Selamat Datang


Dan di antara mereka pula ada orang-orang yang buta huruf, mereka tidak mengetahui akan isi al-Kitab selain dari angan-angan (penerangan-penerangan bohong dari ketua-ketua mereka), dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja." - [ al-Baqarah: 2/78 ].

Ketahuilah! Sesungguhnya aku telah diutuskan dengan al-Qur'an dan yang seumpamanya (as-Sunnah) bersama-sama. Hampir sahaja (munculnya) seorang lelaki yang kekenyangan sambil bersandar di atas katilnya lalu berkata: Hendaklah kalian berpegang kepada al-Qur'an ini sahaja, apa yang dihalalkannya maka halalkanlah dan apa yang diharamkannya. maka haramkanlah - Ketahuilah, apa yang diharamkan oleh Rasul itu serupa seperti apa yang diharamkan Allah". - [ Tirmizi, Abu Daud, Ibn Majah, Ahmad ].

Tuesday, June 5, 2012

Bahagian I - Penjelasan Tentang Ilmu Mustholah Hadis [ مُصْطَلَحُ الحَدِيْثِ ] ( Ilmu Kajian Hadis ) : Bantahan Kepada Golongan Anti-Hadis yang Meragui Perkhabaran, Riwayat, Berita, Penceritaaan Dan Hadis.

Muqaddimah

Alhamdulillah,
Saya mulakan penulisan ini dengan memuji nama Allah, Tuhan sekalian alam semesta yang telah menciptakan langit dan bumi dengan segala kebesaran dan keagunganNya yang tidak dapat ditandingi oleh sesuatu apa pun dari makhluk-makhlukNya. Saya bersyukur kepada Allah di atas limpahan nikmat dan curahan kasih sayangNya yang tidak terkira banyaknya, tidak mampu dibilang, seperti air hujan yang membasahi bumi dengan titisannya sehingga hidup subur segala sesuatu yang ada diatas tanahnya yang berkat.

Segala puji bagi Allah yang telah mengeluarkan manusia daripada kegelapan dan kesesatan kepada cahaya petunjuk dan kebenaran. Segala puji bagi Allah yang mengutuskan para Nabi dan RasulNya, dan Rasul Muhammad bin Abdullah صلى الله عليه وسلم sebagai ketua dan penghulu para Nabi dan Rasul untuk membawa agama Islam yang suci murni, satu-satunya agama yang diredhaiNya, sebagai rahmat bagi sekalian alam.

Di antara sebilangan perkara yang dapat kami pelajari setelah kami meneliti keadaannya golongan anti-hadis, kami mendapati bahawa mereka memiliki pengetahuan yang amat lemah tentang selok belok ilmu hadis. Dalam keadaan ini, mereka tidak merasa yakin kepada hadis-hadis Rasulullah kerana mereka tidak memiliki ilmu pengetahuan yang benar tentang bagaimana caranya para muhaddisin (ahli hadis) melakukan kajian terhadap hadis-hadis berdasarkan kaedah menghukum perkhabaran, riwayat dan penceritaaan, di mana mereka telah melakukan pembahasan dan penelitian dengan cara yang sungguh cantik dan berdisiplin.

Akibat dari kejahilan mereka ini, golongan Anti-Hadith telah cuba mewujudkan satu gambaran seakan-akan al-Hadith itu hanyalah rekaan dusta dan dongengan nenek moyang yang terdahulu, atau kisah pari-pari seperti dalam lagenda-lagenda Inggeris, hikayat-hikayat karut marut yang tidak pernah diambil berat untuk dikaji kesahihannya. Tanpa melihat kepada bagaimana susah payah para ahli hadith berhempas pulas, siang dan malam, menapis perkhabaran-perkhabaran Rasul, menyemak status dan kedudukannya bagi memastikan sama ada ia benar-benar datang dari lidah Rasul (sahih) atau hanya rekaan orang-orang fasiq yang tidak merasa takut untuk melakukan kedustaan dan mengaitkan kebohongan dengan nama Nabi (palsu).

Kalaulah sekiranya mereka mengambil masa untuk mengkaji bagaimana kaedah para ahli hadith dalam menapis hadith-hadith, dan mengetahui betapa halusnya tapisan yang dilakukan ke atas hadith-hadith Nabi, nescaya mereka akan mengetahui betapa bersihnya hadith-hadith yang digunakan oleh masyarakat Islam pada hari ini seperti air yang telah ditapis melalui kaedah penapisan yang sangat halus, rapi dan berkualiti tinggi, sentiasa selamat untuk diminum dan digunakan oleh orang ramai dalam kehidupan seharian.

