Selamat Datang


Dan di antara mereka pula ada orang-orang yang buta huruf, mereka tidak mengetahui akan isi al-Kitab selain dari angan-angan (penerangan-penerangan bohong dari ketua-ketua mereka), dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja." - [ al-Baqarah: 2/78 ].

Ketahuilah! Sesungguhnya aku telah diutuskan dengan al-Qur'an dan yang seumpamanya (as-Sunnah) bersama-sama. Hampir sahaja (munculnya) seorang lelaki yang kekenyangan sambil bersandar di atas katilnya lalu berkata: Hendaklah kalian berpegang kepada al-Qur'an ini sahaja, apa yang dihalalkannya maka halalkanlah dan apa yang diharamkannya. maka haramkanlah - Ketahuilah, apa yang diharamkan oleh Rasul itu serupa seperti apa yang diharamkan Allah". - [ Tirmizi, Abu Daud, Ibn Majah, Ahmad ].

Saturday, April 7, 2012

Penjelasan Terperinci Terhadap Hadis Sekumpulan Monyet Merejam Monyet Betina Yang Berzina

Disediakan oleh: Ahmad Dailami

Hadis tentang kisah sekumpulan kera merejam kera betina ini adalah hadis yang menjadi sasaran kepada bantahan dan penjelasan dari berbagai-bagai sudut oleh ulama-ulama Islam. Sebelum kami memulakan perbincangan yang lebih panjang terhadap hadis ini dari semua sudut yang boleh dijelaskan, kami merasakan amat wajar untuk dikemukakan dulu beberapa bantahan asas yang paling ketara terhadap hadis ini:

1. Hadis ini BUKAN hadis Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Sebaliknya, hadis ini adalah hadis / perkataan seorang sahabat Baginda yang tidak ada kena mengenanya dengan perkataan Rasulullah sendiri. Jadi, ia digolongkan dalam bab ATHAR ( آثَارُ ) ( perkataan sahabat-sahabat ), bukan perkataan Rasulullah. Dalam istilah ilmu hadis, setiap perkataan sahabat-sahabat Rasulullah yang mereka tidak menyebutkan "Rasulullah bersabda ....", tapi hanyalah perkataan mereka sendiri disebutkan dengan istilah "mauquuf" ( مَوْقُوْفٌ ).

2. Persitiwa yang terjadi dalam hadis ini berlaku sebelum kedatangan Islam dan ia hanyalah pengalaman seorang sahabat Rasulullah صلى الله عليه وسلم ketika zaman Jahiliyyah. Pada waktu itu, Islam belum muncul lagi, dan hukum ahkam Islam belum tertegak. Maka, tidak ada sebab untuk menggunakan hadis ini sebagai alasan untuk merujuk kepada hukum rejam yang diamalkan di zaman setelah kebangkitan Islam.

3. Jadi ia tidak membawa sebarang percanggahan dengan syariat Islam dan kerana itu, hadis ini bukanlah hujjah kepada tertegaknya hukum rejam dalam Islam. Adapun hujjah sebenarnya, dalam menetapkan hukum rejam sebagai sebahagian dari amalan yang diperintahkan oleh Islam adalah seperti berikut:
Hukum rejam pada penzina yang telah berkahwin, lelaki dan perempuan telah diamalkan sendiri oleh Rasulullah dan para sahabatnya, bermula di zaman perkembangan Islam, dikala mereka bergiat menyebarkan dakwah Islam, sehinggalah zaman Rasulullah wafat. Setelah kewafatannya, para sahabat pula yang meneruskan perlaksanaan hukum rejam ini seperti mana hukum-ahkam dan ketentuan Islam yang lain seperti solat fardhu 5 waktu dan sebagainya, sehingga perkara ini diamalkan dan ma'ruf (diketahui dengan pasti) oleh seluruh ummat Islam sebagai ketentuan syariat Allah yang jelas dalam Islam, tidak mungkin dibantah lagi dengan apa cara sekalipun, kerana membantahnya bererti membantah sesuatu yang memang diperintahkan oleh Islam sendiri, dan yang demikian itu menetapkan seseorang itu sebagai mengingkari Islam dan keluar daripadanya - yakni menjadi kafir (tidak beriman kepada Allah dan agamaNya, Islam). Maka, sesuatu yang amat mustahil untuk dikatakan bahawa hukum rejam itu bukan hukum Allah dan sebahagian dari Islam padahal ratusan ribu mata ummat Islam yang hidup di zaman Rasulullah - yakni para sahabat Rasulullah - telah menyaksikan sendiri bagaimana ia diamalkan dan menjadi sebahagian dari ketentuan Islam.

