Selamat Datang


Dan di antara mereka pula ada orang-orang yang buta huruf, mereka tidak mengetahui akan isi al-Kitab selain dari angan-angan (penerangan-penerangan bohong dari ketua-ketua mereka), dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja." - [ al-Baqarah: 2/78 ].

Ketahuilah! Sesungguhnya aku telah diutuskan dengan al-Qur'an dan yang seumpamanya (as-Sunnah) bersama-sama. Hampir sahaja (munculnya) seorang lelaki yang kekenyangan sambil bersandar di atas katilnya lalu berkata: Hendaklah kalian berpegang kepada al-Qur'an ini sahaja, apa yang dihalalkannya maka halalkanlah dan apa yang diharamkannya. maka haramkanlah - Ketahuilah, apa yang diharamkan oleh Rasul itu serupa seperti apa yang diharamkan Allah". - [ Tirmizi, Abu Daud, Ibn Majah, Ahmad ].

Thursday, May 10, 2012

Bantuan Dan Pertolongan Allah Ke Atas Ahlus Sunnah dan Para Pejuang Sunnah Sepanjang Zaman - Antara Hujjah Terkuat dan Terhebat Bukti Kebenaran Sunnah Sebagai Wahyu Allah


Oleh: Ahmad Dailami

الله أكبر! الله أكبر! الله أكبر! ولله الحمد! ه
Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Bagi Allah segala pujian!

Diantara bukti dan hujjah yang paling hebat, paling kuat dan paling kukuh bagi membuktikan kebesaran dan kemuliaan ajaran Sunnah sebagai wahyu Allah yang kedua setelah al-Qur'an, Allah telah mendatangkan bantuan dan pertolongannya yang mulia kepada para pejuang dan pemegang bendera-bendera Sunnah sepanjang zaman Islam disinari cahaya kegemilangannya yang terang benderang sehingga menyinari seluruh pelosok alam maya. Tamadun Islam telah menyaksikan bagaimana ia ditegakkan melalui dua dasar yang amat teguh dan kukuh ini.

Golongan anti-hadis sekali-kali tidak akan dapat membantah kenyataan ini, kerana bantuan dan pertolongan yang dimaksudkan di sini telah disaksikan sendiri oleh ratusan ribu mata ummat Islam yang sentiasa berdiri di atas jalan petunjuk Rasulullah serta wasiat Baginda supaya mereka sentiasa kembali berpegang kepada al-Qur'an dan as-Sunnah. Yang demikian ini kerana Allah telah menzahirkan semua perkara itu melalui perantaraan siri-siri peristiwa bersejarah yang memang telah sedia tercatit dalam lembaran sejarah. Ini adalah tanda kebesaran dan kemuliaan al-Quran dan as-Sunnah yang dinampakkan Allah kepada mereka yang benar mengikuti wasiat Rasulullah supaya berpegang kepada kedua-duanya yang tersebut di dalam hadis Baginda:

"Aku telah meninggalkan kepada kalian dua perkara yang kalian tidak akan sesat selama-lamanya selagi kalian berpegang teguh padanya: Kitab Allah dan Sunnah RasulNya".

Mereka yang berpegang kepada nasihat Rasulullah ini telah menyaksikan sendiri di hadapan mata mereka akan rahmat, kasih sayang, kemuliaan, bantuan serta pertolongan Allah yang tiba kepada mereka di waktu mereka berjuang menentang musuh-musuh mereka yang menyerbu dari segala arah, sama ada melalui pertempuran di medan perang, mahupun pertempuran dalam erta kata serangan pemikiran para musuh Islam yang sentiasa mencari jalan untuk menghapuskan kemuliaan Islam dan sekalian ajarannya yang berpandukan al-Qur'an dan as-Sunnah. Ini merupakan janji Allah yang benar yang tidak dapat disangkal oleh sesiap pun, ia merupakan pintalan hujjah yang tidak dapat dirungkaikan oleh sifat degil dan ingkar golongan anti-hadis yang sentiasa membenci Sunnah.