Dan kalaulah golongan Anti-Hadith mengerti betapa bersungguh-sungguhnya para ulama hadith dalam menentukan kesahihan sesebuah hadith dan betapa telitinya mereka menapis al-Hadith dengan kaedah penapisan yang amat canggih, sistematik serta berdisiplin tinggi, dan betapa kuatnya mereka berhempas pulas memperhalusi setiap makna al-Hadith dengan kefahaman terhadap ayat-ayat al-Qur'an, nescaya monyet-monyet di hutan yang mengangkat al-Qur'an di atas kepala mereka sambil berlari-lari keriangan itu akan menangis teresak-esak sambil menyapu debu tanah ke wajah mereka dengan penuh rasa malu.

Sokongan Daripada Dalil Al-Quran Terhadap Ilmu Periwayatan Dan Perkhabaran - Allah Memerintahkan Sendiri Supaya Manusia Melibatkan Diri Dalam Pengkajian Dan Penelitian Bagi Mencari Bukti Yang Memastikan Kebenaran Sesuatu Khabar Atau Riwayat.

Lazimnya, apabila seseorang itu ingin menghukum atau mengkritik sesuatu perkara itu, dia harus mempelajari dulu dengan teliti perkara yang ingin dibidasnya itu. Ini adalah sesuatu yang lumrah, memandangkan tidak ada sesiapa yang boleh melakukan penetapan ke atas sesuatu perkara yang tidak diketahuinya sendiri. Ini adalah satu perkara yang jelas berdasarkan perintah yang disebutkan dalam al-Quran sendiri, di mana Allah menyebutkan dalam firmanNya:-

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

"Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya." - [ al-Israa': 17/36 ].

وَلَوْلَا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ لَمَسَّكُمْ فِي مَا أَفَضْتُمْ فِيهِ عَذَابٌ عَظِيمٌ

"Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa yang besar disebabkan kamu turut campur dalam berita palsu itu." - [ an-Nuur: 24/14 ].

إِذْ تَلَقَّوْنَهُ بِأَلْسِنَتِكُمْ وَتَقُولُونَ بِأَفْوَاهِكُم مَّا لَيْسَ لَكُم بِهِ عِلْمٌ وَتَحْسَبُونَهُ هَيِّنًا وَهُوَ عِندَ اللَّهِ عَظِيمٌ

"Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya." - [ an-Nuur: 24/15 ].

Di dalam ayat-ayat di atas, Allah menyebutkan kalimah "ilmu" atau "pengetahuan". Maka, setelah seseorang itu mengkaji selok belok sesuatu itu, dari berbagai sudut dan aspek, dan kajiannya itu didasari dengan cara-cara yang betul yang ditetapkan dalam disiplin ilmu pengetahuan yang berkaitan (dengan perkara yang menjadi topik kajian itu), barulah dia layak untuk berbicara tentangnya, dan menghukum berdasarkan kesimpulan yang diperoleh daripada kajiannya itu.

Namun, sesuatu yang amatlah menakjubkan, kami belum menjumpai lagi seorang pun pengikut fahaman anti-hadis yang benar-benar melibatkan diri mereka dalam kajian terhadap ilmu hadis dan membahas selok belok ilmu hadis dari sudut ilmiyyah yang betul. Apa yang mereka lakukan, tiba-tiba sahaja mereka membawa kepada kami beberapa hadis yang telah 'dibias' oleh pemikiran mereka yang serong dan tidak memahami ilmu itu, lalu mereka mengatakan: "Hadis ini bercanggahan dengan al-Qur'an". Jadi, perbuatan mereka ini jelas menunjukkan bahawa mereka amat membenci Sunnah, di mana kebencian mereka terhadap Sunnah itu tidak lain tidak bukan hanyalah kebencian terhadap Rasulullah.

Apabila dibawakan satu hadis kepada mereka, tanpa mengkaji terlebih dahulu apa dia kedudukan dan martabat sesebuah hadis itu, mereka dengan mudahnya menghukum dengan mengatakan "kami tidak mahu percaya kepada ini kerana ianya rekaan dan dusta sahaja". Kalau sekiranya hadis itu telah dikaji dan didapati bahawa ianya sahih (benar datang dari lidah Rasulullah sendiri, dan bukannya rekaan seperti hadis "maudhu'" atau hadis palsu), maka mereka telah menghukum perkataan yang hakikatnya memang datang dari Rasulullah sebagai BUKAN perkataan Rasulullah, ini jelas menunjukkan sikap membenci Rasulullah dan tidak ada alasan lain yang boleh kita fikirkan untuk membantah kenyataan ini.

