Selamat Datang


Dan di antara mereka pula ada orang-orang yang buta huruf, mereka tidak mengetahui akan isi al-Kitab selain dari angan-angan (penerangan-penerangan bohong dari ketua-ketua mereka), dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja." - [ al-Baqarah: 2/78 ].

Ketahuilah! Sesungguhnya aku telah diutuskan dengan al-Qur'an dan yang seumpamanya (as-Sunnah) bersama-sama. Hampir sahaja (munculnya) seorang lelaki yang kekenyangan sambil bersandar di atas katilnya lalu berkata: Hendaklah kalian berpegang kepada al-Qur'an ini sahaja, apa yang dihalalkannya maka halalkanlah dan apa yang diharamkannya. maka haramkanlah - Ketahuilah, apa yang diharamkan oleh Rasul itu serupa seperti apa yang diharamkan Allah". - [ Tirmizi, Abu Daud, Ibn Majah, Ahmad ].

Tuesday, June 5, 2012

Bahagian II - Ilmu Mustholah Hadis [ مُصْطَلَحُ الحَدِيْثِ ] ( Ilmu Kajian Hadis ) : Sanad [ سَنَدٌ ] atau Isnad [ إِسْنَادٌ ] Hujjah Tertinggi Untuk Membenarkan Hadis Rasulullah Dan Sebab Mengapa Hadis Sahih Adalah Kebenaran Mutlaq Yang Tidak Boleh Dibantah

Di antara sebahagian daripada tanda kebesaran dan kemuliaan as-Sunnah sebagai wahyu Allah kedua setelah al-Qur'an, Allah telah menganugerahkan kepada ummat Muhammad ini sesuatu yang diistilahkan sebagai "sanad" [ سَنَدٌ ] atau "isnad" [ إِسْنَادٌ ]. Ini adalah sebahagian daripada nikmat Allah yang dikhususkan hanya kepada ummat Muhammad sahaja dan tidak diberikan kepada ummat-ummat para Nabi dan Rasul yang terdahulu. Pengkajian terhadap sanad sesuatu hadis, penceritaan, periwayatan, kisah, khabar berita dan sebagainya adalah satu-satunya jalan yang terunggul di dalam memastikan kebenaran atau kesahihannya. Ini juga adalah satu bukti bahawa para ilmuwan Islam dan ulama-ulama Sunnah tidak pernah menerima semata-mata sesuatu perkhabaran atau riwayat itu tanpa mengkajinya terlebih dahulu. Kajian yang dimaksudkan ini menjadikan sanad sebagai sasarannya.

Sejarah Kemunculan Sanad Dan Wujudnya Sikap Mempersoalkan Dari Mana Diambil Hadis-hadis Sebelum Menerimanya

Setelah kewafatan Rasulullah صلى الله عليه سلم, sebahagian para sahabat meriwayatkan apa yang mereka dengar daripada Rasulullah (iaitu hadis-hadis) kepada sebilangan yang lain. Demikianlah keadaannya berterusan pada manusia yang datang setelah mereka yang terdiri daripada kalangan para tabi'in (generasi yang hidup setelah zaman Rasulullah wafat, mereka tidak sempat bertemu dengan Rasulullah), mereka meriwayatkan pula hadis-hadis itu daripada para sahabat Rasulullah (yang hidup di zaman Rasulullah, sempat bertemu dengannya dan mendengar hadis itu daripadanya). Di sebalik itu, mereka tidak pula bersikap mempersoalkan kebenaran hadis-hadis itu (hanya menerima terus sahaja).

Keadaan ini berterusan sehinggalah berlakunya fitnah dan musibah yang membawa kepada pembunuhan Khalifah Uthman bin Affan dan siri-siri perpecahan serta perselisihan yang mengikutinya, zahirnya mazhab-mazhab bid'ah (pembaharuan dan reka cipta dalam soal agama) yang sesat, di mana para Ahlul Bid'ah - manusia yang melakukan penambahan perkara-perkara baru terhadap permasalahan akidah dan ajaran Islam yang tidak pernah wujud dan tidak pernah dibawa oleh Rasulullah, mula mencipta kedustaan-kedustaan dan mengaitkannya dengan nama Rasulullah. Sedikit demi sedikit, keadaan ini mula mengancam kedudukan as-Sunnah sebagai salah satu teras kepada ajaran Islam setelah al-Qur'an. Setiap puak yang muncul (seperti puak Syi'ah) mula mencari-cari perkataan dan perkhabaran palsu yang direka-reka, lalu mengaitkannya kepada Rasulullah bagi menyokong dakyah yang dibawa mazhab-mazhab mereka.

Melihat kepada kedaaan yang genting ini, para ulama dari kalangan sahabat-sahabat Rasulullah dan para tabi'in mengambil keputusan untuk bergiat di dalam penukilan (penyebaran) hadis-hadis dan mereka tidak menerima kecuali hadis yang mereka ketahui jalan periwayatannya ( yakni sanad yang menjelaskan sumbernya ), dan mereka berusaha mengkaji sifat-sifat yang ada pada para penyampai / perawi hadis seperti kebenaran, kejujuran dan keadilan dan sebagainya. Perkara ini hanya dapat dilakukan melalui satu cara: melalui jalan atau kaedah Isnad dan kajian terhadap selok belok Isnad.

Imam Muslim rah. telah menukilkan dalam muqaddimah kitabnya, Sahih Muslim, daripada Ibn Sirin rah., katanya: "Mereka tidak pernah mempersoalkan tentang al-isnad, maka ketika berlakunya fitnah, mereka berkata: Namakan kepada kami perawi-perawi kamu (yakni siapa dia yang menyampaikan hadis yang kamu sebutkan itu), maka telah dilihat kepada Ahlus Sunnah dan diambil hadis mereka. Dan dilihat kepada Ahlul Bid'ah, maka tidak diambil (diterima) hadis mereka".

Permulaan kepada keazaman ini wujud di zaman sebilangan sahabat Rasulullah yang masih kecil, mereka membesar dan wafat pada zaman terkemudian, iaitu zaman fitnah tersebut.

Di dalam muqaddimah al-Imam Muslim, daripada Mujahid رحمة الله عليه katanya, telah datang Basyir al-'Adawiyy kepada Ibn 'Abbas, maka beliau (Basyir) mula menyampaikan hadis-hadis sambil berkata: "Telah bersabda Rasulullah, telah bersabda Rasulullah". Ibn 'Abbas tidak mendengarkan hadis-hadisnya dan tidak melihat pun kepadanya. Maka beliau berkata: "Wahai Ibn 'Abbas, mengapakah aku tidak melihat engkau mendengarkan hadis-hadisku, aku menceritakan hadis daripada Rasulullah, engkau tidak mendengarnya?". Maka berkata Ibn 'Abbas: "Sesungguhnya kami, pada satu masa, apabila mendengar seorang lelaki berkata: Rasulullah telah bersabda, Rasulullah telah bersabda, penglihatan kami menjadi pantas dan kami memasang telinga kami dengan teliti sambil mendengarnya, maka apabila manusia telah mula mendaki kehinaan (zaman fitnah dan penipuan berleluasa), kami tidak mengambil daripada manusia melainkan apa yang kami ketahui (sanadnya, rantaian atau sumbernya)".

