Bahagian I - Penjelasan Tentang Ilmu Mustholah Hadis [ مُصْطَلَحُ الحَدِيْثِ ] ( Ilmu Kajian Hadis ) : Bantahan Kepada Golongan Anti-Hadis yang Meragui Perkhabaran, Riwayat, Berita dan Penceritaaan (Hadis-hadis).
Hadis-hadis "palsu" atau "maudhu'" ( مَوْضُوْعٌ ) dan Penjelasannya
- HADIS-HADIS MAUDHU' ( مَوْضُوْعٌ ) - Hadis-hadis palsu. Setiap hadis-hadis yang bukan hadis Rasulullah, namun ia sengaja dikaitkan dengan Rasulullah. Perkataan yang direka oleh manusia, kemudian kerana ada sebab-sebab atau tujuan-tujuan tertentu, mereka mengaitkannya kepada Rasulullah. Hadis-hadis maudhu' merupakan seburuk-buruknya jenis hadis lemah (dha'if).
Di zaman di mana ilmu hadis belum dibukukan dan masih berada dalam tahap perkembangan, telah muncul ramainya pereka hadis-hadis palsu. Mereka mencipta hadis-hadis palsu bagi memenuhi bermacam-macam tujuan yang kebanyakannya bersifat peribadi, seperti melariskan perniagaan, menarik perhatian manusia kepada sesuatu, mendapatkan kelebihan dan pangkat di sisi pemerintah dan sebagainya.
Hukum Beramal Dengan Hadis-hadis "palsu" atau "maudhu'"( مَوْضُوْعٌ )
Hadis-hadis palsu (maudhu') adalah seburuk-buruknya jenis hadis lemah (dhaif). Hukum beramal dengannya adalah haram dalam semua keadaan. Terdapat amaran-amaran yang tegas daripada Baginda Rasulullah dalam larangan berdusta di atas nama Baginda. Di dalam hadis-hadis berikut,
Daripada Anas رضي الله عنه katanya:
"Barangsiapa yang sengaja berdusta di atas namaku, maka hendaklah dia menempah tempatnya di dalam neraka".
Daripada Abi Qatadah رضي الله عنه katanya, aku mendengar Rasulullah bersabda di atas minbar ini:
"Berhati-hatilah kalian daripada memperbanyakkan berbicara tentangku, maka barangsiapa yang berkata-kata ke atasku, hendaklah dia berkata yang benar atau betul, dan barangsiapa yang berkata-kata ke atasku sesuatu yang aku tidak mengatakannya, maka hendaklah dia menempah tempat tinggalnya daripada neraka".
Daripada Ali رضي الله عنه katanya, bersabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم,
"Janganlah kalian berdusta ke atasku, maka sesungguhnya barangsiapa yang berdusta ke atasku, dia akan memasuki neraka".
Berdasarkan keterangan dalam hadis-hadis di atas, para muhaddisin (ahlul hadis) telah mengambil peringatan yang sangat berat dalam hal ini. Mereke menegaskan bahawa adalah sangat penting bagi sesiapa sahaja yang terlibat meriwayatkan, menceritakan atau menyebarkan hadis-hadis Rasulullah supaya sentiasa memerhatikan terlebih dulu keadaaan sesebuah hadis. Bencana yang tertimpa ke atas para pereka hadis sangatlah berat.
Justeru itu, al-Imam Muslim rah. - pengarang kitab Sahih Muslim, kitab hadis yang berada pada tempat kedua setelah kitab Sahih Bukhari sebagai kitab hadis yang paling sahih - ada menulis satu bab yang bertajuk:
بَابُ وُجوْبِ الرِّوَايَةِ عَنِ الثِّقَاتِ وَتَرْكِ الكَاذِبِيْنَ وَالتَّحْذِيْرِ مِنَ الكِذْبِ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Bab Kewajipan Meriwayatkan Daripada Manusia yang Terpercaya Dan Meninggalkan Para Pembohong serta Amaran terhadap Perbuatan Melakukan Kedustaan atas Rasulullah
di mana beliau menulis:
"Ketahuilah, semoga Allah memberi taufiq kepada anda. Bahawa menjadi kewajipan ke atas setiap orang untuk mengetahui perbezaan di antara riwayat-riwayat yang sihat dan lemah dan perbezaan di antara manusia yang jujur terpercaya daripada manusia yang dituduh (sebagai pendusta) bahawa tidak diriwayatkan daripada mereka kecuali apa yang diketahui kesahihan sumbernya, dan (menjadi kewajipan bagi setiap orang untuk mengetahui) tersembunyinya kecacatan penyampainya dan berwaspada terhadap perkara yang wujud pada penyampai (khabar dan periwayatan itu) daripada kalangan mereka yang dituduh (sebagai pendusta, suka berbohong, lemah kekuatan ingatannya, banyak melakukan kesilapan dan sebagainya) dan (juga daripada kalangan) manusia yang melakukan kezaliman (terhadap agama Allah) daripada kalangan Ahli Bid'ah (yang melakukan penambahan dan perkara baru yang tidak wujud dalam agama) dan dalil ke atas perkara yang kami sebutkan di sini adalah firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." - [ al-Hujuraat: 49/6 ].
