madinah.
Sekiranya kita memerhatikan dengan baik pada bahagian hujung ayat tersebut, Allah menyebutkan sifat-sifat kepada apa yang dimaksudkan sebagai "kebanyakan penduduk bumi itu", yakni pada frasa:
إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ
"... tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta."
Allah menggunakan dua kalimah, yakni "az-zhann" ( الظَّنُّ ) yang bermaksud "sangkaan" dan kalimah "yahrushuun" ( يَحْرُصُوْنَ ) yang boleh membawa beberapa maksud seperti "meneka-neka, melakukan kedustaan dan mengagak-agak" untuk mensifatkan "kebanyakan penduduk bumi" itu. Jadi, ini memberi satu gambaran bahawa yang dimaksudkan di sini adalah orang-orang yang menentang dakwah Islam yang dibawa oleh Rasul kerana dakwah yang dibawa oleh Rasul itu bersumberkan wahyu dari Allah yang merupakan dalil-dalil dan hujjah-hujjah yang nyata bersandarkan pengetahuan dan keyakinan yang kukuh, bukan hanya sangkaan-sangkaan semata-mata. Adapun orang-orang yang menentang dakwah tersebut dari kalangan orang-orang kafir Musyrikin dan orang-orang munafiq, merekalah sebenarnya yang menuruti sangkaan-sangkaan kerana mereka menolak sesuatu yang pada hakikatnya benar dengan menyangka kebenaran tersebut angan-angan kosong atau dusta semata-mata dan mereka menyangka diri merekalah benar padahal mereka salah dan sesat kerana menentang Allah dan Rasul.
Maka, tidaklah benar untuk merujuk ayat ini kepada "orang-orang yang benar-benar beriman dengan menuruti petunjuk agama yang dibawa oleh Allah dan Rasul melalui wahyu al-Kitab dan as-Sunnah", walaupun mereka berada sebagai "kebanyakan penduduk bumi" kerana ketiadaan dua sifat yang dijelaskan dalam firman Allah itu, yakni mereka menuruti "sangkaan-sangkaan" dan "tekaan-tekaan" sahaja. Orang-orang beriman itu tidak sekali-kali mengikuti sangkaan-sangkaan sahaja seperti mana yang dilakukan oleh orang-orang kafir, sebaliknya hati orang-orang beriman dikurniakan dengan cahaya keyakinan yang kukuh bersumberkan petunjuk Allah yang lurus daripada pengajaran al-Qur'an dan as-Sunnah.
Oleh itu, kami tegaskan, maksud sebenar yang dikehendaki dari ayat ini adalah peringatan daripada Allah di atas banyaknya kesesatan dan sedikitnya kebenaran dan jangan meninggalkan kebenaran kerana sedikitnya manusia yang berpegang kepadanya dan jangan pula menuruti kebatilan kerana banyaknya manusia yang mengikutinya, bukan bermaksud untuk mengatakan yang kebanyakan penduduk bumi itu semuanya sesat walaupun mereka orang-orang beriman.
Demikian ini kerana, seperti mana yang kita ketahui, apabila Islam berkembang dan bantuan serta pertolongan Allah tiba ke atas pengikut-pengikutnya yang beriman, Allah memasukkan cahaya hidayat dan petunjuk ke dalam rumah-rumah dalam setiap negara yang dikuasai Islam di seluruh pelosok dunia, maka jadilah Islam dan penganut-penganutnya ketika itu sebagai majoriti / kebanyakan penduduk yang menguasai bumi Allah ini. Inilah dia perkara yang disebutkan Allah di dalam ayatnya:
إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ (١١٠:١) وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا (١١٠:٢) فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا (١١٠:٣) ه
"Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan. Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah berbondong-bondong. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dialah yang amat menerima taubat". - [ an-Nashr: 111/1 - 3 ].
Alangkah benarnya firman Allah ini! Ayat ini adalah hujjah yang paling kukuh untuk menyokong pemabahasan kami di sini. Tidakkah saudara-saudara sekalian memerhatikan bahagian ayat di atas pada frasa "Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan. Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah berbondong-bondong" - Ini menunjukkan betapa benarnya janji Allah untuk menjadikan ummat Islam sebagai ummat yang dominan ( menguasai ) ke atas ummat-ummat lain dan menjadikan mereka "kebanyakan penduduk muka bumi" Allah ini.
Kemudian, kami kemukakan satu lagi ayat,
وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا ۚ يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا ۚ وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ (٢٤:٥٥) ه
"Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan . Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka." - [ an-Nuur: 24/55 ].