Begitulah usaha tersebut diteruskan oleh generasi yang hidup di zaman setelah Rasulullah wafat, mereka berguru dan mengambil hadis dari para sahabat Rasulullah (yang sempat hidup dan mendengar hadis-hadis tersebut dari lidah Rasulullah sendiri), yakni para "tabi'in" telah berusaha menggiatkan diri mereka dalam pencarian Isnad ketika tersebarnya fitnah dan kebohongan yang dilakukan di atas nama Rasulullah di zaman mereka.

Imam Abul 'Aliah رحمة الله عليه berkata: "Kami mendengar satu riwayat di Kota Basrah (yang didakwakan) berasal dari para sahabat Rasulullah, maka tidaklah kami berpuas hati sehingga kami menunggang kenderaan ke Kota Madinah dan kami mendengar sendiri riwayat (hadis) tersebut daripada mulut-mulut mereka (para sahabat Rasulullah yang memang banyak sekali yang tinggal di Kota Madinah)".

Dan rasa kepentingan yang begitu mendalam terhadap isnad ini wujud di suatu zaman yang mendesak, di mana fitnah dan pembohongan bermaharajalela, sehingga manusia ada yang tidak merasa malu dan takut untuk melakukan kedustaan di atas nama Rasulullah di atas sebab dan tujuan peribadi. Padahal, Rasulullah telah memberi amaran yang tegas dalam masalah ini, di dalam hadis Baginda:

عَنْ أَنَسٍ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَنْ كَذِبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنِ النَّارِ

Daripada Anas katanya: Rasulullah bersabda: "Barangsiapa yang dengan sengaja berdusta di atas namaku, maka hendaklah dia menempah tempatnya di dalam neraka".

Hadis ini telah menjadi hujjah kepada wujudnya kepentingan yang amat mendalam terhadap kajian pada setiap periwayatan yang datang daripada Rasulullah, kerana kedustaan yang dilakukan di atas nama Rasul itu tidak sama dengan kedustaan yang selainnya. Oleh kerana Rasulullah diutuskan sebagai pembawa wahyu, apa-apa sahaja yang diambil daripada Baginda wajib diketahui dan dipastikan kesahihannya. Hadis di atas juga telah menjadi hujjah untuk menghancurkan " hadis palsu " atau " hadis maudhu' " yang berleluasa penyebarannya di zaman fitnah yang dimaksudkan pada penejelasan kami di atas.

Takrifan Sanad Dari Sudut Bahasa

Takrifan "as-sanad" [ السَنَدُ ] atau "al-isnaad" [ الإِسْنَادُ ] adalah,

الطَّرِيْقٌ أَوِ سِلْسِلَةُ الرِّجَالُ المُوْصَلُ لِلْمَتْنِ إِلَى قَائِلِهِ

"Jalan atau rantaian perawi-perawi (penyampai) riwayat yang disambungkan kepada matan (tulisan) hadis".

Yakni setiap lelaki yang menjadi " penyampai " sekaligus " penerima " kepada riwayat tersebut yang saling menerima dan menyampaikannya sehingga membentuk satu rantaian yang sampai kepada Rasulullah (bagi hadis-hadis).

Penjelasan Tentang Kepentingan Isnad Yang Amat Mendalam Terhadap Agama Islam

Pengetahuan tentang sanad melibatkan kajian tentang setiap lelaki yang menjadi penyampai, pendengar dan penerima kepada hadis-hadis, riwayat-riwayat dan perkhabaran-perkhabaran. Di atas sebab itu, tidak pernah ditemui satu jalan daripada jalan-jalan kajian yang boleh membenarkan apa yang disampaikan oleh seseorang, melainkan diketahui dengan teliti sikap, perwatakan, akhlak dan lain-lain sifat yang wujud pada diri lelaki tersebut. Apabila telah difahami dengan sejelas-jelasnya bahawa lelaki itu seorang yang kuat berpegang teguh kepada agama, tidak dikenal sebagai manusia yang melakukan kebohongan dan kedustaan atau menyampaikan riwayat-riwayat palsu, seorang yang kuat hafalan dan ingatannya, sangat teliti dalam memelihara setiap perkara yang didengarnya sama ada dengan cara menghafalnya dalam dada dengan kesungguhan atau menulis setiap butirannya di atas kertas dan sebagainya.

Sanad Adalah Satu-satunya Jalan Untuk Mengamalkan Kandungan Firman Allah, Surah al-Hujuraat (49/6) - "Wahai Sekalian Orang-orang Beriman, Apabila Datang Kepada Kamu Seorang Fasiq, Maka Selidikilah ..."

Berdasarkan keterangan yang kami bawakan dalam perenggan di atas, sanad atau isnad adalah satu-satunya jalan untuk mengamalkan kandungan firman Allah, Surah al-Hujuraat, ayat 6 yang berbunyi:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." - [ al-Hujurat: 49/6 ].

Di dalam ayat ini, Allah telah menegaskan tanggungjawab orang-orang beriman - salah satu daripada tanda kepada keimanan yang wujud di dalam diri mereka adalah mereka tidak harus menerima sesuatu perkhabaran itu tanpa mengkaji asal usulnya terlebih dahulu, iaitu daripada manakah datangnya perkhabaran itu, dari siapa ia diterima dan kepada siapa pula ia disampaikan dan sebagainya.

Sanad adalah rantaian nama-nama lelaki yang merupakan penyampai dan penerima kepada sesuatu riwayat atau perkhabaran. Sekiranya diperhatikan dengan sebaiknya, "penerima" dan "penyampai" adalah dua bahagian penting asal usul kepada terbitnya segala riwayat, penceritaan, perkhabaran, kisah-kisah dan apa sahaja yang terbit daripada lidah seorang manusia, di mana tanpa salah satu daripada kedua-duanya, tidak mungkin perkhabaran itu boleh terhasil. Sekiranya sesuatu riwayat itu hanya ada "penyampai", tidak ada sesiapa yang menerima dan menyebarkannya. Begitu pula, sekiranya tidak ada "penerima", tidak ada sesiapa yang boleh menjadi sasaran kepada sampainya perkhabaran itu. Apabila begini keadaannya, tidaklah dapat diketahui satu cara untuk memastikan kesahihan sesuatu riwayat kecuali dengan merujuk terus kepada keadaan lelaki yang menjadi "penerima" dan "penyampai" kepada perkhabaran tersebut.