فَإِن لَّمْ يَكُونَا رَجُلَيْنِ فَرَجُلٌ وَامْرَأَتَانِ مِمَّن تَرْضَوْنَ مِنَ الشُّهَدَاءِ
"Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu sukai menjadi saksi ..." - [ al-Baqarah: 2/282 ].
وَأَشْهِدُوا ذَوَيْ عَدْلٍ مِّنكُمْ
"... dan adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu ..." - [ at-Thalaaq: 65/2 ].
Yakni "saksi-saksi" yang dimaksudkan dalam ilmu hadis adalah penyampai / perawi hadis-hadis Rasulullah yang menjadi "saksi" yang melihat sendiri orang yang menyampaikan perkhabaran kepadanya bahawa dia adalah seorang manusia yang memiliki semua sifat "as-thiqaat" (terpercaya), jujur dan melakukan kedustaan dan sebagainya.
Hadis-hadis palsu adalah hujjah kami ke atas golongan anti-hadis bahawa bukan semua hadis yang kami anggap benar sebelum kami mengkaji terlebih dulu keadaan periwayatan sesebuah hadis. Maka, mana sahaja hadis yang kami kaji dan kami dapati tidak terkandung apa-apa kecacatan dalamnya, kami terima dan ia diletakkan dalam ketagori hadis sahih (sejahtera) atau hasan (baik). Adapun sebaliknya, sekiranya hadis tersebut ada kecacatan dalamnya, maka ia diletakkan dalam ketagori hadis dhaif (lemah).
Sebab-sebab Kenapa Hadis-hadis Palsu Direka dan Contoh Hadis-hadis Palsu
Untuk memberikan penjelasan yang lebih tepat tentang bagaimana keadaannya hadis-hadis palsu, maka kami kemukakan satu penjelasan tentang sebab-sebab kenapa munculnya riwayat-riwayat palsu dan contohnya agar pembaca dapat lebih memahami apa sebenarnya hadis palsu dan juga sebagai hujjah ke atas golongan anti-hadis, InsyaAllah.
Sesebuah hadis itu hanya dapat diketahui kepalsuannya dengan jelas sekiranya kajian dari sudut sanadnya dibuat. Namun begitu, ada beberapa perkara yang dapat dilihat pada matan / teks asal hadis itu yang boleh memberi petunjuk kepada kepalsuannya. Di antara tanda-tanda hadis palsu ialah:
1. Perselisihan yang berlaku dalam soal politik dan pemerintahan. Yakni mereka berselisih tentang siapa yang harus dipilih untuk menjadi Khalifah. Yang paling banyak mencipta hadis-hadis palsu untuk tujuan ini adalah golongan Syiah dan Rafidhah.
Golongan Syiah telah mengadakan sebuah hadis palsu untuk menegakkan fahaman mereka yang mendewakan Sayyidina Ali. Mereka berkata:
"Barangsiapa yang ingin melihat kepada Adam tentang ketinggian ilmunya dan kepada Nuh tentang taqwanya dan baktinya, dan kepada Ibrahim tentang kebaikan hatinya dan kepada Musa tentang kehebatannya dan kepada Isa tentang ibadatnya, maka hendaklah dia melihat kepada Ali".
Golongan Syiah menyokong Sayyidina Ali dan menentang Muawiyyah, mereka mereka satu lagi hadis palsu:
"Apabila kamu melihat Muawiyyah atas mimbarku, maka bunuhlah dia".
Jelas perkataan ini adalah palsu dan tidak ada kena mengena dengan Rasulullah. Namun, mereka mereka cipta perkataan ini dan mengaitkannya dengan nama Rasulullah. Padahal, sahabat Rasulullah yang bernama Muawiyyah bin Abi Sufyan itu adalah seorang sahabat Rasulullah yang mulia, beliau adalah salah seorang dari pengumpul al-Quran dan Rasulullah sendiri bersabda di dalam hadis tentang kelebihan beliau.
Dalam pada itu, golongan lawan tidak pula terlepas dari mereka cipta hadis palsu mereka sendiri bagi mempertahankan pihak mereka pula. Maka, berlakulah satu keadaan di mana hadis palsu digunakan untuk melawan hadis palsu.
