Selamat Datang


Dan di antara mereka pula ada orang-orang yang buta huruf, mereka tidak mengetahui akan isi al-Kitab selain dari angan-angan (penerangan-penerangan bohong dari ketua-ketua mereka), dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja." - [ al-Baqarah: 2/78 ].

Ketahuilah! Sesungguhnya aku telah diutuskan dengan al-Qur'an dan yang seumpamanya (as-Sunnah) bersama-sama. Hampir sahaja (munculnya) seorang lelaki yang kekenyangan sambil bersandar di atas katilnya lalu berkata: Hendaklah kalian berpegang kepada al-Qur'an ini sahaja, apa yang dihalalkannya maka halalkanlah dan apa yang diharamkannya. maka haramkanlah - Ketahuilah, apa yang diharamkan oleh Rasul itu serupa seperti apa yang diharamkan Allah". - [ Tirmizi, Abu Daud, Ibn Majah, Ahmad ].

Monday, April 30, 2012

Mempertahankan Ulama-ulama Dan Cendekiawan Islam Dari Serangan Anti-Hadis - Siapakah ulama? - Penjelasan Terhadap Firman Allah, Surah Faathir ( 35:28 ) - "Sesungguhnya yang takut kepada Allah itu hanyalah dari kalangan hamba-hambaNya yang berilmu"

Disediakan oleh: Ahmad Dailami.

Firman Allah سبحانه وتعالى maksudnya :

وَمِنَ النَّاسِ وَالدَّوَابِّ وَالْأَنْعَامِ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ كَذَٰلِكَ ۗ إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ

"Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya. Sebenarnya yang takut kepada Allah itu hanyalah dari kalangan hamba-hambaNya yang berilmu ( 'ulama ). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun." - [ Faathir: 35/28 ].

Asal usul perkataan | al-'ulamaa | ( العٌلَمَاءُ ) dan Penggunaannya Dalam al-Qur'an

Alhamdulillah,
Sekiranya kita memerhatikan teks / tulisan asal ayat ini, ada tersebut kalimah "orang-orang yang berilmu" atau "ulama" ( ba: العُلَمَاءُ ). Golongan anti-hadis telah mentafsirkan perkataan ulama itu dengan tafsiran mereka sendiri. Mereka mengatakan, perkataan ulama disitu tidak merujuk kepada para alim ulama yang memiliki pengetahuan yang mendalam terhadap al-Qur'an dan Sunnah, namun sebaliknya para saintis, ahli biologi, ahli botani, ahli kaji alam dan sebagainya.

Perkataan العُلَمَاءُ sebenarnya adalah kata banyak / jama' ( ba: جَمْعٌ, bi: plural ) daripada perkataan | al-'aalim | ( العَالِمُ ) yang membawa maksud "orang-orang yang mengetahui". Kedua-dua perkataan ini terbit daripada akar kata | al-'ilmu | ( العِلْمُ ) yang membawa maksud "tahu" atau "mengetahui" ( bi: to know ). Daripada kata akar inilah, terbit pula perkataan | al-'allaamah | ( العَلَّامَةُ ) yang bermaksud "yang sangat mengetahui, yang sangat mendalam pengetahuannya, yang sangat banyak ilmunya".

Konsep ulama’ boleh ditakrif dengan berbagai definisi yang berlandaskan latar belakang kesarjanaan atau disiplin ilmu masing-masing. Tidak ada satu penggunaan yang menterhadkan perkataan ilmu itu hanya kepada ilmu-ilmu tertentu sahaja, tapi sebaliknya ia boleh merujuk kepada apa sahaja ilmu samaada yang bersifat | dharuuriyy | ( ضَرُوْرِيُّ ) bermaksud "keperluan, keterdesakan", atau | iktisaabi | ( إِكْتِسَابِيُّ ) bermaksud "pilihan" - yakni seseorang boleh memilih untuk mempelajari ilmu itu atau tidak mahu mempelajarinya. Namun begitu, sekiranya kita memerhatikan dalam al-Qur'an, tidaklah ayat-ayat yang menerangkan tentang ilmu itu merujuk kepada segala jenis ilmu secara umumnya, sebaliknya ada beberapa petunjuk yang dapat diperhatikan daripada ayat-ayat tersebut yang mengkhususkan maksudnya kepada ilmu-ilmu tertentu sahaja.