Kajian terhadap "penerima" dan "penyampai" adalah satu-satunya jalan untuk memastikan kebenaran atau kepalsuan sesuatu riwayat atau khabar berita. Sekiranya tidak begitu, maka kita tidak memiliki satu jalan lain yang membolehkan kita untuk mengetahuinya. Ini kerana, riwayat akan menjadi benar dengan benarnya sifat sang penyampai dan penerima, di mana mereka yang diketahui sebagai jujur dan benar sikapnya, baik akhlaknya, dekat dengan amalan-amalan kebaikan yang diperintahkan oleh agama, mereka sentiasa akan diterima periwayatan mereka. Begitulah sebaliknya, bagi sesiapa yang berdusta, suka berbohong, dan banyak melakukan kesilapan dalam menyampaikan riwayat, dia tertolak dan tidak diterima periwayatannya.

Beberapa Perkataan Tentang Kepentingan Isnad

1. Sanad adalah anugerah khusus untuk ummat Muhammad dalam memelihara keterangan-keterangan agama dari lidah Rasul.

قَالَ أَبُوْ عَلِيُّ الجُوَيْنِيْ : " خَصَّ الله تَعَالَى هَذِهِ الأُمَّةَ بِثَلَاثَةِ أَشْيَاءِ لَمْ يُعْطِها مَنْ قَبْلَهَا، الإِسْنَادِ، وَالأَنْسَابِ، وَالإِعْرَابِ " أه

Imam Abu 'Ali al-Juwaini رحمة الله عليه berkata: "Allah telah mengkhususkan kepada ummat ini dengan 3 perkara yang tidak dikurniakan kepada ummat-ummat sebelumnya: al-Isnad (sanad), al-Ansaab (nasab keturunan) dan al-I'rab (kajian tatabahasa)".

وَقَالَ أَبُوْ حَاتِمُ الرَّازِيْ : " لَمْ يَكُنْ فِيْ أُمَّةٍ مِنَ الأُمَمِ مِنْ خَلْقِ اللهِ آدمَ، أُمَنَاءُ يَحَفَظُوْنَ آثَارَ الرَّسُوْلِ إِلَّا فِيْ هَذِهِ الأُمَّةِ " أه

Imam Abu Haatim ar-Raazi رحمة الله عليه berkata: "Tidak ada walau satu ummat pun daripada ummat-ummat daripada penciptaan Allah kepada Nabi Adam as yang dipercayai untuk menghafal keterangan-keterangan Rasul kecuali ummat ini (ummat Muhammad)".

2. Sanad adalah sebab dapat diketahui apa yang benar, yang lemah dan yang palsu.

قَالَ عَبْدُ الله بْنِ الْمُبَارَكَ : " الإِسْنَادُ مِنْ الدِّيْنَ وَلَوْلَا الإِسْنَادُ لَقَالَ مَنْ شَاءَ مَا شَاءَ فَإِذَا قِيْلَ لَهُ مَنْ حَدَّثَكَ ؟ بَقِيَ " أَيْ : بَقِيَ مُتَحَيِّرًا لَا يَدْرِيْ مَا يَقُوْلُ، لِأَنَّهُ لَا إِسْنَادَ مَعَهُ يَعْرِفُ بِهِ صِحَّةَ الحَدِيْثِ أَوْ ضَعْفِهِ

Imam 'Abdullah Ibn al-Mubarak رحمة الله عليه berkata: "Isnad itu adalah sebahagian daripada agama, sekiranya tidak ada al-isnad, maka akan berkatalah sesiapa sahaja apa-apa sahaja yang disukainya".

Maka apabila ditanyakan kepadanya: "Siapakah yang menceritakan ini kepada kamu?", dia terdiam, yakni terdiam dalam kehairanan, tidak dia mengetahui apa yang dikatakannya (dari mana datangnya) kerana tidak ada isnad bersama-samanya yang dapat dia mengetahui melalui perantarannya, kebenaran riwayatnya itu atau kelemahannya.


قَالَ سُفْيَانُ الثَّوْرِيْ : " الإِسْنَادُ سِلَاحُ الْمُؤْمِنِ ، إِذَا لَمْ يَكُنْ مَعَهُ سِلَاحٌ فَبِأَيِّ شَيْءٍ يُقَاتِلُ؟ ". أه

Berkata Imam Sufyan at-Thauri رحمة الله عليه : "Isnad adalah pedang orang beriman, apabila seseorang tidak memiliki pedang, maka dengan apakah dia berperang?"

عَنْ ابْنِ سِيْرِيْنَ " إِنَّ هَذَا العِلْمَ دِيْنٌ فَانْظُرُوْا عَمَّنْ تَأْخُذُوْنَ دِيْنَكُمْ ". أه

Daripada Imam Ibn Sirin رحمة الله عليه : "Sesungguhnya ilmu (sanad) ini adalah agama, maka perhatikanlah daripada siapa kalian mengambil agama kalian".

3. Sanad membezakan keadaan ummat Muhammad dan orang-orang Yahudi dan Nasrani (Kristian)

Golongan anti-hadis pernah mengeluarkan satu kenyataan: "Golongan Sunni suka percaya kepada hadis-hadis dan cerita-cerita pelik, aneh dan rekaan yang tidak ada dasarnya, yang diketahui daripada nenek moyang mereka".

Jawapan kami terhadap permasalahan ini: Kami menukilkan perkataan al-Imam Muhammad bin Haatim bin al-Muzhaffar رحمة الله عليه ,

إِنَّ الله تَعَالَى قَدْ أَكْرَمَ هَذِهِ الأُمَّةَ وَشَرَّفَهَا وَفَضَّلَهَا بِالإِسْنَادِ، وَلَيْسَ لِأَحَدٍ مِنَ الأُمَمِ كُلِّهَا قَدِيْمِهَا وَحَدِيْثِهَا إِسْنَادٌ، إِنَّمَا هِيَ صُحُفٌ فِيْ أَيْدِيْهِمْ، وَقَدْ خَلَطُوْا بِكُتُبِهِمْ أَخْبَارَهُمْ، فَلَيْسَ عِنْدَهُمْ تَمْيِيْزٌ بَيْنَ مَا نَزَلَ مِنَ التَّوْرَاةِ وَالإِنْجِيْلِ، وَبَيْنَ مَا أَلْحَقُوْهُ بِكُتُبِهِمْ مِنْ الأَخْبَارِ الَّتِيْ اتَّخَذُوْهَا عَنْ غَيْرِ الثِّقَاتِ. أه

"Sesungguhnya Allah Taala telah memuliakan ummat ini dan meninggikannya dengan al-isnad, dan tidaklah ada walau satu ummat pun daripada ummat-ummat terdahulu hingga kini yang memiliki isnad. Hanyalah yang ada pada tangan mereka beberapa lembaran suhuf sahaja, dan mereka telah mencampur adukkan perkhabaran-perkhabaran dengan kitab-kitab mereka, maka tidaklah ada bagi mereka satu cara untuk membezakan di antara apa yang diturunkan daripada kitab Taurat dan Injil dan apa yang mereka dapati (ketahui) daripada kitab-kitab mereka yang berupa khabar-khabar yang mereka ambil daripada orang yang tidak terpercaya".