"Tidak ada sebatang pohon dalam syurga melainkan tertulis pada tiap-tiap daun daripada La Ilaaha Illaallah Muhammadun Rasuulullah, Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Faruq dan 'Uthman Zu an-Nuurain ('Uthman bin 'Affan)".
Dalam hadis palsu yang mereka reka ini, tidak pula ada tersebut nama Ali bin Abi Talib, padahal Khalifah Ali itu salah seorang sahabat Rasulullah yang merupakan Khulafaa' ar-Rasyidin ke-4 setelah Abu Bakar, 'Umar dan 'Uthman.
Maka, jelaslah, hadis-hadis ini sengaja direka untuk menjatuhkan lawan masing-masing dalam politik. Golongan Syiah yang menyokong Sayyidina Ali mencipta hadis palsu mereka sendiri untuk menyokong beliau dan menentang lawan merka Mu'awiyyah dan golongan yang berpihak kepada Mu'awiyyah juga melakukan perkara yang sama.
"Orang-orang yang terpercaya itu ada tiga orang: Aku (Rasulullah), Jibril, dan Mu'waiyyah.
Maka, wajiblah bagi seluruh ummat Islam untuk berhati-hati terhadap hadis-hadis seperti ini dan menjauhkan diri seboleh-boleh yang mungkin daripadanya.
2. Golongan Zanaadiqah - Yang berpegang kepada fahaman Zindiq - Iaitu golongan yang benci perkembangan dan kejayaan Islam serta tidak senang hati melihat kejayaan kerajaan Islam. Mereka mengadakan hadis palsu untuk menghancurkan syariat Islam, menghilangkan kemurniaannya dan mendatangkan keraguan kepada pengikutnya. Contohnya:
"Memandang kepada muka yang cantik adalah ibadat".
Tidak pernah wujud satu keadaan di mana syariat Islam menganggap perbuatan memandang ke arah wajah yang cantik itu sebagai ibadat, kerana ia tidak ada kena mengena dengan ibadat apa pun.
"Buah terung adalah penyembuh kepada segala sesuatu".
Ada banyak lagi hadis-hadis pelik yang mereka palsukan dalam urusun akidah, akhlak, ubat-ubatan dan perkara halal dan haram.
3. Golongan 'Asabiyyah - Yang taksub kepada kesukuan, kaum, bangsa dan kebudayaan. Mereka pun ada mereka hadis palsu, antaranya:
"Sesungguhnya Allah, apabila ia murka diturunkannya wahyu dengan Bahasa Arab dan apabila ia redha, diturunkannya wahyu dengan Bahasa Parsi.
Manusia yang paling jahil tentang agama sekali pun mengetahui bahawa al-Quran itu diturunkan dalam Bahasa Arab. Lalu, maksud yang terkandung dalam hadis ini tidak masuk akal sama sekali. Ia bukan perkataan Rasulullah tetapi sebaliknya rekaan mereka sahaja.
Kemudian, sekumpulan orang-orang Arab yang dangkal pemikirannya pula mereka cipta hadis yang serupa lalu memutarkan balik kandungannya:
"Sesungguhnya Allah, apabila ia murka diturunkannya wahyu dengan Bahasa Parsi dan apabila ia redha, diturunkannya wahyu dengan Bahasa Arab."
4. Golongan yang taksub kepada imam-imam mazhab. Pengikut Imam Abu Hanifah, pengasas Mazhab Hanafi - Meraka mendakwa Rasulullah bersabda:
"Akan muncul seorang lelaki daripada ummatku bernama Abu Hanifah an-Nu'man bin Thabit, dialah pelita ummatku".
Golongan yang benci kepada Imam as-Syafi'e pula mereka cipta hadis palsu mereka;
"Akan ada seorang lelaki dari kalangan ummatku bernama Muhammad bin Idris (as-Syafi'e), dia lebih merbahaya ke atas ummatku daripada Iblis".
Padahal, ketika zaman Rasulullah masih hidup, kedua-dua orang imam ini belum lahir lagi. Mustahil Baginda boleh mengetahui kedua-duanya dan menyebut pula nama mereka dengan jelas.
Ada banyak lagi sebab-sebab kenapa hadis-hadis palsu dicipta oleh golongan manusia yang tidak bertanggung jawab dan tidak memiliki rasa takwa kepada Allah dalam hati mereka. Kami kemukakan hanya empat contoh di sini untuk meringkaskan.
