Alhamdulillah,
Golongan anti-hadis telah membawa satu kekeliruan di dalam masalah penggunaan kalimah "as-Sunnah" ( السُّنَّةُ ) yang digunakan di dalam al-Qur'an. Mereka mendakwa, satu-satunya Sunnah yang wujud hanyalah Sunnah Allah kerana di dalam al-Qur'an telah digunakan lafaz | Sunnatullah | atau "Sunnah Allah" ( سُنَّةُ الله ). Dengan itu, mereka menjadikan ini sebagai satu lagi alasan untuk membantah Sunnah Rasulullah. Di dalam al-Qur'an memang tidak disebutkan kalimah "Sunnah Rasuul", yang disebutkan hanyalah Sunnah Allah - demikianlah dakwaan mereka.
Makna asal perkataan as-Sunnah ( السُّنَّةُ )
Makna asal perkataan as-Sunnah ( السُّنَّةُ ) ialah: | at-thariiqah | ( الطَّرِيْقَةُ ) dan | as-siirah | ( السِّيْرَةُ ) bermaksud jalan, cara dan adat kebiasaan. Ini adalah makna dari sudut bahasa atau | lughah | ( لُغَةٌ ) dan ia digunakan secara meluas pada banyak tempat. Kemudian, perkataan ini telah dipindahkan dari makna bahasa ini kepada makna istilah yang agak berbeza-beza bergantung kepada bidang ilmu yang menjadi topik perbincangannya.
Kesalahan Dalam Memahami Makna Kalimah Sunnatullah ( سُنَّةُ الله ) Dan Membezakannya Dengan Makna Kalimah Sunnaturrasul ( سُنَّةُ الرَّسُوْلُ )
Di dalam hal ini, golongan anti-hadis telah terkeliru dalam memahami makna Sunnah Allah dan Sunnah Rasul, sehingga mereka menyangka bahawa Sunnah Allah itu seperti al-Qur'an atau wahyu Allah. Dengan itu, mereka membandingkannya dengan Sunnah Rasul. Padahal, kedua-dua lafaz ini memiliki makna yang sangat berbeza dan merujuk kepada perkara yang berbeza walaupun menggunakan satu kalimah "sunnah". Oleh kerana perkataan as-Sunnah itu kalimah 'Arab, kami jelaskan, pengggunaannya yang tepat harus dirujuk daripada ilmu kosa kata Bahasa 'Arab sendiri. Oleh itu, kami akan menjelaskannya di sini, InsyaAllah.
Makna Perkataan Sunnah Allah atau Sunnatullah
Perkataan Sunnah Allah atau Sunnatullah ( سُنَّةُ الله ) - sekiranya perkataan "Sunnah" digunakan dan dikaitkan dengan Allah seperti mana yang digunakan di dalam al-Qur'an di beberapa tempat, membentuk lafaz | sunnatullah | ( سُنَّةُ الله ) secara umumnya membawa maksud "ketentuan dan ketetapan Allah tertentu yang menjadi peraturan dan adat kebiasaan ke atas hamba-hambaNya yang beriman mahupun kafir". Daripada maksud ini, terbit beberapa maksud lain yang menjadi cabangnya, yang dapat kita perhatikan pada ayat-ayat yang menggunakan perkataan "Sunnah Allah". Di sini, kami kemukakan contoh-contohnya:
1. Jalan atau cara hikmah ( kebijaksanaan ) Allah dan ketaatanNya. Contoh untuk makna ini sama dengan contoh pada makna ke-4 di bawah.
2. Jalan dan cara yang merupakan adat kebiasaan Allah di dalam perbuatanNya yang sentiasa membantu para auliyaNya ( orang-orang beriman yang merupakan kekasih-kekasihNya ) dengan cara memberikan mereka kemenangan ke atas musuh-musuh mereka, mengangkat kebenaran dan menjatuhkan kebatilan. Ini yang dimaksudkan di dalam firman Allah:
"Dan sekiranya orang-orang kafir itu memerangi kamu, tentulah mereka akan berpaling melarikan diri dengan kekalahan; kemudian mereka tidak akan beroleh sesiapapun yang menjadi pelindung atau memberikan pertolongan. ( Allah menetapkan ) "Sunnatullah" yang telah berlaku semenjak dahulu lagi; dan engkau tidak akan mendapati sebarang perubahan bagi cara dan peraturan Allah itu". - [ al-Fath: 48/22 - 23 ].
"Dan sesungguhnya mereka hampir-hampir berjaya mengganggumu daripada tinggal aman di bumi ( Makkah ) dengan tujuan mereka dapat mengusirmu dari negeri itu; dan jika berlaku demikian, maka mereka tidak akan tinggal di situ sesudahmu melainkan sedikit masa sahaja. ( Demikianlah ) "Sunnatullah" orang-orang yang telah Kami utuskan sebelummu dari Rasul-rasul Kami; dan engkau tidak akan dapati sebarang perubahan bagi peraturan Kami yang tetap itu." - [ al-Israa': 17/76 - 77 ]
3. Jalan dan cara yang merupakan adat kebiasaan Allah yang mendatangkan azab dan kebinasaan kepada ummat-ummat yang terdahulu kerana sikap mereka yang kufur dan tidak mahu beriman kepada Allah dan Rasul-rasul mereka. Selain daripada ummat-ummat terdahulu, digunakan juga kepada sesiapa sahaja yan kufur seperti orang-orang musyrikin dan munafiqin.