Daripada perkataan ini, untuk menolak dakwaan golongan anti-hadis bahawa kami golongan Sunni semata-mata menerima sahaja bulat-bulat segala perkhabaran yang sampai kepada kami tanpa mengkajinya terlebih dahulu, kami jelaskan, sanad atau isnad adalah sebab mengapa setiap apa yang ada pada kami daripada riwayat-riwayat, kisah-kisah, khabar-khabar dan segala penceritaan, sentiasa berada dalam keadaan kekal terpelihara dan telah dipastikan kebenarannya sebelum diambil dan disebarkan.

Oleh kerana itu, perkara ini yang membezakan ummat Islam dengan kaum Yahudi dan Nasrani, kerana melalaui kajian terhadap al-Isnad atau as-Sanad, kami dapat mengetahui apa yang benar dan apa yang palsu, apa yang betul dan apa yang salah. Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak ada sanad, maka mereka tidak memiliki satu cara untuk membezakan apa yang sampai kepada mereka, sehingga mereka mencampur adukkan apa sahaja khabar yang batil, dustaan, dan rekaan yang mereka ambil daripada rahib-rahib atau ulama-ulama mereka yang menyalahgunakan kuasa, mereka mencampuradukkannya dengan kitab-kitab mereka, yakni Taurat dan Injil. Inilah sebabnya mengapa kitab Injil yang digunakan oleh orang-orang Kristian pada hari ini tidak lagi boleh dipercayai kerana kandungannya telah ditambah-tambah dan diubah-ubah sehingga tidak dapat dibezakan lagi mana kandungan aslinya dan mana yang telah ditokok tambah itu.

4. Penjelasan Imam Muslim tentang kepentingan sanad dan mengetahui keadaan lemah atau dusta setiap riwayat yang dikaitkan dengan Rasulullah (hadis-hadis Rasulullah).

al-Imam Muslim رحمه الله تعالى, pengarang kitab Sahih Muslim, kitab hadis yang berada pada tempat kedua setelah kitab Sahih Bukhari sebagai kitab hadis yang paling sahih - ada menulis satu bab yang bertajuk:

بَابُ وُجوْبِ الرِّوَايَةِ عَنِ الثِّقَاتِ وَتَرْكِ الكَاذِبِيْنَ وَالتَّحْذِيْرِ مِنَ الكِذْبِ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Bab Kewajipan Meriwayatkan Daripada Manusia yang Terpercaya Dan Meninggalkan Para Pembohong serta Amaran terhadap Perbuatan Melakukan Kedustaan atas Rasulullah.

di mana beliau menulis:
"Ketahuilah, semoga Allah memberi taufiq kepada anda. Bahawa menjadi kewajipan ke atas setiap orang untuk mengetahui perbezaan di antara riwayat-riwayat yang sihat dan lemah dan perbezaan di antara manusia yang jujur terpercaya daripada manusia yang dituduh (sebagai pendusta) bahawa tidak diriwayatkan daripada mereka kecuali apa yang diketahui kesahihan sumbernya, dan (menjadi kewajipan bagi setiap orang untuk mengetahui) tersembunyinya kecacatan penyampainya dan berwaspada terhadap perkara yang wujud pada penyampai (khabar dan periwayatan itu) daripada kalangan mereka yang dituduh (sebagai pendusta, suka berbohong, lemah kekuatan ingatannya, banyak melakukan kesilapan dan sebagainya) dan (juga daripada kalangan) manusia yang melakukan kezaliman (terhadap agama Allah) daripada kalangan Ahli Bid'ah (yang melakukan penambahan dan perkara baru yang tidak wujud dalam agama) dan dalil ke atas perkara yang kami sebutkan di sini adalah firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." - [ al-Hujuraat: 49/6 ].

فَإِن لَّمْ يَكُونَا رَجُلَيْنِ فَرَجُلٌ وَامْرَأَتَانِ مِمَّن تَرْضَوْنَ مِنَ الشُّهَدَاءِ

"Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu sukai menjadi saksi ..." - [ al-Baqarah: 2/282 ].

وَأَشْهِدُوا ذَوَيْ عَدْلٍ مِّنكُمْ

"... dan adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu ..." - [ at-Thalaaq: 65/2 ].

Yakni "saksi-saksi" yang dimaksudkan dalam ilmu hadis adalah penyampai / perawi hadis-hadis Rasulullah yang menjadi "saksi" yang melihat sendiri orang yang menyampaikan perkhabaran kepadanya bahawa dia adalah seorang manusia yang memiliki semua sifat "as-thiqaat" (terpercaya), jujur dan melakukan kedustaan dan sebagainya.

Hadis-hadis palsu adalah hujjah kami ke atas golongan anti-hadis bahawa bukan semua hadis yang kami anggap benar sebelum kami mengkaji terlebih dulu keadaan periwayatan sesebuah hadis. Maka, mana sahaja hadis yang kami kaji dan kami dapati tidak terkandung apa-apa kecacatan dalamnya, kami terima dan ia diletakkan dalam ketagori hadis sahih (sejahtera) atau hasan (baik). Adapun sebaliknya, sekiranya hadis tersebut ada kecacatan dalamnya, maka ia diletakkan dalam ketagori hadis dhaif (lemah).

Ilmu Kajian Sanad - Ilmu al-Jarah Wa at-Ta'diil ( عِلْمُ الجَرْحِ والتَّعْدِيْلِ ) Dan Jawapan Kepada Anti-Hadis Yang Mendakwa " Pengkritik Hadis "

Ilmu kajian sanad, atau ilmu kritik hadis atau ilmu kritik perawi-perawi hadis disebutkan di dalam Bahasa 'Arab sebagai "ilmu al-jarh wa at-ta'diil".

[ عِلْمُ الجَرْحِ والتَّعْدِيْلِ ]

Kami telah bertemu dengan beberapa orang golongan anti-hadis yang tidak menolak semua hadis. Mereka berpandangan, hadis-hadis harus dinilai secara kritikal, mana yang bersesuaian dengan al-Qur'an harus diambil, mana yang bertentangan dengannya harus ditinggalkan.

