Selamat Datang


Dan di antara mereka pula ada orang-orang yang buta huruf, mereka tidak mengetahui akan isi al-Kitab selain dari angan-angan (penerangan-penerangan bohong dari ketua-ketua mereka), dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja." - [ al-Baqarah: 2/78 ].

Ketahuilah! Sesungguhnya aku telah diutuskan dengan al-Qur'an dan yang seumpamanya (as-Sunnah) bersama-sama. Hampir sahaja (munculnya) seorang lelaki yang kekenyangan sambil bersandar di atas katilnya lalu berkata: Hendaklah kalian berpegang kepada al-Qur'an ini sahaja, apa yang dihalalkannya maka halalkanlah dan apa yang diharamkannya. maka haramkanlah - Ketahuilah, apa yang diharamkan oleh Rasul itu serupa seperti apa yang diharamkan Allah". - [ Tirmizi, Abu Daud, Ibn Majah, Ahmad ].

Tuesday, June 5, 2012

Perbezaan Di Antara "Quraniyyun" Atau "Ahli al-Qur'an" Yang Benar Dan Ahli al-Qur'an Dakwaan Golongan Anti-Hadis Yang Palsu - Siapa Sebenarnya yang Layak Digelar Ahli al-Qur'an

Di antara sebahagian daripada tanda-tanda kebenaran Sunnah, Allah telah mencampakkan ke dalam hati para Ahlus Sunnah perasaan cinta dan penghayatan yang sangat mendalam terhadap al-Qur'an. Mereka telah disaksikan sebagai manusia yang paling mendalam kecintaan, penghayatan dan pemahaman mereka terhadap al-Qur'an. Tidak pernah terjadinya satu keadaan di dalam Islam bahawa mereka meninggalkan atau menentang ajaran al-Qur'an, bahkan merekalah manusianya yang paling hebat menghayati ajaran al-Qur'an.

Apabila dikatakan, as-Sunnah berfungsi sebagai penjelasan kepada al-Qur'an, maka dengan bertambahnya pemahaman seseorang itu terhadap as-Sunnah, semakin bertambalah pemahaman dan penghayatannya terhadap Kitab Allah. Berikut kami kemukakan riwayat-riwayat yang tidak dianggap sebagai "palsu" bagi memperjelaskan hakikat perkara ini.

Allah sendiri berfirman memuji orang-orang sebegini dengan sifat mereka yang berdiri sepanjang malam membaca al-Qur'an, ruku' dan sujud dengan penuh rasa merendah diri kepada Allah,

"Nabi Muhammad ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka - dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki - dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar." -[ al-Fath: 48/29 ].

Perhatikan frasa ayat: "Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka - dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas)".

Dan ayat:

"Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun)." - [ az-Zaariyaat: 51/17-18 ].

Kecintaan dan Penghayatan Para Sahabat Rasulullah رضي الله عنهم أجمعين Terhadap al-Qur'an

1. Sahabat Rasulullah, Khalifah 'Uthman bin 'Affan رضي الله عنه diriwayatkan telah mengkhatamkan seluruh 30 juzu' al-Quran dalam Solat Witir pada malam hari. Diriwayatkan, ketika beliau dibunuh, beliau sedang duduk membaca al-Quran dan ditikam dari belakang.

2. Sahabat Rasulullah, 'Ikrimah bin Abu Jahal رضي الله عنه, ketika membuka mushaf al-Quran, beliau menangis sambil menyebut berulang-ulang kali :

هّذّا كَلاَمٌ رّبِّيْ, هّذَا كَلاَمٌ رَبِّيْ

"Inilah perkataan Tuhanku! Inilah perkataan Tuhanku!".

Kemudian, beliau jatuh pengsan, tidak sedarkan diri.

Kecintaan dan Penghayatan Para Tabi'in رحمهم الله Terhadap al-Qur'an

1. Imam Said Ibn Jubair رحمة الله عليه membaca seluruh al-Quran dalam 2 rakaat solat Sunat yang didirikannya dalam Ka'abah.