Dalam al-Quran terdapat dua kali sahaja perkataan itu digunakan. Kedua-duanya merujuk kepada yang mendalami pengetahuan agama. Yang mendalami agama Islam diistilahkan dengan al-ulama’. Ada alif dan lam. Ini bererti bahawa ulama’ dalam ayat al-Quran tersebut adalah istilah khusus yang dimaklumi bahwa hanya diguna pakai untuk yang mengetahui dan mendalami tentang agama Islam sahaja. Sedangkan perkataan-perkataan dalam bentuk lain yang juga merujuk kepada orang-orang berilmu, seperti | al-laziina uutul 'ilm | ( الَّذِيْنَ أُوْتُوْا العِلْمَ ) bermaksud "mereka yang diberikan ilmu" dan | ulul 'ilm | ( أُوْلُوْ العِلْمِ ) bermaksud "yang empunya ilmu pengetahuan", ada digunakan beberapa kali yang akan kami bawakan penjelasan terhadap perkaitannya kemudian, InsyaAllah.

Di dalam bahasa arab ada banyak istilah selain ulama’ yang diguna bagi merujuk kepada bidang masing-masing. Contohnya (khabir atau khubara’ untuk pakar yang lain dari bidang agama), Muhtarif atau muhtarifun, Fanni atau fanniyyun yang merujuk kepada technician, Mahandis arkitek, Tabib akhsai pakar perubatan.

Jawapan Terhadap Golongan Anti-Hadis: Bantahan Terhadap Pendapat yang Mengatakan Bahawa Ulama yang Dimaksudkan Dalam al-Qur'an itu Bukan Ulama-ulama Islam

Golongan anti-hadis mengatakan bahawa perkataan | al-'ulamaa' | ( العُلَمَاءُ ) yang dimaksudkan dalam firman Allah Surah Faathir ayat 28 itu tidak merujuk kepada para ulama dan ilmuwan Islam seperti ahli hadis, ahli fekah dan sebagainya. Mereka berdalilkan ayat sebelumnya ( Faathir: 35/27 ) dan bahagian pertama dari firman Allah tersebut, yakni:

أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ أَنزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجْنَا بِهِ ثَمَرَاتٍ مُّخْتَلِفًا أَلْوَانُهَا ۚ وَمِنَ الْجِبَالِ جُدَدٌ بِيضٌ وَحُمْرٌ مُّخْتَلِفٌ أَلْوَانُهَا وَغَرَابِيبُ سُودٌ

"Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu buah-buahan yang berlainan jenis dan rupanya; dan di antara gunung-ganang pula ada yang mempunyai jalur-jalur serta lorong-lorong putih dan merah, yang berlainan warnanya (tua dan muda) dan ada juga yang hitam legam" - [ Faathir: 35/27 ]

وَمِنَ النَّاسِ وَالدَّوَابِّ وَالْأَنْعَامِ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ كَذَٰلِكَ

"Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya ..." - [ Faathir: 35/28 ]

Di dalam ayat 27 dan bahagian permulaan ayat 28, Allah menjelaskan satu gesaan supaya orang-orang berakal itu memikirkan dan merenung tentang ciptaannya yang berada di langit dan bumi, seperti hujan dari langit yang turun, kemudian hujan itu berfungsi menumbuhkan tumbuh-tumbuhan, buah-buahan daripada muka bumi dan sebagainya, kemudian gunung ganang dan bentuk-bentuk muka bumi yang beraneka ragam, binatang-bintang ternakan yang bermacam-macam jenis untuk kegunaan manusia dan lain-lain.

Maka, golongan anti-hadis berhujjah dengan mengatakan, semua manusia yang memiliki kepakaran dalam ilmu kaji bumi atau ahli geologi, ilmu kajian tumbuh-tumbuhan atau ahli botani dan sebagainya, merekalah yang dimaksudkan Allah dengan "orang-orang berilmu" dalam ayat itu. Allah tidak pula menyebutkan tentang ilmu hadis, ilmu fekah, ilmu tafsir al-Qur'an dan sebagainya, maka ulama-ulama Islam yang memiliki kemahiran dalam ilmu-ilmu itu bukanlah ulama yang dimaksudkan Allah.

Kami membantah penetapan ini dari dua sudut:

1. Wujudnya perkaitan di antara sifat | khashyatullah | ( خَشْيَةُ الله ) yakni "takut kepada Allah" dengan sifat | al-'ilm | ( العِلْمُ ) yakni "mengetahui". Sekiranya kita memerhatikan ayat tersebut, maka kita dapat melihat perkataan | yakhsyaallah | ( يَخْشَى الله ) yang membawa maksud "takutkan Allah". Allah menjelaskan bahawa mereka yang benar-benar memiliki sifat takut kepadaNya itu adalah hamba-hambaNya dari kalangan ulama dan orang-orang berilmu.