Berikut saya kemukakan pembahasan yang tentangnya, bagi sesiapa yang ingin mendapatkan penjelasan yang sebaik-baiknya dari berbagai-bagai wajah atau sudutnya.

Kisah ini (bukan hadis Rasulullah) telah diceritakan oleh seorang sahabat Rasulullah bernama 'Amru bin Maimun,  telah dikeluarkan oleh al-Imam al-Bukhari (3849) dalam Fathul Bari Syarah Sahih al-Bukhari (penjelasan terhadap hadis-hadis Sahih al-Bukhari) (3636).

حَدَّثَنَا نُعَيْمٍ بْنُ حَمَّادُ حَدَّثَنَا هُشَيْمٍ عَنْ حَصَيْنٍ عَنْ عَمْرٍو بْنِ مَيْمُوْنَ قَالَ رَأَيْتُ فِيْ الجَاهِلِيَّةِ قِرْدَةً اجْتَمَعَ عَلَيْهَا قِرَدَةً قَدْ زَنَتْ فَرَجَمُوْهَا فَرَجَمْتُهَا مَعَهُمْ

Daripada ‘Amru bin Maimun ( عَمْرُو بْنُ مَيْمُوْنَ ) katanya,
"Aku melihat di kala zaman Jahiliyyah seekor kera betina, berhimpun kepadanya kera-kera lain, dia (kera betina itu) telah berzina, maka mereka pun merejamnya, dan aku turut merejamnya bersama mereka".

Berkata al-Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani :

Dan sesungguhnya al-Ismaili (al-Imam as-Syaikhul Islam Abu Bakar Ahmad bin Ibrahim al-Jurjaani al-Ismaili) telah membawa kisah ini dengan satu bentuk lain yang lebih panjang. Kisah tersebut terbit daripada jalan ‘Isa bin Hatthan :

عن عمرو بن ميمون قال : كُنْتُ فِيْ اليَمْنِ فِيْ غَنَمٍ لِأَهْلِيْ وَأَنَا عَلَى شَرَفٍ ، فَجَاءَ قِرْدٌ مِنْ قِرَدَةٍ فَتَوَسَّدَ يَدَهَا ، فَجَاءَ قِرْدٌ أَصْغَرُ مِنْهُ فَغَمَزَهَا ، فَسَلَّتْ يَدَهَا مِنْ تَحْتِ رَأْسِ القِرْدِ الأَوَّلِ سَلًّا رَفِيْقًا وَتَبِعَتْهُ ، فَوَقَعَ عَلَيْهَا وَأَنَا أَنْظُرُ ، ثُمَّ رَجَعَتْ فَجَعَلَتْ تَدْخُلُ يَدَهَا تَحْتَ خَدِّ الأَوَّلِ بِرِفْقٍ ، فَاسْتَيْقَظَ فَزْعًا ، فَشَمَّهَا فَصَاحَ ، فَاجْتَمَعَتِ القُرُوْدُ ، فَجَعَلَ يَصِيْحُ وَيُوْمِئُ إِلَيْهَا بِيَدِهِ ، فَذَهَبَ القُرُوْدُ يُمْنَةً وَيُسْرَةً ، فَجَاءُوْا بِذَلِكَ الْقِرْدِ أَعْرِفُهُ ، فَحَفَّرُوْا لَهُمَا حَفْرَةً فَرَجَمُوْهُمَا ، فَلَقَدْ رَأَيْتُ الرَّجَمَ فِي غَيْرِ بَنِيْ آدم