Dengan ini, terpanggil oleh perbuatan mereka yang menghina kesucian Islam serta maruah dan kehormatan Rasulullah, saya akan menjelaskan beberapa perkara asas dalam disiplin ilmu mustolah hadis. Di dalam bahasa Inggeris, ia dikenali sebagai " The Science of Hadis ".

Pendahuluan

Apabila dikatakan, Islam tidak membenarkan penerimaan sesuatu perkhabaran kecuali setelah ianya dipastikan kebenarannya dengan meneliti kepada sumber / asal dari mana datangnya riwayat tersebut, maka yang demikian ini menjadi satu kesesuaian dengan kenyataan: Telah menjadi satu fitrah yang sebati dengan tabi'i semua manusia yang dikurniakan dengan akal yang waras, bahawa mereka tidak terlalu mudah untuk mempercayai sesuatu perkara sebelum mereka mendapati sebab dan alasan yang kuat yang dapat menyokong kebenaran perkara tersebut. Yang demikian ini menjadi salah satu pendorong kepada umat manusia untuk melibatkan diri mereka dalam pengkajian dan penelitian, bagi memastikan setiap perkara, iaitu perkhabaran, riwayat, kisah, penceritaan, perkataan dan pengakuan peristiwa yang sampai kepada mereka itu benar-benar terjadi dan seterusnya membawa mereka kepada mempercayainya dengan kepercayaan yang kukuh dan benar.

Misalnya, apabila dikatakan, seorang lelaki berkata: "Aku telah menjumpai harta karun di sekian-sekian gua". Lelaki tersebut mengkhabarkan perkara ini kepada orang ramai. Ketika ini, orang ramai berada di antara dua keadaan: Sama ada mereka percaya atau tidak percaya kepada perkhabaran tersebut. Dorongan hati mereka akan mendesak mereka untuk menentukan hakikat sebenarnya, lalu mereka akan melibatkan diri mereka dengan perbuatan meneliti dan mengkaji perkhabaran itu. Dalam hal ini, telah dikhabarkan bahawa harta karun itu wujud dalam sebuah gua tertentu, maka manusia akan pergi untuk melihat sendiri adakah harta yang dimaksudkan itu wujud di situ. Inilah kajian yang dimaksudkan, di mana seseorang lelaki yang berakal akan sentiasa memerhatikan dari mana dia mendapat sesebuah berita dan perkhabaran, lalu berusaha untuk mengkaji kebenarannya.

Maka, perbuatan mengkaji dan meneliti yang saya sebutkan dalam contoh yang saya berikan di atas ini menjadi alasan kepada terhasilnya prinsip dasar dalam ilmu periwayatan atau perkhabaran, di mana subjek disiplin ilmu inilah yang digunakan ke atas hadis-hadis Rasulullah. Kerana hadis-hadis itu merupakan perkhabaran, periwayatan, berita dan penceritaan yang berasal dari Rasulullah, maka kebenaran sesuatu hadis itu hanya dapat ditentukan sekiranya ia dikaji melalui ilmu yang membicarakan perkhabaran dan periwayatan.

Di dalam al-Quran sendiri, Allah telah memerintahkan supaya manusia melibatkan diri dalam pengkajian ilmu periwayatan dan perkhabaran ini kerana Allah sendiri mengetahui keadaan semula jadi dan fitrah manusia sebagai makhluk ciptaanNya yang berhati lemah, mereka tidak mudah untuk mempercayai sesuatu perbicaraan, berita, dan perkhabaran yang sampai kepada mereka. Lalu, Allah memerintahkan mereka supaya melibatkan diri dalam usaha mencari bukti yang boleh membenarkan semua perkara itu. Dalam firmanNya, dalam Surah al-Hujurat, ayat 6 yang berbunyi:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." - [ al-Hujurat: 49/6 ].

Di dalam ayat ini, Allah sendiri memerintahkan supaya kita sebagai orang-orang beriman berusaha untuk meyelidiki dulu perkhabaran berita, dan Allah menyebutkan frasa ayat "... supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini". Yakni, tujuan sebenar Allah memerintahkan kita untuk menyelidiki terlebih dulu agar tidak tertimpa ke atas ummat manusia itu fitnah atau keburukan yang diakibatkan oleh sikap terburu-buru dalam mengambil perkhabaran tanpa menyelidikinya terlebih dulu.