Ada beratus-ratus riwayat sejarah yang mengiktiraf bantuan dan pertolongan Allah yang turun kepada Ahlus Sunnah, yakni mereka yang berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah.

Sultan Salahuddin Yusuf al-Ayyubi, Kemenangannya Ke Atas Tentera-tentera Salib Serta Kejayaan Merampas Kota Baitul Muqaddas Daripada Genggaman Tentera Salib Kristian

Sultan Salahuddin Yusuf al-Ayyubi ( 532 H - 589 H ) merupakan pemerintah Islam yang mengasaskan kerajaan Ayyubiyyah dan memimpin pasukan tentera kaum Muslimin bagi menentang kemaraan tentera Salib Kristian. Beliau seorang pemimpin dan pahlawan Islam yang sangat terkenal dengan sifat wara', lemah lembut dan belas kasihan terhadap musuh-musuhnya. Pada Perang Salib ke-2 telah berjaya mengambil semula Baitul Maqdis dari tangan tentera Salib, di mana kejayaan ini dianggap sebagai kejayaan terbesar dalam sejarah Islam. Dan pada perang Salib ke-3, beliau terpaksa berdepan dengan 3 buah kuasa besar yang datang untuk merampas semula Baitul Maqdis yang baru sahaja ditawan oleh Sultan. Tiga buah kuasa besar tersebut adalah:

1. Negara England - Dipimpin oleh Raja Richard I yang terkenal dengan gelaran "Richard The Lionheart" atau "Richard Si Hati Singa".

2. Negara Perancis - Dipimpin oleh Raja Philip Agustus atau Philip II.

3. Negara German - Dipimpin oleh Raja Ferederick Barbarossa atau Ferederick I.

Mereka bergabung tenaga membentuk sejumlah tentera yang amat besar, berjumlah lebih dari 200,000 orang sambil bergerak menentang kekuatan ketenteraan Sultan Salahuddin al-Ayyubi yang tidak sehebat itu. Namun, bantuan dan pertolongan Allah telah tiba kepada Sultan Salahuddin, sehingga Allah menggagalkan rancangan ketiga-tiga buah kuasa besar itu, satu persatu, dengan cara yang begitu hebat dan menakjubkan.

Raja Ferederick Barbarossa - beliau memimpin jumlah tentera yang paling besar di antara ketiga-tiga orang Raja yang memimpin pasukan Salib ini, yakni sebanyak 100,000 orang.

Bantuan dan pertolongan Allah Taala ke atas Sultan Salahuddin al-Ayyubi dan Kaum Muslimin yang mulia telah tiba dalam 3 bentuk:

1. Allah telah menenggelamkan Raja German dan tentera-tenteranya - Raja Ferederick telah membawa pasukan perangnya merentasi Sungai Salem atau Sungai Calycadnus. Ditakdirkan Allah, beliau dan seluruh tenteranya tenggelam di sungai itu. Beliau sendiri mati dan saki baki tenteranya yang masih tinggal kehilangan semangat, lalu berangkat pulang ke negara asal mereka. Oleh kerana Raja German membawa bilangan tentera yang paling banyak, maka dengan kehancuran beliau dan tentera-tenteranya ini, hampir 2/3 kekuatan tentera Salib telah lenyap. Yang tinggal kemudian hanyalah Raja Richard ( England ) dan Raja Philip ( Perancis ) yang masih berjuang meneruskan ekspidisi perang Salib ke-3 itu.

2. Allah telah mencampakkan rasa tidak tenteram ke dalam hati musuh - Berlaku konflik dalaman, salah faham dan pertengkaran di antara Raja England dan Raja Perancis. Raja Perancis, yakni Raja Philip Agustus merasa kecewa dengan sikap Raja Richard, lalu mengambil keputusan untuk meninggalkan Perang Salib ke-3 itu dan pulang ke negaranya.