"Kerana pada masa mereka didatangi oleh Rasul-rasul yang diutus kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan, mereka bergembira dengan pengetahuan yang ada pada mereka; dan dengan yang demikian mereka pun diliputi oleh azab yang mereka perolokkan dulu. Maka ketika mereka melihat azab Kami, mereka berkata: "Kami beriman kepada Allah semata-mata, dan kami kufur ingkar kepada benda-benda yang dengan sebabnya kami menjadi musyrik. Maka iman yang mereka katakan semasa melihat azab Kami, tidak berguna lagi kepada mereka; yang demikian adalah menurut "Sunnatullah" yang telah berlaku kepada hamba-hambaNya. Dan pada saat itu rugilah orang-orang yang kufur ingkar." - [ Ghaafir: 40/84 - 85 ].
"Demi sesungguhnya, jika orang-orang munafik, dan orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya, serta orang-orang yang menyebarkan berita-berita dusta di Madinah itu tidak berhenti (dari perbuatan jahat masing-masing), nescaya Kami akan mendesakmu memerangi mereka; sesudah itu mereka tidak akan tinggal berjiran denganmu di Madinah lagi melainkan sebentar sahaja. Mereka berada dalam keadaan terlaknat. Di mana sahaja mereka ditemui, mereka ditangkap dan dibunuh habis-habisan. Yang demikian adalah menurut "Sunnatullah" dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi "Sunnatullah" itu". - [ al-Ahzaab: 33/60 - 62 ]
4. Jalan dan cara yang merupakan adat kebiasaan Allah yang menjadikan keluasan kepada para Nabi-nabi dan Rasul-rasul di dalam melakukan perbuatan yang dihalalkan Allah kepada mereka dan tidak ada keberatan bagi mereka dalam melakukan perbuatan tersebut dan tidak pula ada sebarang hukuman bagi mereka kerana melakukan perbuatan yang memang dihalalkan ( di dalam maksud ini, ia merujuk kepada pernikahan atau perkahwinan yang merupakan Sunnah semua para Nabi dan Rasul, Muhammad dan Rasul-rasul yang sebelumnya ).
"Dan ketika engkau ( wahai Muhammad ) berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah ( dengan nikmat Islam ) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: "Jangan ceraikan isterimu itu dan bertaqwalah kepada Allah", sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut ( kepada cacian manusia ) padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti ( daripada engkau melanggar perintahNya ). Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya ( dengan menceraikannya ), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya ( lalu menceraikannya ). Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku. Tidaklah ada sebarang keberatan yang ditanggung oleh Nabi dalam melaksanakan perkara yang telah ditetapkan Allah baginya. ( Yang demikian itu ) adalah "Sunnatullah" di dalam ( kehidupan ) kepada mereka yang telah lalu ( Para Nabi dan Rasul sebelumnya ). Dan (ingatlah) perintah Allah itu adalah satu ketetapan yang ditentukan berlakunya". - [ al-Ahzaab: 33/38 ]
Demikianlah pembahasan tentang makna sebenar lafaz "sunnatullah".
Makna Perkataan Sunnah Rasul atau Sunnaturrasul
Adapun perkataan "as-Sunnah", apabila digunakan dengan lafaz "ar-Rasuul" ( الرَّسُوْلُ ) menjadi "Sunnatur Rasuul" ( سُنَّةُ الرَّسُوْلِ ), maknanya juga boleh dilihat daripada dua sudut: Dari sudut bahasa, seperti mana perkataan "Sunnah" itu membawa maksud jalan, cara hidup, dan adat kebiasaan maka perkataan "Sunnah Rasul" bermaksud "jalan, cara hidup dan adat kebiasaan yang ditempuh dan dibawa oleh Rasul".
Di sisi para muhaddisin ( ahlul hadis ), perkataan "Sunnah" membawa maksud "Apa-apa yang dipindahkan, dinukilkan atau disandarkan kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم daripada perkataannya, perbuatannya dan pengakuannya atau pensifatan terhadap rupa bentuknya atau akhlak dan kelakuannya, sama ada sebelum kebangkitannya menjadi Rasul atau selepasnya".
Di sisi para fuqaha' ( ahli fekah, ahli hukum ahkam Islam ), perkataan "Sunnah" membawa maksud "Segala apa yang bukan merupakan kewajipan atau kefardhuan ( hukum wajib atau fardhu ). Perkara inilah yang dinamakan "sunat" atau "sunnah". Ia juga menggunakan istilah-istilah seperti mustahab ( مُسْتَحَبٌّ ) yang bermaksud "disukai", manduub ( مَنْدُوْبٌ ) yang bermaksud "dituntut", naafilah ( نَافِلَةٌ ) yang bermaksud "tambahan" dan sebagainya".
Kesimpulan
Setelah pembahasan yang kami kemukakan, jelaslah bahawa ada satu perbezaan yang jelas pada makna perkataan "Sunnah" apabila digunakan untuk Allah ( Sunnah Allah ) dan Rasul ( Sunnah Rasul ). Perkataan Sunnah Allah itu tidaklah digunakan untuk merujuk kepada wahyu Allah seperti al-Qur'an yang mengandungi perintah dan kewajiban, larangan dan tegahan, peringatan dan nasihat atau apa sahaja yang terkait dengan wahyu Allah, kerana sekiranya itu yang dimaksudkan, maka perkataan "kitabullah" ( كِتَابُ الله ) atau "kalaamullah" ( كَلَامُ الله ) atau "al-wahyu" ( الوَحْيُ ) kerana makna perkataan "Sunnah Allah" itu adalah "ketentuan dan ketetapan Allah yang menjadi peraturan umumnya ke atas hamba-hambaNya yang beriman mahupun kafir". Sedangkan perkataan "Sunnah Rasul" merujuk kepada jalan, cara, kebiasaan yang dibawa oleh Rasul yang merupakan wahyu Allah yang kedua setelah al-Qur'an al-Kariim.
No comments:
Post a Comment