Kemudian, Allah menyebutkan lagi pada frasa seterusnya,

فَتُصْبِحُوْا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِيْنَ

"... Maka jadilah kalian menyesali di atas apa yang kalian lakukan"

Yakni, oleh sebab tidak menghukum sesuatu berdasarkan perkhabaran yang benar kerana tidak mengkaji atau menyelidiki terlebih dulu perkhabaran tersebut, maka manusia menghukum dengan sesuatu yang salah, yang akhirnya mengakibatkan keburukan yang merupakan penyesalan kepada diri mereka sendiri. Ini merupakan satu peringatan daripada Allah yang amat jelas, agar kita tidak bersikap terburu-buru dalam menghukum sesuatu periwayatan dan perkhabaran itu sebagai dusta atau tidak benar, atau hanya menganggapnya semata-mata benar tanpa meneliti terlebih dulu hakikat sebenar perkara tersebut.

Alangkah benarnya firman Allah ini! Alangkah ruginya manusia yang tidak mengambil pengajaran dari perkara ini. Alangkah sia-sianya kehidupan mereka. Mengapa mereka tidak mahu berfikir dan merenung kandungan ayat ini. Mengapa mereka tidak mahu menggunakan akal mereka bagi mengkaji kebenaran sesuatu perkara, yakni apa hakikat sebenar yang terkandung di sebaliknya, bahkan terus sahaja menghukum perkara tersebut sebagai dusta dan tidak benar dan dusta, tanpa usul periksa.

Ayat di atas merupakan "hujjatun 'azhiimah" [ حُجَّةٌ عَظِيْمَةٌ ] ( hujjah yang agung ) yang dijadikan dasar kepada terhasilnya ilmu periwayatan dan perkhabaran, yang mana melalui ilmu ini pulalah, terbitnya ilmu kajian terhadap hadis-hadis Rasulullah yang disebut sebagai "ilmu mustalah hadis" [ عِلْمُ مُصْطَلَحِ الحَدِيْثِ ]. Bagi mengetahui dengan lebih mendalam apa yang dimaksudkan dengan ilmu mustalah hadis ini, mari kita teliti apakah takrifannya, agar menjadi jelas kepada pemahaman pembaca yang budiman.

Takrifan Ilmu Mustalah Hadis Dan Pembahagiannya

Secara umumnya, ilmu mustalah hadis didefinisikan sebagai:

مُصْطَلَحُ الحَدِيْثِ: عِلْمٌ يُعْرَفُ بِهِ حَالُ الرَّاوِيِِ وَالمَرْوِيِّ مِنْ حَيْثُ القَبُوْلِ وَالرَّدِّ

"Mustolah hadis: Ilmu yang diketahui dengannya keadaan perawi (penyampai) dan marwi (yang disampaikan) daripada sudut penerimaan dan penolakannya".

Di dalam takrifan di atas, kita melihat perkataan "dari sudut penerimaan dan penolakannya". Ini satu hujjah yang jelas kenapa setiap perkataan, perkhabaran, periwayatan, kisah atau berita yang dikaitkan dengan Rasulullah TIDAK diterima secara bulat-bulat sebelum dikaji terlebih dahulu sama ada ianya benar atau tidak. Kalau sekiranya ia benar, maka ia akan diterima. Sekiranya tidak, ia tertolak.

Ini sahaja satu hujjah yang cukup kuat untuk membatalkan dakwaan golongan anti-hadis bahwa hadis-hadis Rasulullah itu dibiarkan tanpa dikaji terlebih dulu, sehingga ummat Islam dulu dan kini hanya mengguna pakai hadis-hadis tersebut secara membabi buta, dan dakwaan yang mengatakan bahawa para muhaddisin dan imam-imam hadis telah melakukan kedustaan dan rekaan ke atas nama Rasulullah sehingga mereka "mencipta" hadis-hadis lalu mengaitkannya kepada Rasulullah. Bahkan, saya katakan, tidak ada walau satu hadis pun yang sampai kepada kita hari ini, yang diguna pakai secara meluas semenjak zaman berzaman oleh ummat Islam dari seluruh pelosok dunia, melainkan ia telah melalui proses penapisan yang amat teliti dan pengkajian yang amat halus dari semua sudut, oleh mereka yang memiliki kepakaran dan kemahiran yang amat tinggi dalam menapis hadis-hadis itu, yakni para muhaddisin.