Oleh kerana Allah mengaitkan sifat "berilmu" di sini dengan sifat "takut", perkaitan ini menunjukkan kepada kita bahawa tidaklah semua orang berilmu itu yang dimaksudkan oleh ayat ini. Sebaliknya, hanya mereka yang takutkan Allah sahaja yang dimaksudkan. Apakah perkaitan di antara ilmu dan sifat takutkan Allah, dan bagaimana seseorang itu boleh memiliki sifat takut kepada Allah melalui ilmu-ilmu yang dimilikinya?

Sekiranya dakwaan golongan anti-hadis yang mengatakan bahawa ayat ini merujuk kepada ahli geologi atau ahli botani, maka seperti mana yang kita faham, ilmu kaji bumi dan tumbuhan tidaklah terus dapat menghasilkan rasa takut kepada Allah di dalam hati. Ramai ahli geologi dan botani yang muncul sekarang, kebanyakan mereka terdiri daripada orang-orang bukan Islam yang tidak ada rasa takut kepada Allah di dalam hati, bahkan mereka kafir dan tidak beriman pun. Sedangkan orang-orang Islam yang menjadi ahli geologi atau botani pun, tidak semudah itu untuk menghasilkan rasa takut kepada Allah di dalam hati.

Jadi, ayat ini sebenarnya merujuk kepada satu golongan manusia yang dikurniakan Allah dengan ilmu melalui perantaraan | "al-hikmah" | ( الحِكْمَةُ ) atau kebijaksanaan yang dicampak di dalam hati mereka. Melalui hikmah tersebut, mereka mampu merenung dengan mendalam hikmah yang terkandung dalam setiap ciptaan Allah di langit dan bumi serta peraturan-peraturan yang ditetapkanNya. Mereka merasa kebesaran dan keagungan Allah yang dengan itu membawa kepada terhasilnya sifat | al-mahabbah | ( المَحَبَّةُ ) dan | al-khashyah | ( الخَشْيَةُ ), yakni cinta dan takut kepada Allah.

Mereka mendapat kebijaksanaan itu dengan cara | muraqaabah | ( مُرَاقَبَةٌ ) yang bermaksud "renungan" - merenung dan berfikir dengan mendalam tentang kebesaran dan kekuasaan zat yang Maha Pencipta - di mana perbuatan "muraaqabah" yang kita sebutkan di sini adalah salah satu amalan-amalan di dalam Ilmu Tasawwuf, satu ilmu yang membicarakan tentang | tazkiyah an-nufuus | ( تَزْكِيَةُ النُّفُوْسِ ) atau "pembersihan jiwa", bagaimana caranya untuk menghampirkan diri kepada Allah melalui penyucian jiwa, di mana penyucian jiwa itu menuntut seseorang itu untuk melibatkan diri dalam dua perbuatan:

1. | at-takhalli min kulli raziilah | ( التَّخَلِّي مِنْ كُلِّ رَذِيْلَةٌ ) - yakni membersihkan / menyucikan diri daripada sifat-sifat tercela atau sifat-sifat | mazmuumah | ( مَذْمُوْمَةٌ ).

2. | at-tahalli bi kulli fadhiilah | ( التَّحَلِّي بِكُلِّ فَضِيْلَةٍ ) - yakni menghiaskan diri dengan sifat-sifat terpuji atau sifat-sifat | mahmuudah | ( مَحْمُوْدَةٌ )

Kedua-dua perkara yang kami sebutkan di atas adalah unsur yang paling asas yang diajarkan di dalam Ilmu Tasawwuf atau disebutkan sebagai ilmu akhlak, di mana apabila wujud kedua-duanya, sempurnalah keadaan jiwa seseorang itu dan bebaslah dari sebarang bentuk pengaruh buruk yang mengotorkan hatinya. Sekiranya kita melihat kepada bahagian "menyucikan diri daripada sifat-sifat tercela", kita akan mendapati bahawa ini adalah salah satu tanggungjawab Rasulullah diutuskan kepada ummat ini, seperti yang disebutkan di dalam firmanNya:

لَقَدْ مَنَّ اللَّهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولًا مِّنْ أَنفُسِهِمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا مِن قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ

"Sesungguhnya Allah telah mengurniakan rahmatNya kepada orang-orang yang beriman, setelah Ia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah dan membersihkan mereka, serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata." - [ Aali 'Imran: 3/164 ].