Daripada ‘Amru bin Maimun ( عَمْرُو بْنُ مَيْمُوْنَ ) katanya:
"Aku berada di Yaman di dalam sekawan kambing milik keluargaku, sedangkan aku menjaganya. Maka di situ, ada seekor kera betina. Datang seekor kera jantan daripada sekumpulan kera, lalu tidur berbantalkan tangan kera betina itu. Datang pula seekor kera jantan yang kecil lalu memberi isyarat kepadanya. Kera betina tersebut menarik tangannya daripada kepada kera jantan yang pertama (yang tidur berbantalkan tangannya) dengan perlahan-lahan lalu mengikuti kera jantan yang kecil itu, lalu kera jantan menindih atasnya sedangkan aku melihat sahaja. Kemudian, kera betina itu kembali, maka mulalah ia memasukkan semula tangannya di bawah pipi kera pertama tadi dengan lemah lembut. Maka kera pertama itu terjaga secara mengejut, lalu menciumnya dan berteriak. Maka berhimpunlah kera-kera sekaliannya, maka kera jantan itu berteriak-teriak dan menunjukkan isyarat ke arah kera betina itu dengan tangannya. Berlarilah kera-kera itu semua ke kanan dan kiri, maka mereka membawa kera yang aku mengenalinya (kera jantan yang berzina), mereka menggali tanah bagi kedua-duanya (jantan dan betina yang berzina), dan mereka merejamnya kedua-duanya. Maka sesungguhnya, aku telah melihat rejam dilakukan pada makhluk selain dari Bani Adam."

Ayat-ayat Al-quran Yang Menjelaskan Tentang Kaum Bani Israel Yang Diubah Rupa Parasnya.

"Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: "Jadilah kamu kera yang hina". – [ al-Baqarah: 2/65 ].

"Dan bertanyalah kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan mereka, yang kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari-hari lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik." – [ al-A'raaf: 7/163 ].

"Wahai orang-orang yang telah diberikan Kitab, berimanlah kamu dengan apa yang telah Kami turunkan (Al-Quran), yang mengesahkan Kitab-Kitab yang ada pada kamu, sebelum Kami menyeksa dengan menghapuskan bentuk muka kamu, lalu Kami menjadikannya sama seperti rupa sebelah belakangnya, atau Kami melaknatkan mereka sebagaimana Kami telah melaknatkan orang-orang (dari kaum mereka – Yahudi) yang melanggar larangan bekerja pada hari Sabtu. Dan (ingatlah) perintah Allah itu tetap berlaku." – [ an-Nisaa': 4/47 ].

Berkata al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani :

1. Berkata al-Imam Ibn at-Tiin: Boleh jadi mereka ini (kera-kera tersebut) adalah daripada keturunan yang telah diubah wajahnya (rujuk semua firman Allah di atas), maka kekal di kalangan mereka akan hukum ini. Kemudian dia berkata "Sesungguhnya kaum yang diubah rupa itu tidak membiak (beranak pinak)". Dan inilah pendapat yang mu’tamad (yang menjadi pegangan), kerana ada satu hadis dalam Sahih Muslim "Kaum yang diubah rupa parasnya itu tidak ada keturunan". Dan juga ada satu hadis daripada Ibn Mas’ud "Sesungguhnya Allah tidak membinasakan sesuatu kaum, maka setelah itu dia menjadikan keturunan bagi mereka".

2. Sesungguhnya al-Imam Abu Ishaq az-Zajjaj dan al-Imam Abu Bakar Ibn Arabi telah membawa pendapat bahawa makhluk yang wujud daripada kera-kera itu berasal daripada keturunan yang diubah rupa parasnya, dan ianya merupakan pendapat yang syaaz (ganjil). Mereka yang berpegang kepada pendapat ini juga berhujjahkan hadis Sahih Muslim bahawa sesungguhnya Nabi, ketika di datangkan dengan "dhabb" (sejenis biawak padang pasir yang halal dimakan), Baginda bersabda "Barangkali ianya berasal dari qurun manusia yang diubah rupa parasnya". Dan Baginda bersabda dalam hal tikus "Telah berlalu satu kaum daripada Bani Israel, aku tidak melihat mereka kecuali (dengan rupa) tikus".