Maka, berdasarkan takrifan di atas, dapatlah kita ketahui bahawa hadis-hadis yang dinisbatkan kepada Rasulullah, dari sudut penerimaannya hanya terbahagi kepada 2 bahagian sahaja, yakni:

1) "Maqbuul" [ مَقْبُوْلٌ ] - Hadis-hadis yang diterima. Yakni setiap hadis yang dikaji dari sudut sanad (rantaian perawi atau penyampainya) dan matan (tulisan asalnya) dan tidak ditemui apa-apa kecacatan ( 'illat ) [ عِلَّةٌ ], keganjilan ( syuzuuz ) [ شُذُوْذٌ ], dan sebab-sebab lain yang boleh menimbulkan keraguan ke atas benarnya ( sahihnya ) hadis tersebut sebagai ucapan yang datang dari lidah Rasulullah صلى الله عليه وسلم sendiri.

2) "Marduud" [ مَرْدُوْدٌ ] - Hadis-hadis yang ditolak. Yakni setiap hadis yang dikaji dari sudut sanad ( rantaian perawi atau penyampai hadis itu ) dan matan ( teks / tulisan asalnya di dalam bahasa 'Arab ) tetapi didapati wujud kecacatan, keganjilan dan sebab-sebab lain yang menyebabkan timbulnya keraguan bahawa ucapan sebegini benar diucapkan oleh Rasulullah. Dan perkara tersebut wujud dalam bentuk yang tidak membenarkan lagi hadis-hadis itu untuk dikatakan sebagai hadis-hadis Rasulullah.

Melalui pembahagian hadis-hadis kepada 2 bahagian ini, dapatlah disimpulkan satu kesimpulan yang merupakan pintalan hujjah yang tidak mampu dirungkaikan lagi: Bahawa hadis-hadis Rasulullah itu tidak tidak semuanya yang berada dalam kategori "maqbuul" atau "diterima", kemudian digunakan dan diamalkan. Tapi sebaliknya, kajian dan penelitian yang dilakukan melalui perantaraan ilmu mustalah hadis inilah yang menentukan sama ada sesuatu hadis itu boleh dianggap "maqbuul" (diterima) atau "marduud" (ditolak).

Maka, di sini, golongan anti-hadis pastinya tertanya-tanya: Kalau sekiranya semua hadis itu dikatakan sebagai hadis-hadis Rasulullah, mengapakah pula mesti ada hadis-hadis yang "tertolak"? Tidakkah hadis tertolak itu juga disebutkan sebagai " hadis Rasulullah "?

Kami katakan, inilah sebabnya kenapa golongan anti-hadis yang menunjukkan sikap kebencian yang amat melampau-lampau terhadap hadis-hadis Rasulullah, mereka tidak pernah mengerti kenapa sebabnya sesuatu hadis itu tidak terus dianggap sebagai "hadis Rasulullah" sebelum ia melalui proses pengkajian terlebih dulu. Sekiranya diberi satu contoh:

"Seorang lelaki bernama Abdullah membawa sebuah perkhabaran atau perkataan dan dia mengatakan: Rasulullah mengatakan perkataan ini. Ini adalah hadis Rasulullah".

Pada ketika ini, timbul beberapa keraguan dalam hati pendengar. Adakah benar perkhabaran yang dibawa oleh si Abdullah ini benar-benar hadis Rasulullah? Bagi menjawab persoalan ini, berdasarkan ketetapan yang ditetapkan dalam displin ilmu periwayatan dan perkhabaran hadis, persoalan-persoalan berikut harus ditimbulkan dan dijawab:

1. Adakah perawi atau penyampai perkhabaran ini, yakni si Abdullah, seorang lelaki yang jujur dan terpercaya? Atau adakah dia seorang pembohong dan pendusta?

2. Adakah si Abdullah seorang manusia yang taat berpegang teguh kepada ajaran agama: Adakah dia taat mengerjakan segala perkara yang diperintahkan dan menjauhkan diri dari segala perkara yang dilarang?

3. Adakah si Abdullah seorang manusia yang memiliki penghafalan yang baik? Boleh jadi penghafalannya lemah dan dia sering terlupa atau tersalah dalam menyampaikan perkhabaran.

Dalam hal inilah, jelaslah betapa besarnya kepentingan sesuatu yang kita sebutkan dalam istilah "sanad" [ سَنَدٌ ]. Untuk penjelasan tentang sanad, saya akan kemukakan pada tajuk yang berikutnya, InsyaAllah.

Penjelasan Tentang Sanad - Hujjah Terkuat Untuk Membenarkan Hadis-Hadis Rasulullah - Sanad Adalah Sebab Mengapa Hadis-Hadis Sahih Adalah Kebenaran Yang Mutlaq Dan Tidak Boleh Dibantah.