Di dalam ayat di atas, Allah menegaskan beberapa tanggungjawab Rasul diutuskan kepada ummat ini, yakni kepada orang-orang beriman, di antara salah satunya ditunjukkan oleh lafaz | yuzakkiihim | ( يُزَكِّيْهِمْ ) yang bermaksud "menyucikan atau membersihkan mereka". Inilah yang dimaksudkan dengan kedua-dua perkara yang kami sebutkan di atas, yakni "at-takhalli min kulli raziilah" - menyucikan diri daripada sifat-sifat tercela - dan "at-tahalli bi kulli fadhiilah" - menghiasai diri dengan sifat-sifat terpuji. Di antara salah satu daripada sifat-sifat terpuji tersebut adalah | "al-khashyah" | ( الخَشْيَةُ ) - di mana seseorang itu merasa takut kepada Penciptanya, takut kepada kebesaran dan keagunganNya, takut untuk melakukan perbuatan yang melanggar hak-hak Allah, dan takut untuk meninggalkan tanggungjawab terhadapNya

Sifat "takut" yang disebutkan di dalam firman Allah itu tidak akan terhasil melainkan melalui ilmu pengetahuan atau "al-hikmah" ( kebijaksanaan ) yang dicampakkan Allah ke dalam hati-hati manusia. Maka, manusia yang dikurniakan Allah dengan ilmu pengetahuan ini, merekalah yang dimaksudkan dengan orang-orang berilmu dalam ayat Surah Faathir di atas. Mereka juga disebutkan dengan istilah | al-'aarifuun billah | ( العَارِفُوْنَ باللهِ ) yang membawa maksud "orang-orang yang kenal Allah".

Ketahuilah, Ilmu Tasawwuf itu tidak boleh terhasil kecuali daripada dua sumber: al-Qur'an dan as-Sunnah. Oleh itu, seseorang itu tidak boleh mengetahui Ilmu Tasawwuf sebelum dia memahami terlebih dulu lain-lain ilmu yang berkaitan dengan al-Qur'an dan as-Sunnah seperti Ilmu Tafsir al-Qur'an, Ilmu Hadis, Ilmu Fekah, Ilmu Sirah / Sejarah Islam dan sebagainya. Yang demikian ini sekaligus menetapkan, lafaz "orang-orang berilmu" atau "ulama" yang dirujukkan oleh firman Allah Taala itu merujuk kepada para ilmuwan dan cendekiawan Islam yang memiliki pengetahuan yang mendalam tentang semua ilmu itu, kerana seperti mana yang kami jelaskan, sifat takutkan Allah itu adalah sebahagian daripada Ilmu Tasawwuf,dan Ilmu Tasawwuf pula tidak boleh wujud kecuali setelah ada ilmu-ilmu lain yang berkaitan dengannya. Perkara ini terjadi semata-mata kerana wujudnya perkaitan di antara "takut" dengan "berilmu" di situ.

2. Sekiranya kita memerhatikan pada ayat-ayat lain yang merujuk kepada orang-orang berilmu, seperti ayat-ayat yang menggunakan perkataan-perkataan seperti frasa | al-laziina uutul 'ilm | ( الَّذِيْنَ أُوْتُوْا العِلْمَ ) bermaksud "mereka yang diberikan ilmu" dan frasa | ulul 'ilm | ( أُوْلُوْ العِلْمِ ) bermaksud "yang empunya ilmu pengetahuan", kebanyakannya merujuk kepada makna mereka yang memiliki pengetahuan yang mendalam terhadap wahyu, al-Qur'an dan as-Sunnah. Di sini, kita bawakan beberapa ayat yang menunjukkan ulama-ulama dirujukkan dengan sifat apa.

i. Yang memahami hakikat Tauhid - mengesakan Allah.

شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ ۚ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

"Allah bersaksi bahawa tidak ada Tuhan melainkanNya, dan Para MalaikatNya juga, dan orang-orang yang memiliki ilmu pengetahuan (bahawa) Dia mentadbirkan seluruh alam dengan keadilan. Tidak ada Tuhan melainkanNya, Dialah Tuhan yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana". - [ Aali 'Imran: 3/18 ].

Di dalam ayat tersebut, Allah merujuk orang-orang berilmu dengan lafaz | ulul 'ilm | ( أُوْلُوْا العِلْمِ ). Sekiranya kita memerhatikan maknanya, Allah memberitahu bahawa selain daripada zatNya - diriNya - sendiri, para malaikat dan orang-orang yang dikurniakan ilmu itu juga bersaksi bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah, yakni mereka mengetahui keesaan Allah dengan benar, kerana mendalamnya pengetahuan mereka tentang ilmu Tauhid dan mendalamnya pengetahuan mereka tentang kebesaran dan keagungan sifat-sifat Allah.

ii. Mereka yang memelihara al-Qur'an di dalam dada mereka, yakni menghafalnya.