2. Imam Hasan al-Basri رحمة الله عليه berkata: "Orang zaman dahulu meyakini al-Quran itu adalah perintah dari Allah Ta'ala. Sepanjang malam mereka memikir dan merenung tentang kandungannya dan pada waktu siang mereka beramal dengannya. Sementara, kamu berusaha bersungguh-sungguh memperbetulkan sebutan huruf-huruf dan baris-baris huruf tersebut tetapi kamu tidak meyakini al-Quran sebagai perintah Tuhan dan tidak juga kamu merenung dan memikirkan kandungan al-Quran".

3. Imam as-Syafi'e رحمة الله عليه sangat rajin membaca al-Quran sehingga beliau mengkhatamkan 1 kali al-Quran pada setiap hari biasa. Pada hari-hari di bulan Ramadhan sahaja, beliau mengkhatamkan al-Quran sebanyak 2 kali khatam sehari. Ini bermakna, dalam bulan Ramadhan beliau telah khatam sebanyak 60 kali. Ini menunujukkan betapa beliau sangat mencintai al-Quran.

Suatu masa beliau berkata: "Kalian menyibukkan diri dengan ilmu fekah, tapi tidak menyibukkan diri dengan al-Quran (terlebih dulu)". Maksudnya, al-Quran adalah asal kepada ilmu fekah, bagaimana seseorang boleh mengetahui sesuatu tanpa merujuk kepada asalnya terlebih dulu.

4. Imam Sahal at-Tustari رحمة الله عليه berkata: "Tanda cinta kepada Allah ialah, wujudnya cinta terhadap perkataan Allah dalam hati".

5. Imam Sa'id Ibn Salim رحمة الله عليه berkata: "Sekiranya seseorang yang memperoleh ilmu al-Quran menganggap orang yang diberikan sesuatu nikmat lain itu lebih baik daripadanya, maka dia telah menghina nikmat Allah yang dikurniakan kepadanya".

6. Imam Ali Qari رحمة الله عليه berkata: "Sesiapa yang mendapat ilmu al-Quran, sesungguhnya dia telah menyimpan ilmu kenabian dalam dadanya".

7. Thabit Banani رحمة الله عليه dan Abu Har رحمة الله عليه telah membaca seluruh al-Quran hanya dalam masa satu hari satu malam sahaja.

8. Abu Syaikh Huna'i رحمة الله عليه berkata: "Saya mengkhatamkan al-Quran 2 kali dan ditambah lagi dengan sepuluh juzu' tambahan dalam satu hari satu malam. Kalau sekiranya saya mahu, saya boleh khatamkan lagi untuk kali ke-3".

9. Mansur bin Zazan رحمة الله عليه mengkhatamkan seluruh al-Quran dalam solat sunat Dhuha. Kemudian, beliau mengkhatamkan al-Quran sekali lagi diantara solat Zohor dan Asar. Beliau menghabiskan seluruh malamnya dengan mengerjakan solat Sunat. Beliau menangis teresak-esak sehingga hujung serbannya basah (kerana amat dalam penghayatannya terhadap al-Quran).

10. Khalifah Umar Ibn 'Abdul 'Aziz رحمة الله عليه (cicit kepada Khalifah Umar al-Khattab), yang mula memerintahkan pembukuan hadis-hadis di zamannya, diriwayatkan sering berdiri pada malam hari mendirikan solah Tahajjud. Apabila sampai kepada ayat-ayat tertentu, beliau menangis, kadang-kadang jatuh pengsan.

Diriwayatkan kerana terlalu banyak menangis kerana takutkan Allah, sebelah mata beliau telah buta.

Manusia yang dituduh oleh anti-hadis sebagai "penipu" inilah yang mula-mula memerintahkan supaya hadis-hadis dibukukan, bahkan merupakan manusia yang paling mendalam kecintaan dan penghayatannya terhadap al-Quran.

11. Imam Muhammad bin Munkadir رحمة الله عليه ialah seorang ahli hadis yang masyhur. Pada suatu malam, beliau menangis tidak terhingga dalam solat Tahajjud. Apabila ditanyakan mengapa sebabnya, beliau berkata: Ketika aku membaca al-Quran dalam solat, aku telah sampai kepada ayat ini:

وَبَدَا لَهُم مِّنَ اللَّهِ مَا لَمْ يَكُونُوا يَحْتَسِبُونَ ﴿الزمر: ٤٧﴾ أه

".. Setelah jelas nyata kepada mereka dari (hukum) Allah, azab yang mereka tidak pernah fikirkan." - [ az-Zumar: 39/47 ].