Tanda-tanda Hadis Palsu - Cara Untuk Mengenal Hadis-hadis Palsu
Seterusnya kami kemukakan pula penjelasan tentang tanda-tanda hadis palsu. Antaranya ialah:
1. Wujudnya sebab-sebab yang kuat untuk seseorang itu membuat hadis palsu itu. Contohnya:
al-Hakim meriwayatkan daripada Saif bin Umar at-Taimi katanya: "Kami pada suatu hari berada di tempat Sa'ad bin Tarif. Kemudian, datang anaknya dengan tergesa-gesa sambil menangis . Sa'ad bertanya: "Mengapa?". Anaknya menjawab: "Saya telah dipukul oleh guru". Di kala itu, Sa'ad terus mengeluarkan sebuah hadis marfu' iaitu: Telah menceritakan kepadaku oleh 'Ikrimah dan Ibn 'Abbas bahawa Rasulullah bersabda:
"Guru anak-anak kamu itu adalah orang yang paling jahat daripada kamu, mereka sangat kurang kasih sayangnya kepada anak yatim dan amat kasar hati terhadap orang-orang miskin".
"Guru anak-anak kamu itu adalah orang yang paling jahat daripada kamu, mereka sangat kurang kasih sayangnya kepada anak yatim dan amat kasar hati terhadap orang-orang miskin".
Contoh yang lain seperti hadis.
"Hariisah itu menguatkan tulang belakang".
Hadis ini dibuat oleh seorang bernama Muhammad bin Hajjaaj an-Nakh'i, penjual harisah - yakni sejenis bubur yang diperbuat daripada gandum dicampur daging - bertujuan untuk melariskan buburnya.
2. Hadis-hadis yang mengandungi maksud yang menyalahi akal, iaitu perkara yang mudah difahami dan ditangkap oleh akal fikiran. Misalnya seperti hadis:
"Bahawasanya bahtera Nabi Nuh as. bertawaf tujuh kali di sekeliling Ka'abah dan bersembahyang di makam Nabi Ibrahim as. dua rakaat".
Akal waras manusia tidak mungkin menerima kejadian seperti itu, yang demikian, tidaklah munasabah sekali bahawa Rasulullah ada mengatakan sebegini. Seterusnya, akal tidak membenarkan dongeng yang nyata kedustaannya seperti:
"Ayam putih adalah kekasihku dan kekasih kepada kekasihku Jibrail as."
3. Menyalahi nas (keterangan al-Quran yang tegas). Contohnya:
"Anak zina tidak akan masuk syurga hingga tujuh keturunan".
Hadis ini menyalahi ayat:
"Tidak memikul seseorang yang bersalah itu akan kesalahan orang lain".
Sebenarnya hukum yang diambil daripada hadis palsu di atas diambil daripada Kitab Taurat dan tidak dapat diterima kerana bercanggahan dengan al-Qur'an. Dan tidak pula ada penjelasan lain yang boleh diberikan dalam menjelaskan hakikat sebenar wajah / bentuk percanggahan ini, maka memang jelas, hadis di atas palsu dan bercanggahan dengan al-Quran.
4. Menerangkan pahala yang sangat besar untuk sesuatu amal yang sangat kecil, atau menerangkan azab yang sangat besar untuk satu dosa yang amat kecil. Hadis-hadis sebegini diadakan oleh sebilangan ahli riwayat untuk menggemarkan orang ramai kepada amalan tertentu atau menakutkan mereka daripada perbuatan tertentu. Contohnya:
"Barangsiapa yang bersolat Dhuha sekian raka'at diberikan pahala tujuh puluh orang Nabi".
Hanya dua rakaat solat Dhuha seseorang itu berjaya mendapat pahala 70 orang Nabi. Ini salah satu tanda "pahala yang berlebih-lebihan" pada kandungan hadis-hadis palsu. Juga hadis ini:
"Barangsiapa yang membaca Laa Ilaaha Illaallah, nescaya dijadikan Allah baginya seekor burung yang memiliki 70,000 lidah, bagi tiap-tiap lidah mempunyai tujuh puluh ribu bahasa yang memohonkan keampunan bagi dirinya".
Kesimpulan Tentang Hadis-hadis Palsu
Kesimpulannya, hadis-hadis palsu memang wujud dan golongan yang mula-mula terlibat dalam mereka cipta hadis palsu adalah golongan Syiah. Dan mereka melakukannya untuk tujuan politik dan menyokong fahaman mereka yang mendewakan Sayyidina Ali. Kemudian, golongan yang menentang Syiah pula bangkita mencipta hadis palsu mereka sendiri bagi menentang hadis palsu yang dibuat oleh golongan Syiah itu.
Hahahaa...... tak nampak lagi ke.... ? Benda yg tak selamat juga yg di dikuti..... !!!
ReplyDeleteIalah tu.... masing2 golongan mendakwa riwayat hadis mereka yg betul dan riwayat hadis golongan lain salah..... walhal masing2 pun sama sahaja iaitu mempergunakan nama baginda untuk kepentingan golongan masing-masing..... takkan tak sedar lagi.... aduhai.....