Di dalam ayat ini, Allah mengkhabarkan kepada orang-orang beriman dan beramal soleh dengan keteguhan dan istiqamah ( ketetapan ) bahawa Dia akan menjadikan mereka para penguasa dan pemerintah yang memegang tampuk pemerintahan di atas muka bumi Allah, dengan itu, ia menjadi satu cara dan perantaraan bagi Allah untuk memperkukuhkan kedudukan agama Islam yang suci murni ini sekaligus memberi kekuatan kepadanya untuk menghancurkan orang-orang kafir yang menentangnya.
Maka, jelaslah bahawa di dalam kedua-dua ayat di atas, Allah sendiri telah mengambil keputusan untuk memberi bantuan dan pertolonganNya untuk memperkukuhkan kedudukan agama Islam dan para pengikutnya yang beriman dalam bentuk kemenangan-kemenangan ke atas musuh-musuh, memperbanyakkan jumlah mereka, seterusnya, dengan bertambah bilangan mereka itu menjadikan mereka memegang kuasa pemerintahan di atas muka bumi ini.
Keadaan "kebanyakan penduduk bumi" di zaman Rasulullah
Sekiranya kita melihat kepada maksud ayat apabila dirujukkan kepada situasi di zaman Rasulullah, maka kita akan mendapati bahawa pada permulaan Islam berkembang, orang-orang beriman berada dalam bilangan yang amat sedikit dan mereka pula sentiasa tertindas. Hanya kerana mereka beriman dengan dakwah Islam yang dibawa oleh Rasulullah, mereka telah disiksa dengan bermacam-macam siksaan. Pada ketika itu, jumlah mereka memang sedikit dan "kebanyakan penduduk bumi" itu tidak lain merujuk kepada orang-orang Musyrikin Mekah yang menguasai Kota Mekah ketika itu. Maka, Allah berfirman menegaskan, sekiranya kamu mengikuti mereka yang merupakan kebanyakan penduduk muka bumi ketika itu, yakni orang-orang kafir Musyrikin Mekah, nescaya mereka akan menyesatkan kamu daripada jalan Allah yang lurus.
Kemudian, setelah berlaku penghijrahan ke Kota Madinah, kebanyakan penduduk Madinah yang menguasai bumi Madinah ketika itu memeluk Islam dan menerima dakwah Rasulullah. Situasi beralih tempat, ketika ini, kaum Muslimin pula yang memegang tempat sebagai kebanyakan penduduk bumi. Jadi, tidaklah tepat untuk dikatakan bahawa ayat Surah al-An'aam ( 6/116 ) itu merujuk kepada mereka pula, kerana tidak mungkin kaum Muslimin yang menjadi "kebanyakan penduduk bumi" ketika itu boleh disesatkan Allah daripada jalan yang benar, seperti mana yang telah kami jelaskan di atas.
Kami telah menulis satu lagi risalah khas yang amat menakjubkan yang membawakan bukti-bukti daripada lembaran sejarah bagaimana Allah sendiri telah menunaikan janji-janjiNya seperti mana yang tersebut dalam kedua-dua ayat di atas dan lain-lain ayat - Ini merupakan hujjah yang paling hebat dan paling kuat yang dimiliki oleh para pejuang Sunnah untuk mempertahankan kesucian dan kemuliaan Sunnah dari musuh-musuh Islam seperti golongan anti-hadis. Kami telah memasukkan risalah tersebut di pautan berikut. Mudah-mudahan pembaca yang budiman dapat mengambil sedikit masa untuk menziarahinya:
Bantuan Dan Pertolongan Allah Ke Atas Ahlus Sunnah dan Para Pejuang Sunnah Sepanjang Zaman - Antara Hujjah Terkuat dan Terhebat Bukti Kebenaran Sunnah Sebagai Wahyu Allah
Dengan itu, kita mohon perlindungan dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani daripada penyelewengan dan kesesatan serta serangan-serangan syaitan dan hawa nafsu ke atas jiwa yang lemah. Tidaklah diri yang lemah dan hina ini terdaya melakukan apa-apa melainkan dengan taufiq dan izin Allah jua. Saya sudahi penjelasan ini dengan tasbih,
سُبْحَانَ الله وَبِحَمْدِهِ سُبْحَانَ الله وَبِحَمْدِكَ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوْبُ إِلَيْهِ, سُبْحَانَكَ رَبِّكَ رَبِّ العِزَّةِ عَمَّا يَصِفُوْنَ وَالسَّلَامُ عَلَى المُرْسَلِيْنَ وَالحَمْدُ لله رَبِّ العَالَمِيْنَ
No comments:
Post a Comment