Aku merasa sangat takut kepada ancaman yang terkandung dalam ayat ini. Jadi, itulah sebabnya mengapa beliau menangis sebegitu sekali.

12. Semasa Hasan ( cucunda Rasulullah صلى الله عليه وسلم ) mengambil wudhu' untuk mengerjakan solat, wajahnya berubah menjadi pucat. Apabila ditanya sebab wajahnya menjadi pucat jawabnya: Telah datang masa untuk saya mengadap Allah, Raja Yang Maha Perkasa. Setelah berwudhu' beliau menuju ke masjid, dan apabila sampai di pintu masjid, beliau pun berdoa :

"Ya Allah, HambaMu ini berada di pintuMu. Wahai Pemilik Sifat yang Baik, telah datang kepadaMu hamba yang jahat ini. Engkau telah memerintahkan kepada yang baik dari kalangan kami supaya memberi maaf kepada orang yang membuat kejahatan. Ya Allah, Engkaulah Yang Maha Berbuat Baik dan akulah yang banyak melakukan kejahatan. Oleh itu, maafkanlah keburukanku yang ada padaku dengan kebaikan yang ada padaMu, Wahai Yang Maha Mulia."

Selepas itu, barulah beliau masuk ke dalam masjid dan mendirikan solat.

13. Khalifah Ali bin Abi Thalib كرم الله وجهه,apabila tiba waktu solahnya, wajahnya akan berubah menjadi pucat dan tubuhnya akan menggeletar. Dan apabila ditanyakan kepadanya, beliau menjawab: "Telah sampai waktunya untuk aku memikul satu amanah yang langit dan bumi pun tidak dapat memikulnya. Gunung-ganang pun tidak dapat memikulnya. Saya tidak tahu sama ada saya dapat memikulnya atau tidak".

14. Rasulullah رضي الله عنه bersabda: Allah Ta'ala berfirman: "Barangsiapa yang memusuhi para wali-waliKu, nescaya aku isytiharkan perang terhadapnya. Tidak ada seorang pun hambaKu mendekatkan diri kepadaKu melalui sesuatu yang terlebih aku cintai daripada apa yang aku fardhukan kepadaNya, dan tetaplah hambaKu itu menghampirkan diriNya kepadaKu dengan amalan-amalan Sunat sehingga aku (benar-benar) mencintaiNya. Apabila Aku mencintaiNya, Aku menjadi pandanganNya yang dia memandang melaluinya, Aku menjadi pendengarannya yang dia mendengar melaluinya, Aku menjadi tangannya yang dia memukul dengan tangan tersebut, dan Aku menjadi kakinya yang dia berjalan. Apabila dia meminta kepadaKu, pasti akan aku kabulkan permintaanNya dan apabila dia memohon bantuan daripadaKu, pasti aku akan membantuNya."

Telah jelaslah sekarang, kalian, golongan anti-hadis hanyalah seumpama seperti anak-anak kecil yang hanya tahu menghisap jari, tapi ingin menentang ratusan ribu orang professor yang benar-benar memahami al-Quran, mendalaminya, menghayatinya dan merenung makna kandungan dalamnya.

Semua perkhabaran yang kami nukilkan di atas menegaskan betapa lemahnya pemahaman dan cara pemikiran golongan anti-hadis dalam memahami al-Qur'an, sekiranya ingin dibandingkan dengan para salafussoleh yang terdahulu yang. Mereka telah tersalah besar dalam memahami al-Quran. Sebenarnya, apa yang mereka ketahui daripada al-Qur'an ini hanyalah mentafsirkannya mengikut akal dan hawa nafsu tanpa bimbingan dan tunjuk ajar Rasulullah yang memang telah diutuskan untuk mengajar dan menjelaskan al-Quran itu,kepada sekalian ummat manusia.

No comments:

Post a Comment