3. Allah telah menekan musuh dengan tekanan dan masalah luar - Setelah mengalami beberapa kemenangan, namun masih tidak berjaya mendekati Kota Baitul Maqdis, cuaca menjadi buruk dan pada musim sejuk, Raja Richard telah jatuh sakit. Ditambah pula, timbul khabar angin bahawa adiknya, Putera John, yang berada di England sedang merancang untuk merampas kuasa pemerintahannya dan mengambil alih England. Dalam situasi terdesak ini, akhirnya beliau melakukan perjanjian damai dengan Sultan Salahuddin al-Ayyubi, kemudian berangkat pulang ke negaranya.

Akhirnya, seluruh ekspidisi Perang Salib ke-3 gagal dan tentera-tentera Salib tidak berjaya merampas semula Kota Baitul Maqdis daripada tangan kaum Muslimin.

Dikatakan, Sultan Salahuddin al-Ayyubi memerintahkan supaya semua tenteranya yang terpilih bangun pada waktu malam untuk bertahajjud, membaca al-Qur'an dalam solat tahajjud atau diluar solat tahajjud dan berzikir kepada Allah serta melakukan lain-lain amalan malam. Sepanjang tempoh itu, mereka sentiasa beroleh kemenangan dalam peperangan. Namun pada suatu masa, beliau merasa hairan, mengapa tenteranya sering kalah. Lalu, setelah menyiasat, beliau mendapati bahawa tentera-tenteranya tidak lagi bangun malam untuk bertahajjud, sebaliknya mereka berbual-bual kosong dan melakukan kerja sia-sia.

Sultan Muhammad II ( Muhammad al-Faatih ) Dan Tentera-tenteranya Membuka Kota Konstatinopel - Kandungan Hadis Rasulullah Tentang Pembukaan Kota Konstatinopel Telah Terbukti Benar

Sultan Muhammad II atau lebih dikenali dengan gelaran "Muhammad al-Faatih" ( 1432 - 1481 ) adalah salah seorang pemimpin kerajaan Turki 'Uthmaniyyah. Beliau telah berjaya menakluk Kota Konstatinopel yang merupakan ibu negara kerajaan Byzantine Rom ketika beliau berumur 21 tahun sahaja, di mana penaklukan kota itu hampir mustahil untuk dilakukan di zaman itu. Ini kerana, Kota Konstatinopel memiliki benteng pertahanan yang kukuh setebal 4 tembok dan sebelum Sultan berjaya menaklukinya, beberapa cubaan dari pihak Islam telah dilakukan untuk menawannya, namun semuanya menemui kegagalan.

Sultan Muhammad al-Fateh seorang yang memilki kepakaran dalam tiga bidang: bidang ketenteraan, sains dan matematik dan beliau telah berjaya menguasai enam Bahasa: bahasa Turki, Greek, Hebrew, Arab, Parsi dan Latin. Dan beliau ini diriwayatkan tidak pernah meninggalkan solat malam (solat tahajjud).

Rasulullah sendiri pernah bersabda dalam hadis:

"Kota Konstatinopel benar-benar akan dibuka, maka sebaik-baik Sultan adalah Sultannya dan sebaik-baik tentera adalah tentera itu".
- Hadis riwayat Imam Ahmad dan Ibn Abi Syaibah.