Di antara salah satu daripada kajian yang menjadi bahagian daripad ilmu hadis, kajian terhadap sanad (rantaian perawi-perawi dan penyampai) hadis-hadis adalah satu cara yang terpenting dan terhebat di dalam menentukan kedudukan sebenar sesebuah hadis itu. Melalui sesuatu yang kita gelarkan sebagai " sanad " [ سَنَدٌ ] atau " isnad " [ إِسْنَادٌ ] , dapat diketahui dengan jelas, adakah sesuatu perkhabaran itu benar atau tidak. Juga dapat diketahui asal usulnya, sifat-sifat yang terkandung pada riwayat tersebut, keganjilan-ganjilan yang ada pada rantaian perawi / penyampainya dan sebagainya. Semua persoalan ini boleh dikaji melalui perantaraan ilmu kajian sanad yang kita sebut dalam Bahasa 'Arab sebagai:

عِلْمُ الجَرْحِ والتَّعْدِيْلِ

'Ilmu al-Jarhu Wa at-Ta'diil

Ilmu al-Jarh Wa at-Ta'diil juga disebut sebagai " ilmu kritik hadis " atau " kritik perawi / periwayat hadis ".

Kami telah menulis satu penjelasan yang berasingan tentang " sanad " atau " isnad " yang kami masukkan di dalam satu risalah lain bertujuan untuk mengelakkan risalah ini daripada menjadi terlalu panjang. Kepada para pembaca yang budiman, dipersilakan menziarahi pautan ini:

Pembahagian Hadis-Hadis Dari Sudut Kekuatan Sanad

Hasil kajian daripada ilmu al-Jarah Wa at-Ta'diil - yakni kajian terhadap sanad hadis-hadis, maka terbahagilah hadis-hadis Rasulullah itu kepada 3 bahagian, di mana pembahagian ini merujuk kepada hadis-hadis dari sudut kekuatan sanadnya.

1) Sahiih ( ba: صَحِيْحٌ ) - Membawa makna "sejahtera"

2) Hasan ( ba: حَسَنٌ ) - Membawa makna "baik"

3) Dhaif ( ba: ضَعِيْفٌ ) - Membawa makna "lemah"

Hadis-hadis "Sejahtera" atau "sahiih" ( صَحِيْحٌ ) dan Penjelasannya

- HADIS-HADIS SAHIH - Adalah setiap hadis Rasulullah yang sanadnya bersambung (tidak terputus) sehingga sampai kepada Rasulullah shallahu 'alahi wasallam. Dalam erti kata lain, rantaian penyampai hadis tersebut bermula daripada Rasulullah, yakni Baginda yang mula menyebutkan hadis itu, kemudian bersambung kepada para sahabat Rasulullah yang mendengar pula hadis itu daripada Baginda dan bersambung pula kepada anak murid sahabat tersebut yang menerima hadis itu daripada sahabat, dan begitulah seterusnya.

Perkataan "sahiih" ( ba: صَحِيْحٌ ) membawa makna "sejahtera" - yakni bebas dari penyakit, kecacatan atau kelemahan.

"Sahih" adalah martabat tertinggi yang boleh diperolehi sesebuah hadis. Sebuah hadis yang sahih tidak ada keraguan di dalamnya bahawa ia adalah hadis Rasulullah. Sanad hadis tersebut bebas dari sebarang bentuk kecacatan, yakni semua perawinya harus memiliki sifat terpercaya atau dalam Bahasa Arab disebutkan dengan istilah "thiqaat" ( ba: ثِقَاتٌ ). Secara umumnya, sifat "thiqaat" ini merangkumi 2 perkara:

1. al-'Adaaalah ( ba: العَدَالَةُ, bm: 'keadilan' ) - Taat melaksanakan segala kewajipan agama dan menghindarkan diri dari segala perkara yang dilarang olehnya - Terpelihara dari melakukan perbuatan yang boleh menghilangkan kehormatan dirinya sebagai seorang Islam yang benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Tidak terlibat dalam melakukan dosa-dosa besar. Perkataan "keadilan" membawa maksud adil dalam melaksanakan hak-hak Allah dan manusia lain.

2. ad-Dhabtu ( ba: الضَّبْطُ, bm: 'teliti dalam memelihara' ) - Sangat teliti dalam memelihara hadis-hadis yang ada padanya sama ada memelihara dalam kepala dalam bentuk penghafalan (yakni kuat hafalannya) atau memelihara dalam bentuk penulisan (yakni sentiasa menulis apa sahaja yang dipeliharanya dengan dakwat dan pena).