بَلْ هُوَ آيَاتٌ بَيِّنَاتٌ فِي صُدُورِ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ ۚ وَمَا يَجْحَدُ بِآيَاتِنَا إِلَّا الظَّالِمُونَ

"Bahkan ia ( al-Qur'an ) ayat-ayat keterangan yang jelas nyata, yang terpelihara di dalam dada orang-orang yang berilmu; dan tiadalah yang mengingkari ayat-ayat keterangan Kami melainkan orang-orang yang zalim" - [ al-'Ankabuut: 29/49 ].

Frasa "terpelihara di dalam dada orang-orang yang berilmu" menunjukkan bahawa mereka tidak semata-mata membaca al-Qur'an, tapi menghafalnya dan mengetahui rahsia isi kandungannya dengan mendalam - kerana itu ia wujud di dalam dada mereka. Maka, perkataan orang-orang berilmu di sini merujuk kepada para penghafal al-Qur'an yang juga memiliki pengetahuan mendalam tentang selok belok ilmu al-Qur'an.

iii. Orang-orang beriman yang mendengar pengajaran al-Qur'an daripada Rasulullah sendiri.

وَمِنْهُم مَّن يَسْتَمِعُ إِلَيْكَ حَتَّىٰ إِذَا خَرَجُوا مِنْ عِندِكَ قَالُوا لِلَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ مَاذَا قَالَ آنِفًا ۚ أُولَٰئِكَ الَّذِينَ طَبَعَ اللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ وَاتَّبَعُوا أَهْوَاءَهُمْ

"Dan di antara mereka yang mendengar ajaranmu sehingga apabila mereka keluar dari sisimu berkatalah mereka kepada orang-orang yang diberi ilmu: "Apa yang dikatakan oleh dia ( Muhammad ) tadi?" Mereka (yang munafik) itu ialah orang-orang yang telah dimeteraikan Allah atas hati mereka, dan ialah orang-orang yang menurut hawa nafsunya." - [ Muhammad: 47/16 ].

Ayat ini merujuk kepada orang-orang munafiq di zaman Rasulullah yang berada ketika khutbah Solat Jumaat. Ketika orang-orang munafiq itu keluar daripada khutbah tersebut kerana berpaling dan tidak mahu mendengar pengajaran Rasulullah, mereka memperolok-olokkan beberapa ulama daripada kalangan sahabat Rasulullah seperti 'Abdullah Ibn Mas'ud dan 'Abdullah Ibn 'Abbas. Maka, frasa "orang-orang yang diberi ilmu" di sini merujuk kepada sahabat-sahabat Rasulullah yang memang dikenali sebagai ulama-ulama tafsir al-Qur'an - yang memiliki pengetahuan yang sangat mendalam tentang al-Qur'an, yakni kedua-dua orang yang disebutkan diatas. Mereka telah diperolok-olokkan oleh orang-orang munafiq itu, dengan dikatakan kepada mereka: "Apakah yang diajarkan oleh Muhammad tadi?"

Demikian itu hanya beberapa contoh yang kami berikan. Sekiranya kita memerhatikan semua ayat yang menjelaskan tentang orang-orang berilmu, Allah merujuk kepada manusia yang sebenar-benarnya memahami kebenaran wahyu, yakni al-Qur'an dan as-Sunnah. Ini jelas menunjukkan kepada segala cabang ilmu yang terbit daripada kedua-duanya, kerana tidak ada sesiapa yang mampu memahami kebenaran sesuatu melainkan dengan ilmu. Maka, apabila dikatakan, memahami kebenaran al-Qur'an dan as-Sunnah, maka mestilah dengan ilmu-ilmu yang terhasil daripada penelitian terhadap kedua-duanya.

Tidak ada ayat-ayat yang menerangkan tentang orang-orang berilmu itu yang merujuk kepada makna yang didakwakan oleh golongan anti-hadis, seperti ahli geologi, botani, dan sebagainya, tetapi sebaliknya, semuanya jelas merujuk kepada al-Qur'an dan as-Sunnah serta kaitan-kaitannya. Maka, telah jelas dan tidak ada keraguan lagi bahawa perkataan "ulama" yang disebutkan di dalam firman Allah, dalam Surah Faathir, ayat 35/28 itu merujuk kepada manusia yang diberi pengetahuan yang mendalam terhadap al-Qur'an dan as-Sunnah kerana dalil-dalil yang kami berikan bahawa Allah merujuk para alim ulama dengan sifat "takut kepadaNya". Telah terbatallah segala hujjah golongan anti-hadis dan sesungguhnya mereka telah tersalah dalam memahami firman Allah tersebut.

No comments:

Post a Comment