Kami tegaskan, ilmu al-Jarh Wa at-Ta'diil ini adalah ilmu yang membicarakan tentang kelemahan, kecacatan dan kritikan terhadap hadis-hadis dari sudut sanad dan perawi-perawinya. Ini adalah satu alasan mengapa kami harus mengatakan kepada mereka:

"Anda tidak perlu menjadi kritikal terhadap hadis-hadis dengan menggunakan hawa nafsu anda, kerana para muhaddisin dan ulama-ulama hadis di dalam Islam yang hidup sepanjang zaman panji syariat Allah tertegak di atas muka bumi ini, telah pun memiliki ilmu khusus untuk mengkritik hadis-hadis Rasulullah dan setiap hadis yang sampai kepada kita hari ini yang telah diyakini kesahihannya serta menjadi pegangan dan amalan kepada seluruh ummat Islam yang berdiri di atas jalan al-Qur'an dan as-Sunnah, telah pun melalui kajian yang sangat mendalam dan penapisan yang amat teliti melalui ilmu kritik hadis ini. Maka, tidak ada jalan bagi orang-orang jahil yang tidak memahami disiplin ilmu hadis dengan sebaik-baiknya untuk mengkritik hadis-hadis yang telah pun selesai dan terhenti penilaiannya. Apa yang perlu dilakukan kepada hadis-hadis sebegini adalah menerimanya dengan hati yang tenang dan meyakininya sebagai wahyu Allah yang kedua setelah al-Qur'an".

"Sekiranya kalian telah benar-benar menguasai seluruh disiplin ilmu hadis, ilmu kajian matan (teks asal)nya, ilmu al-Jarah Wa at-Ta'diil dan kajian sanadnya, mengetahui bagaimana untuk membezakan di antara perawi hadis yang lemah dan yang kuat, mengetahui segala pembahagian hadis seperti hadis-hadis " ahad / tunggal " [ أَحَدٌ ] dan " mutawaatir / bertingkat " [ مُتَوَاتِرٌ ], " muttafaq 'alaihi / disepakati " [ مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ ], " sahih / sejahtera " [ صَحِيْحٌ ], " hasan / baik " [ حَسَنٌ ], " dha'if / lemah " [ ضَعِيْفٌ ], tingkatan hadis-hadis dhaif seperti " munqathi' / terputus " [ مُنْقَطِعٌ ], " mudallas / disembunyikan " [ مُدَلَّسٌ ], " mudhtharib / bergolak " [ مُضْطَرِبٌ ], " maudhu' / palsu " [ مَوْضُوْعٌ ] dan sebagainya, serta mengetahui dengan mendalam setiap aspek-aspek dalam disiplin ilmu musthalah hadis seperti perselisihan riwayat, tarikh-tarikh, nama-nama perawi, perselisihan kalimah-kalimah pada matan hadis dan sebagainya, maka pada ketika ini, kalian telah pun mencapai martabatnya seorang pengkritik hadis dan kalian telah diizinkan untuk mengkritik hadis-hadis yang berdasarkan ijithad / pendapat peribadi kalian. Sekiranya kalian mendapati diri kalian tidak berada pada taraf ilmu yang cukup yang membolehkan kalian mengetahui semua perkara di atas, maka kami tegaskan satu ketentuan yang pasti: Kalian hanya layak untuk menutup mulut kalian dan berhenti daripada menampakkan kebodohan dan kejahilan yang sama sekali tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada Islam"

"Hanyasanya perkara yang mereka sebutkan sebagai bersifat kritikal terhadap hadis Rasulullah itu hanya satu angan-angan bodoh yang terbit daripada fikiran mereka yang tidak pernah berhenti daripada melakukan fitnah terhadap Islam. Mereka yang memiliki cara pemikiran yang tidak berdisplin dan berilmu tentang Islam, asal usulnya dan selok belok ajarannya, namun mereka masih ingin berbicara tentang sesuatu yang mereka sendiri tidak memiliki pengetahuan tentangnya. Perkara ini adalah kesimpulan yang sangat jelas berdasarkan sikap dan perwatakan mereka yang dapat kami perhatikan apabila kami berbicara dengan mereka. Mereka tidak memiliki pengetahuan yang cukup tentang selok belok displin ilmu-ilmu Islam, apatah lagi ilmu kritik hadis yang kami sebutkan di sini, maka mereka hanya menggunakan itu sebagai satu alasan untuk menutup sikap buruk sangka dan rasa benci mereka kepada peribadi Rasulullah yang mulia. Mereka ingin pula menimbulkan keraguan ke dalam hati orang-orang beriman yang memahami hakikat kebenaran dan ketinggian roh ajaran Islam sebagai agama rahmat dan kebahagiaan bagi sekalian alam. Mereka ingin mencacatakan agama yang mulia ini supaya ia mengikuti fikiran mereka yang telah sedia cacat itu".

Takrifan al-Jarh Wa at-Ta'diil Dari Sudut Bahasa ( lughah ) Dan Istilah

Makna perkataan " al-jarh " [ الجَرْحُ ] dari sudut bahasa ialah:

1. Kesan luka dengan perbuatan yang " melukakan " tubuh badan atau benda lain dengan menggunakan benda tajam seperti pisau, pedang atau lembing.

2. Melukakan perasaan seseorang dengan mengeluarkan kata-kata makian dan cercaan.

Maknanya dari sudut istilah ialah:

Keaiban, kecacatan atau kepincangan yang terlihat pada seseorang perawi / penyampai perkhabaran di atas sebab-sebab tertentu seperti sifatnya yang suka berbohong, lemah kekuatan ingatannya, tidak teliti dalam memelihara riwayat yang didengarnya, melakukan perbuatan haram dan dosa-dosa besar yang boleh mencacatkan sifat " keadilan" atau " al-'adaalah " [ العّدَلَةُ ] yang ada pada dirinya, dan sebagainya. Keadaan ini menyebabkan perawi tersebut jatuh pada tahap " lemah " atau " dhaif " [ ضَعِيْفٌ ] sehingga berlaku keraguan di dalam menerima periwayatannya atau di dalam keadaan lain, periwayatannya ditolak secara mutlaq.

Makna perkataan " al-'adaalah " atau " 'adil " [ العَدَالَةُ أَوْ العَدْلُ ] dari sudut bahasa:

1. Apa yang lurus (tidak sesat) di dalam jiwanya. Lawannya adalah derhaka (sesat).

2. Melakukan sesuatu pada kadar yang tepat dan disenangi oleh orang lain.

Maknanya dari sudut istilah:

1. Seseorang yang adil bererti segala penetapan, penilaian dan hukumannya lurus dan disukai oleh orang ramai.

2. Keadaan seseorang yang tidak nampak padanya sifat-sifat yang meruntuhkan pegangan agamanya, atau menjatuhkan maruah dan kehormatan dirinya. Dalam erti kata lain, keadaannya yang tidak dikenal sebagai manusia yang melakukan perbuatan dosa-dosa besar seperti berbohong, menipu, melakukan kedustaan, meminum arak, berzina dan sebagainya. Oleh kerana itu, perawi yang memilik sifat " keadilan " yang dimaksudkan di sini diterima segala periwayatannya.

Bagaimana Sanad Berfungsi

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." - [ al-Hujuraat: 49/6 ].