Untuk sesebuah hadis itu mencapai martabat "sahih", semua perawi dalam senarai penyampai hadis itu harus memiliki kedua-dua sifat "thiqat" ini dengan kesempurnaan tanpa ada kecacatan. Hadis-hadis sahih merupakan hadis yang terbukti sepenuhnya sebagai perkataan Rasulullah yang benar dan tidak ada sebab lain yang wujud yang boleh menimbulkan keraguan bahawa hadis itu benar-benar hadis Rasulullah setelah dikaji dari pelbagai sudut.

Hukum Beramal Dengan Hadis-Hadis Yang Mencapai Martabat "Sejahtera" atau "sahih" ( صَحِيْحٌ )

Hadis-hadis sahih merupakan hadis yang berjaya mencapai martabat "sahih" setelah dikaji dari sudut sanad, periwayatan dan matan (tulisannya), tidak tergolong dalam hadis-hadis "syaaz" ( ba: شَاذٌّ ) atau "ganjil" dan bukan pula hadis-hadis "munkar" ( ba: مُنْكَرٌ ) atau "dibantah" yang kedua-duanya berada dalam ketegori hadis "marduud" (tertolak).

Maka, meyakini hadis-hadis sahih sebagai sumber wahyu kedua setelah al-Quran adalah WAJIB dan membantahnya bererti ingkar kepada satu bahagian dari as-Sunnah, yakni ingkar kepada perkataan Rasulullah yang benar. Dengan yang demikian, beramal dengan hadis-hadis sahih adalah WAJIB kerana ia merupakan wahyu Allah yang tidak dapat dibantah lagi. Ia berada di bawah al-Quran dalam tingkatan wahyunya.

Hadis-hadis "Baik" atau "hasan" ( حَسَنٌ ) dan Penjelasannya

- HADIS-HADIS HASAN - Sama seperti hadis sahih - yakni setiap hadis Rasulullah yang di dalam sanadnya mengandungi perawi-perawi yang memiliki sifat terpercaya namun mereka tidak kuat penghafalannya seperti mana kuat penghafalan perawi-perawi hadis sahih.

Perkataan "hasan" ( ba: حَسَنٌ ) membawa maksud "baik", "elok" dan "cantik".

Hukum Beramal Dengan Hadis-Hadis Yang Mencapai Martabat "Baik" atau "hasan" ( حَسَنٌ )

Hadis-hadis hasan diperlakukan dengan keadaan yang sama seperti hadis-hadis sahih dari segi hukum beramal dengannya, walaupun darjatnya sedikit rendah dibandingkan dengan hadis-hadis sahih, ia tidak mengandungi kecacatan atau kelemahan yang membawa kepada keraguan bahawa ia memang hadis Rasulullah. Jadi, hukum beramal dengan hadis-hadis yang mencapai taraf hasan adalah WAJIB seperti mana WAJIB beramal dengan hadis-hadis SAHIH.

Hadis-hadis "Lemah" atau "dhaif" ( ضَعِيْفٌ ) dan Penjelasannya

- HADIS-HADIS DHAIF - Setiap hadis yang Rasulullah yang terkandung di sanad (rantian perawi) atau matan (tulisan / teks) sesuatu kelemahan atau 'illat ( ba: عِلَّةٌ ) yang boleh menurunkan martabat hadis itu atau mendatangkan keraguan bahawa hadis itu benar-benar bersumberkan dari Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

Hadis-hadis dhaif memiliki jenis-jenis yang banyak yang menerangkan keadaan lemahnya sanad atau matan hadis itu dari berbagai sudut. Oleh kerana kami tidak berniat untuk memanjangkan risalah ini, maka kami tinggalkan penyebutannya di sini.

Hukum Beramal Dengan Hadis-hadis yang Berada Pada Martabat "Lemah" atau "dhaif" ( ضَعِيْفٌ )

Hukum beramal dengan hadis-hadis dhaif adalah berbeza bergantung kepada jenis-jenisnya. Ada sebilangan hadis dhaif yang kelemahannya tidak terlalu serius dan boleh ditolak ansurkan lagi. Hadis-hadis dhaif telah disepakati oleh seluruh muhaddisin (ahli hadis) bahawa ia tidak boleh digunakan sebagai hujjah untuk menetapkan hukum ahkam Islam dalam masalah semua masalah fekah atau hukum ahkam Islam. Kami tegaskan beberapa perkara penting yang harus diperhatikan ketika melihat hadis-hadis dhaif. Antaranya:

1. Hadis-hadis dhaif tidak semuanya berada pada ketegori "tertolak" secara mutlaq. Ada sebilangannya yang masih boleh digunakan kerana kecacatan yang terkandung dalamnya sedikit dan tidak mendatangkan keraguan yang jelas dan bahawa hadis tersebut masih berasal dari Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

2. Hukum beramal dengan hadis dhaif adalah boleh sekiranya hadis tersebut hanya menjelaskan persoalan yang berkenaan dengan hal-hal kelebihan amal, peringatan berbentuk berita gembira atau ancaman azab untuk menakut-nakutkan dari melakukan perbuatan dosa dan maksiat.

3. Sesuatu hadis yang dhaif boleh naik martabatnya menjadi hasan, sekiranya ada bukti sokongan daripada sumber yang lebih kuat, seperti al-Quran atau hadis-hadis sahih.

Hadis-hadis "palsu" atau "maudhu'" ( مَوْضُوْعٌ ) dan Penjelasannya

Kami mengemukakan satu topik pembahasan yang agak panjang dalam masalah ini dalam satu bahagian yang kami asingkan. Diharapkan para pembaca yang budiman dapat menziarahi pautan berikut untuk mendapatkannya.

Hadis-hadis Palsu dan Penjelasannya

Penutup

Alhamdulillah, telah selesai semua pembahasan kami terhadap ilmu kajian hadis yang disebutkan sebagai ilmu mustolah hadis ini. Dengan hujjah-hujjah yang kami kemukakan dan bukti-bukti yang kami bawakan, telah jelaslah bahawa golongan anti-hadis tidak memiliki sebab yang kuat untuk membantah hadis-hadis Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang mulia, kerana kaedah-kaedah yang dibentuk daripada ilmu kajian hadis ini tidak lain bersumberkan daripada ajaran al-Quran juga. Tidak ada apa-apa sebab lagi untuk kita meragui bahawa hadis-hadis Rasulullah yang memang sedia digunakan oleh ummat Islam semenjak zaman berzaman adalah benar-benar perkataan Rasulullah yang mengandungi perintah, larangan, galakan, nasihat serta tunjuk ajar Allah kepada ummat manusia. Dengan itu, kami ingin menegaskan dengan setegas-tegasnya bahawa hadis-hadis itu satu bahagian dari as-Sunnah, dan as-Sunnah itu merupakan wahyu Allah yang mulia seperti mana al-Quran, kedudukannya sebagai wahyu di bawah Kitab Allah, al-Quran.

Risalah ini telah ditulis dan kami telah mencuba sedaya upaya untuk menyesuaikan bahasanya mengikut kefahaman golongan anti-hadis dan orang-orang awam yang tidak memiliki pengetahuan yang mendalam tentang ilmu hadis. Namun, kami mengakui bahawa risalah ini masih tidak lengkap, masih banyak pembaharuan yang boleh dilakukan. Justeru itu, kami sediakan ruang seluas-luasnya bagi usaha pembaikan dari segala sudut dan apa-apa sahaja cadangan yang difikirkan baik, kami bersedia untuk menerimanya.

1 comment:

  1. Salam,

    Sangat jelas dari artikel tuan diatas menampakkan atau membuktikan bahwa riwayat-riwayat hadis yang tuan amalkan mempunyai kelemahan dari semua segi sebab itulah timbul bermacam-macam gelaran kepada riwayat hadis itu sendiri yang golongan tuan sendiri labelkan....

    Sedangkan kitab2 wahyu yg terddahulu tidak pantas untuk diikuti kerana Allah dah maklumkan ianya telah dicemari dgn campur tangan manusia.... inikan pula riwayat2 hadis....

    Riwayat2 hadis ini bila2 masa sahaja orang2 berkepentingan seperti tuan segolongan mempergunakan nama baginda..... cipta riwayat hadis untuk menyokong amalan tuan lantas mempergunkan nama baginda nabi..... lalu tuan segolongan sebarkan bahwa ianya (riwayat hadis itu) dari Nabi) dan mencipta suatu kaedah..... seperti, ini sahih dari nabi sebab sanad dan isnadnya, ianya bukan hadis ahad dan bermacam-macam lagi kaedah yang tuan segolongan cipta agar ianya benar-benar seperti dari nabi.... walhal akikatnya apa pun kaedah tipuan yg tuan buat untuk memperlihatkan ianya sahih tetap mempunyai kelemahan....

    Takkan itu pun tak nampak lagi....???

    ReplyDelete