Sabdaan Rasulullah ini telah menjadi kenyataan apabila Sultan Muhammad al-Fateh menjadi pemerintah Islam yang mula-mula berjaya menawan kota tersebut. Maknanya, kandungan hadis ini: "sebaik-baik Sultan adalah Sultannya dan sebaik-baik tentera adalah tentera itu" merujuk kepada beliau dan tentera-tentera beliau. Ini merupakan hujjah yang sangat ajaib di dalam menjelaskan kebenaran hadis-hadis Rasulullah sebagai wahyu yang datang dari Allah juga seperti al-Qur'an. Hujjah ini sahaja sudah boleh dijadikan alasan cukup kuat untuk menentang fahaman anti-hadis yang mendakwa bahawa hadis-hadis Rasulullah itu bukan wahyu Allah, tetapi sebaliknya hanya rekaan manusia. Telah jelaslah, golongan anti-hadis telah sesat dan tertipu dengan diri mereka sendiri kerana sememangnya mereka sangat jahil tentang asal usul Islam dan al-Qur'an, tidak pernah mengkaji sejarah langsung. Oleh itu, mereka tidak mengetahui perkaitan di antara al-Qur'an dan rahsia kebenarannya yang disisipkan Allah sebagai bukti-bukti dalam sejarah Islam.

Panglima Thaariq Ibn Ziyaad Dan Kejayaannya Memimpin Tentera-tenteranya Menawan Negara Sepanyol

Thariq bin Ziyaad ( 670 - 720 AD ) adalah seorang panglima Islam yang terkenal kerana berjaya memimpin tenteranya menawan Kota Sepanyol ketika beliau berusia 18 tahun dan membuka kota tersebut dengan cahaya kesucian Islam.

Pada tahun 711 H, Panglima Thariq bin Ziyaad telah memimpin tentera-tenteranya untuk menawan Kota Andalusia daripada pemimpinnya yang yang bernama Raja Roderic daripada bangsa Visigothic sehingga mereka tiba di sebuah gunung yang bernama "Jabal at-Thaariq". Untuk menambahkan semangat pasukan tenteranya, beliau mengambil keputusan untuk membakar kapal-kapal laut yang mereka gunakan, dan beliau berkhutbah:

Wahai sekalian manusia, di manakah kalian ingin lari? Lautan berada di belakang kalian, sedangkan musuh berada di hadapan kalian. Tidaklah kalian memiliki apa-apa sekarang, demi Allah, kecuali kebenaran dan kesabaran. Ketahuilah bahawa sesungguhnya kalian di jazirah ( tanah semenanjung ) ini lebih lemah daripada anak-anak yatim di atas mejanya sang penindas. Sesungguhnya musuh-musuh sedang menghadapi kalian dengan tentera mereka dan pedang-pedang mereka. Dan bekalan makanan mereka begitu banyak, sedangkan kalian tidak memiliki apa-apa kecuali pedang-pedang kalian dan tidak pula ada bekalan makanan kecuali apa yang kalian ambil daripada tangan musuh-musuh kalian. Dan sekiranya hari berlalu ke atas diri kalian di atas keadaan terdesak ini, sedangkan kalian tidak menyelesaikan urusan ini ( tidak menang ), nescaya habislah kalian. Maka, akan berubahlah hati-hati musuh daripada ketakutan kepada kalian, sehingga mereka menjadi berani ke atas kalian. Maka hendaklah kalian menolak akibat yang hina ini dengan menentang si penzalim ini ( pemerintah Andalus ), maka sesungguhnya dia telah meninggalkan kepada kalian kubunya yang kukuh. Sesungguhnya ini adalah peluang yang baik, sekiranya kalian suka kepada kematian.

Ada banyak lagi kisah-kisah seperti ini. Mereka semua adalah Ahlus Sunnah yang patuh, serta tunduk merendah diri kepada ajaran Islam dengan menerima tarbiah al-Quran, sentiasa menghayati al-Quran dalam setiap urusan dalam kehidupan mereka. Mereka sentiasa merenung dan mendalami makna al-Quran, mereka bangun pada waktu malam sambil membaca al-Quran dalam Solat Tahajjud. Tapi, dalam masa yang sama, mereka juga mengambil Sunnah Rasulullah, mereka menghafal hadis-hadis Rasul dan mengamalkannya dengan penuh keyakinan, kerana menganggapnya sebagai wahyu dari Allah yang wajib ditaati dan dipatuhi seperti al-Quran.

No comments:

Post a Comment