Allah memerintahkan di dalam ayat ini supaya orang-orang beriman mengkaji terlebih dulu sesuatu perkhabaran itu sebelum hukuman boleh dibuat berdasarkannya.

" Mengkaji " dan " mengikut " adalah dua perkara yang terkait. Namun, ada perbezaan di antara mengkaji kemudian mengikut, dan mengikut semata-mata secara membabi buta tanpa didasari oleh kajian yang tepat dan terperinci terhadap perkara yang diikuti itu.

Apabila dikatakan bahawa seseorang itu hanya "mengikut" sahaja tanpa mengkaji, katakanlah, misalnya, si Ali membawakan perkhabaran dusta bahawa seorang perempuan telah melakukan zina, padahal perempuan itu sangat suci dan tidak melakukan perbuatan itu. Sekiranya si Azmi hanya mengikut sahaja apa yang dikatakan oleh si Ali, dia akan mengatakan: "Ya, memang perempuan itu berzina, kerana Ali mengatakan demikian, maka saya ikut sahaja". Maka, tidak lain dia hanya mengikut sahaja apa yang dikatakan si Ali tanpa dia mengkaji terlebih dulu kebenarannya. Hasilnya, dia telah percaya kepada sesuatu yang sama sekali tidak benar, satu fitnah dan kedustaan yang hina.

Tetapi sebaliknya, sekira dia menyalahi cara "mengikut-ngikut" ini dan mengambil keputusan untuk mengamalkan kandungan firman Allah di atas, yakni "mengkaji" dulu perkhabaran itu, bukan dengan mengikut-ngikut sahaja, maka perkara pertama yang akan dilihatnya adalah, sifat dan perwatakan si penyampai perkhabaran ini. Siapakah dia penyampai / perawinya? Iaitu si Ali. Dia akan melontarkan satu persoalan kepada dirinya yang akan menjadi topik kepada kajiannya terhadap peribadi si Ali: "Adakah Ali seorang manusia yang adil terhadap agamanya? Adakah dia seorang yang bertakwa kepada Allah, yakni taat melakukan segala yang diperintahka n dan menjauhi segala yang dilarang? Adakah dia seorang yang jujur dan lurus dalam setiap perkataannya atau dia seorang yang suka berdusta, berbohong dan mereka-reka cerita palsu? Adakah dia seorang yang lemah ingatannya, boleh jadi dia tersilap di dalam menyampaikan maklumat?"

Di dalam contoh yang kami kemukakan di atas, misalnya, kalau riwayat itu berkenaan dengan kejadian atau peristiwa yang berjangka hayat panjang, misalnya, peristiwa rumah terbakar, yang terjadi pada kadar waktu yang panjang dan kesannya masih boleh dilihat ketika perkhabaran itu sampai kepada sang penerima, maka si penerima boleh pergi sendiri melihat peristiwa tersebut untuk memastikan sama ada ia benar-benar berlaku atau tidak, sekaligus dia dapat memastikan kandungan khabar itu sahih atau tidak.

Misalnya, apabila si Ali datang menyampaikan perkhabaran kepada si Azmi bahawa sekian-sekian rumah telah terbakar. Peristiwa kebakaran itu bukan terjadi sekejap, kemudian selesai, tetapi kesannya bersifat jangka panjang, masih wujud ketika perkhabaran ini sampai kepada si Azmi. Maka, untuk memastikan sama ada perkhabaran yang mengatakan rumah itu terbakar atau tidak benar sahih atau dusta, si Azmi boleh pergi melihat sendiri rumah tersebut, adakah benar kebakaran belaku? Maka, sekiranya kebakaran benar-benar berlaku, benarlah perkhabaran yang dibawa oleh si Ali dan dia tidak berdusta dalam menyampaikannya. Begitulah sebaliknya.

Tetapi, apabila peristiwa tersebut telah selesai terjadi, atau tidak dapat dilihat lagi kesannya setelah perkhabaran itu sampai kepada si penerima, maka tidak ada jalan lain yang boleh dilakukan melainkan si penerima terpaksa mengkaji dengan cara memerhatikan perlakuan, perwatakan dan sifat-sifat pada si penyampai. Sebabnya, persitiwa itu sudah selesai dan kesannya telah luput, tidak dapat disaksikan sendiri oleh si penerima untuk membolehkan dia memastikan apakah khabar itu benar-benar sahih atau tidak. Maka persoalan-persoalan seperti:

1. Adakah si penyampai itu seorang manusia yang memiliki sifat " 'adaalah " [ عَدَالَةٌ ] atau adil terhadap agamanya? Yakni, adil terhadap agama bermaksud, dia seorang Islam yang beriman, baligh, berakal, sentiasa memelihara maruah ( kehormatan diri ), bertakwa ( tidak melakukan perbuatan dosa-dosa besar seperti berzina, minum arak, mencuri, melakukan kebohongan dan kedustaan dan sebagainya. Dalam erti kata lain, dia seorang yang bertakwa kepada Allah, dan takwa kepada Allah itu ialah taat mengerjakan segala yang diperintahkan dan meninggalkan segala yang dilarang.

2. Adakah si penyampai itu seorang manusia yang memiliki sifat " ad-dhaabith " [ الضَّابِطُ ] atau teliti dalam memelihara setiap riwayatnya, sama ada melalui kuatnya penghafalan dalam dada, atau kerapnya penulisan di atas kertas, sehingga dengan kedua-dua cara ini, setiap riwayat yang diterimanya tidak hilang.

Apabila sempurna kedua-dua sifat ini pada si penyampai atau penerima riwayat itu, maka sempurnalah " qabuul " [ قَبُوْلٌ ] atau penerimaannya. Bererti, perawi tersevbut diterima setiap riwayat yang datang darinya. Sebaliknya, sekiranya berlaku kekurangan dalam kedua-dua sifat di atas, maka perawi tersebut akan menjadi " dha'iif " [ ضَعِيْفٌ ] atau lemah dan boleh jadi dia tertolak ( tidak diterima segala periwayatannya ).

Contoh kepada keadaan ini, seperti yang saya berikan di atas, apabila si Ali membawakan satu perkhabaran kepada si Azmi bahawa seorang perempuan telah berzina. Ketika perkhabaran ini sampai, perbuatan zina itu telah pun selesai dan tidak dapat dilihat lagi adakah perempuan itu terang-terang melakukan zina atau tidak. Dalam keadaan ini, satu-satunya cara untuk si Azmi memastikan kebenaran perkhabaran tersebut adalah dengan mengkaji perwatakan dan sifat si penyampai, yakni si Ali.

Keadaan inilah yang terjadi kepada hadis-hadis Rasulullah. Manusia yang hidup setelah Rasulullah wafat tidak mengetahui apa yang diperkatakan Baginda kerana mereka tidak dapat mendengar atau melihat sendiri bagaimana Rasulullah bersabda. Mereka tidak hidup di zaman Rasulullah, tidak dapat berjumpa dengannya, mendengar perkataannya, atau melihat setiap tingkah lakunya, maka satu-satunya perkara yang boleh mereka lakukan adalah mengkaji perwatakan penyampai-penyampai yang paling thiqaat ( terpercaya ) setelah Rasulullah: para sahabat. Seperti yang kita tahu, para sahabat memang manusia yang amat bertakwa kepada Allah, mereka sekali-kali tidak akan melakukan kedustaan di atas nama Rasul.

Soalan kepada golongan anti-hadis: Sekiranya tidak dengan cara begini, maka khabarkanlah kepada kami, apakah lagi caranya untuk kamu mengamalkan firman Allah, Surah al-Hujuraat, ayat 6 di atas? Kalau sekiranya tidak dengan cara menyiasat setiap sifat, perwatakan dan akhlak para perawi, penyampai dan penerima perkhabaran atau riwayat, maka bagaimanakah boleh diamalkan firman Allah yang menyuruh kita supaya mengkaji setiap perkhabaran berita yang datang daripada orang-orang ( yang berkemungkinan ) faasiq?

Contoh Sanad Dan Bentuk Kajiannya

Sanad ( Rantaian Perawi / Penyampai Hadis )

Telah menceritakan kepada kami Muhammad, (katanya): Telah menceritakan kepada kami Abu Khalid, (katanya): Telah menceritakan kepada kami Abu Malik (katanya): Daripada Sa'ad bin 'Ubaidah (mengambil hadis) daripada Ibn 'Umar katanya: Bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Matan ( Tulisan / Teks Asal Hadis )

"Telah dibina Islam itu di atas lima rukun: Bahawa kamu bersaksi tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, melakukan Haji ke Kota Mekah, dan puasa di bulan Ramadhan".

Pada perenggan pertama, disebutkan senarai dalam rantaian (sanad) penyampai hadis ini. Para perenggan kedua, disebutkan pula matan (tulisan) hadis ini yang sebenarnya.

Keterangan Sanad

Sekiranya kita memerhatikan sanad hadis di atas, kita akan mendapati:

1. Muhammad - Beliau ialah Muhammad bin 'Abdullah bin Numair al-Hamdaani [ مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ نُمَيْرٍ الْهَمْدَانِيُّ ]. Beliau adalah seorang lelaki yang " thiqah " ( terpercaya ) dan tidak dituduh melakukan kedustaan. Beliau telah mendengar hadis ini daripada Abu Khalid (dibawah)

2. Abu Khalid - Beliau ialah Abu Khaalid Sulaiman bin Ahyaan al-Ahmar [ أَبُو خَالِدٍ يَعْنِي سُلَيْمَانَ بْنَ حَيَّانَ الْأَحْمَرَ ]. Beliau telah menyampaikan hadis ini kepada Muhammad (diatas) sedangkan beliau pula telah mendengar hadis ini daripada Abu Malik (dibawah)

3. Abu Malik - Beliau ialah Abu Maalik Sa'ad bin Thariq bin Ashyam al-Ashjaa'i [ أَبُوْ مَالِكُ سَعْدُ بْنُ طَارِقِ بْنِ أَشْيَمَ الأَشْجَعِيُّ ]. Beliau adalah seorang lelaki yang " thiqah " ( terpercaya ) dan tidak dituduh melakukan kedustaan. Beliau telah menyampaikan hadis ini kepada Abu Khalid (diatas) sedangkan beliau pula telah mendengar hadis ini daripada Sa'ad bin 'Ubaidah.

4. Sa'ad bin 'Ubaidah - [ سَعْدِ بْنِ عُبَيْدَةَ ]. Seorang tabi'in yang mendengar hadis-hadis daripada sahabat-sahabat Rasulullah. Beliau adalah seorang lelaki yang " thiqah " ( terpercaya ) dan tidak dituduh melakukan kedustaan. Beliau telah menyampaikan hadis ini kepada Abu Malik (diatas) sedangkan beliau pula telah mendengar hadis ini daripada sahabat Rasulullah Ibn 'Umar (dibawah).

5. Ibn 'Umar - Beliau ialah 'Abdullah bin 'Umar al-Khattab [ عَبْدُ الله بْنُ عُمَرَ بْنِ الخَطَّابِ ], anak kepada Amirul Mu'minin Khalifah Umar al-Khattab, pemimpin Islam Khulafaa' ar-Raasyidin yang ke-2. Beliau telah berjumpa dengan Rasulullah dan mendengar sendiri hadis ini daripada Baginda.

Semua perawi hadis di atas adalah penyampai-penyampai hadis - mereka itu "disambungkan" antara satu sama lain sehingga membentuk satu rantaian perawi-perawi. Dan semua perawi semuanya dikenali sebagai manusia yang jujur dan tidak berbohong, tidak ada seorang pun yang dituduh sebagai pendusta atau pembohong.

Memerhatikan kepada hasil kajian ini, satu kesimpulan dapat dibuat: Sama ada seseorang itu telah kehilangan akalnya sehingga dia menjadi seorang kanak-kanak yang tidak tahu membezakan perkhabaran mana yang betul dan salah, atau dia wajib percaya kepada hadis ini kerana sanad atau rantaian perawinya " bersih " dari sebarang bentuk " 'illat " [ عِلَّةٌ ] atau " kecacatan ". Yakni, kecacatan yang saya maksudkan dalam contoh ini sahaja adalah "salah seorang atau lebih daripada perawinya merupakan pendusta atau pembohong".

Sebelum ini kami telah pun menjelaskan bahawa tidak semua hadis-hadis Rasulullah yang diterima dan boleh digunakan. Punca kepada terjadinya perkara ini adalah kedudukan atau keadaan sanad sesebuah hadis. Para muhaddisin (ulama-ulama hadis) yang mengkaji sanad sesebuah hadis bertanggung jawab untuk menyemak setiap nama perawi atau penyampai hadis itu, lalu mengkaji peribadi setiap orang daripada mereka dari berbagai-bagai sudut, seperti sifat-sifat peribadi mereka, tarikh kelahiran dan kewafatan mereka (bagi memastikan seseorang perawi hadis itu benar menerima hadis daripada seorang perawi yang hidup sezaman dengannya).

Lalu, apabila didapati bahawa sanad atau rantaian perawi-perawi hadis itu terdiri daripada lelaki-lelaki yang bersih perwatakan dan sifatnya, bersih dari sebarang tuduhan atau " ittiham " [ اتِّهَامٌ ], maka benarlah perkhabaran atau berita yang disampaikan oleh mereka, sebaliknya, sekira perawi-perawi hadis tersebut ada yang dituduh sebagai seorang pendusta dan sebagainya, maka berlaku kecacatan dalam sanad itu, dan terhasilnya " zhann " [ الظَّنُّ ] atau " keraguan " bahawa hadis tersebut benar-benar datang dari Rasulullah.

Di atas, saya telah mengemukakan contoh dalam bentuk hadis Rasulullah yang sebenar. Sekarang, kami akan mewujudkan satu contoh di dalam dunia nyata yang tidak terkait dengan hadis-hadis. Contoh ini kami wujudkan dalam bentuk umum untuk menimbulkan satu gambaran kepada para pembaca sekalian bagaimana kajian sanad berfungsi terhadap riwayat-riwayat dan penceritaan.

"Di sekian-sekian jalan, terdapat seekor ular yang sangat berbisa, yang bersedia untuk membunuh sesiapa sahaja yang melalui jalan tersebut".

1. Ada seorang lelaki bernama Azmi. Dia telah menyaksikan sendiri peristiwa tersebut di hadapan matanya sendiri, kerana dia telah melalui jalan tersebut dan nampak sendiri ular itu.

2. Si Azmi telah berjumpa dengan seorang rakannya yang bernama Hafiz. Dia menceritakan kepada Azmi perkhabaran di atas, katanya: "Hafiz, di sekian-sekian jalan, terdapat seekor ular yang sangat berbisa, yang bersedia untuk membunuh sesiapa sahaja yang melalui jalan tersebut".

3. Si Hafiz telah menerima perkhabaran tersebut. Namun, dia tidak terus percaya. Dia meneliti terlebih dahulu, adakah Azmi seorang manusia yang terpercaya dan tidak melakukan kedustaan? Ya, benar, kerana Azmi adalah seorang yang dikenalinya, dan dia memang bukan seorang pendusta.

4. Si Hafiz telah berjumpa dengan seorang manusia lain yang bernama Abdul. Dia mengkhabarkan perkara itu kepada Abdul dengan mengatakan "Telah menceritakan kepada saya Azmi akan perkhabaran sekian-sekian ...".

5. Abdul telah menerima perkhabaran tersebut daripada si Hafiz dan dia juga percaya kepadanya. Kerana Hafiz juga seorang manusia yang jujur dan terpercaya, bahkan dia seorang yang amat soleh dan kuat berpegang teguh kepada ajaran agama.

6. Kemudian, Abdul kembali ke rumahnya dan menyampaikan perkhabaran ini kepada ayahnya Saad. Dia berkata sambil menyebutkan semua nama manusia yang menyampaikan perkhabaran itu satu persatu, seperti berikut:

Ayah, Hafiz telah menceritakan kepada saya, daripada Azmi, kata Azmi: Terdapat seekor ular di sekian-sekian jalan ...

Dan Saad menerima perkhabaran tersebut daripada anaknya yang memang bukan seorang pendusta, kerana anaknya Abdul telah mendengar sendiri perkhabaran tersebut daripada dua orang lelaki yang merupakan " penyampai " kepada perkhabaran ini: Hafiz dan Azmi.

Maka, di dalam penceritaan khabar ini, telah ada satu sanad yang kukuh yang disimpulkan seperti berikut:

"Saad berkata: Telah menceritakan kepada saya Abdul (anaknya), katanya: Telah menceritakan kepada saya akan sahabat saya, Hafiz katanya: Telah menceritakan kepada saya akan sahabat saya Azmi katanya ..."

Jadi, berdasarkan penerimaan dari logik akal manusia, adalah mustahil untuk dikatakan yang perkhabaran itu (ada ular di jalanan) sebagai dusta, bohong dan rekaan manusia. Semuanya terjadi kerana ada " rantaian perawi dan penyampai " dalam perkhabaran tersebut yang telah dikaji dan dilihat. Sanadnya bersih dari sebarang bentuk kecacatan, tidak ada salah seorang pun di antara Aiman, Abdul, Hafiz dan Azmi yang dituduh sebagai pendusta.

Dengan ini, jelaslah bahawa hadis-hadis Rasulullah yang berada dalam ketagori " maqbuul " dan diterima tidak boleh dibantah sama sekali, ia adalah hadis Rasulullah yang hakiki, kajian yang telah dibuat pada sanadnya telah membuktikan perkara tersebut.

Barang siapa yang menentang, membenci, dan menghina hadis-hadis yang berada dalam lingkungan ini, tidak ada satu perkara yang lebih layak untuk disifatkan kepada diri mereka kecuali penghinaan terhadap peribadi Rasulullah. Ini kerana " perkataan dan perbicaraan " seseorang itu adalah satu juzu' atau bahagian dari dirinya sendiri, yakni dari lidahnya, maka menghina perkataan seseorang adalah tidak lain satu tindakan yang menghina peribadi orang itu sendiri.

2 comments:

  1. Salam,

    Sangat jelas dari artikel tuan diatas menampakkan atau membuktikan bahwa riwayat-riwayat hadis yang tuan amalkan mempunyai kelemahan dari semua segi sebab itulah timbul bermacam-macam gelaran kepada riwayat hadis itu sendiri yang golongan tuan sendiri labelkan....

    Sedangkan kitab2 wahyu yg terddahulu tidak pantas untuk diikuti kerana Allah dah maklumkan ianya telah dicemari dgn campur tangan manusia.... inikan pula riwayat2 hadis....

    Riwayat2 hadis ini bila2 masa sahaja orang2 berkepentingan seperti tuan segolongan mempergunakan nama baginda..... cipta riwayat hadis untuk menyokong amalan tuan lantas mempergunkan nama baginda nabi..... lalu tuan segolongan sebarkan bahwa ianya (riwayat hadis itu) dari Nabi) dan mencipta suatu kaedah..... seperti, ini sahih dari nabi sebab sanad dan isnadnya, ianya bukan ahad dan bermacam-macam lagi kaedah yang tuan segolongan cipta agar ianya benar-benar seperti dari nabi.... walhal akikatnya apa pun kaedah tipuan yg tuan buat untuk memperlihatkan ianya sahih tetap mempunyai kelemahan....

    Takkan itu pun tak nampak lagi....???

    ReplyDelete
  2. Jika golongan-golongan yg berkepentingan apa sahaja sanggup mereka buat untuk kepentigan atau kefahaman golongan mereka masing-masing....

    Sekarang saya ambil contoh atau kaedah yg tuan buat diatas..... katakanlah Azmi, Hafiz, Abdul dan Saad mempunyai agenda tertentu atau mereka ni munafik tegar dan telah berpakat untuk menyebarkan sesuatu atas nama baginda nabi.... boleh sahaja kaedah ini berlaku kan ?

    Atau

    Keempat-empat mereka diatas adalah betul-betul orang beriman dan datang seorang yang berkepentingan untuk kefahaman dan golongannya mempergunakan nama-nama mereka berempat ini.... maka ini juga boleh berlaku kan.... ?

    Apakah tuan tidak nampak kelemahan keadah-kaedah yang tuan guna pakai atau cipta itu untuk menentuhsahkan sesuatu riwayat hadis itu benar-benar bersumberkan baginda nabi ?

    ReplyDelete