Dan jumhur (majoriti) ulama telah menjawab ketentuan ini dengan kenyataan, bahawa sesungguhnya Rasulullah mengatakan perkara itu sebelum diwahyukan ke atas diri Baginda hakikat sebenar perkara itu. Kerana itu, tidak datang satu keputusan yang jelas tentangnya. Ini berbeza dengan penafian, maka sesungguhnya penafian itu memutuskan dengan pasti keadaan hakikat sesuatu perkara itu seperti mana yang tersebut dalam hadis Ibn Mas’ud di atas (Allah tidak membinasakan sesebuah kaum …). Bermakna, penafian bahawa Allah tidak mengazab sesebuah kaum itu, kemudian menjadikan pula keturunan bagi mereka, ini adalah keputusan yang menjelaskan hakikat urusan ini sebenarnya.

3. Bukanlah ini menetapkan bahawa kera-kera tersebut memiliki keturunan. Boleh jadi, kaum yang diubah rupa bentuknya itu, ketika mereka menjadi kera-kera, kefahaman dan akal masih bersama-sama mereka, lalu kera-kera yang asal (yang memang semulajadinya kera) becampul gaul dengan mereka (kera-kera jadian daripada manusia itu) kerana mereka memiliki rupa bentuk yang sama, yakni rupa bentuk kera, maka kera-kera yang asal itu menerima daripada mereka sebahagian perlakuan yang mereka saksikan daripada kera-kera jadian itu (yang masih mengamalkan amalan manusia, yakni perzinaan dan rejam), lalu mereka mengingatinya, dan terjadilah perbuatan zina dan merejam itu dikalangan kera-kera semulajadi itu.

Saya (Ahmad Dailami) berkata: Maksudnya di sini, kera-kera yang memang secara asal semulajadinya kera itu, meraka bercampul gaul dengan kaum Bani Israel yang telah diubah rupa parasnya menjadi kera. Dan ketika rupa paras mereka diubah, akal mereka masih wujud, dan mereka melakukan perbuatan zina dan rejam, lalu kera-kera semulajadi yang bercampur gaul dengan mereka melihat perlakuan ini, mereka mempelajarinya dan menghafalnya, lalu terjadilah perbuatan tersebut kepada generasi dan keturunan kera-kera semulajadi yang lain, sampailah kepada peristiwa yang disaksikan dalam hadis ini.

Seterusnya, al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata lagi:
Maka, kera-kera telah menjadi terkhusus dengan satu sifat yang ada pada mereka daripada kecerdikan yang melebihi daripada binatang-binatang yang lain, dan kemampuan untuk menerima pembelajaran pada setiap pekerjaan (yang mereka lihat), yang tidak ada bagi kebanyakan haiwan. Dan daripada sifat-sifatnya kera itu, mereka ketawa, riuh rendah bersuka cita, dan menceritakan apa yang mereka lihat, dan dalam diri mereka juga ada sesuatu daripada sifat cemburu yang menyerupai anak-anak Adam (manusia)".

Saya (Ahmad Dailami) berkata: Maksudnya, kera-kera tersebut memiliki kercerdikan yang lebih daripada haiwan-haiwan lain, kerana mereka mampu belajar dari sebahagian kelakuan dan tindak tanduk manusia, sedangkan haiwan lain tidak mampu berbuat begitu. Wallahu a’lam.

3. Bahawa semua kera tersebut daripada kalangan jin. al-Imam al-Hafiz Ibn ‘Abdil Barr telah mengingkari kisah ‘Amru bin Maimun ini dan berkata: Di dalamnya terkandung satu perkaitan zina kepada makhluk yang tidak mukallaf (yang tidak menanggung apa-apa, pahala atau dosa), dan menegakkan had (hudud) ke atas binatang-binatang berkaki empat, dan ini adalah sesuatu yang munkar di sisi ahli ilmu. Beliau berkata: Sekiranya jalan kisah ini benar, maka berkemungkinan mereka ini daripada golongan jin kerana mereka (jin itu) daripada golongan mukallaf (yang menanggung tanggungjawab keagamaan, seperti pahala dan dosa). Dan yang demikian ini kerana beliau hanya meneliti kisah yang lebih panjang daripad jalan yang dibawa oleh Imam al-Ismaili itu, dan perkara ini dijawab dengan bahawa sesungguhnya tidak semestinya bentuk peristiwa yang terjadi dalam bentuk zina dan rejam ini benar-benar menetapkannya sebagai zina dan rejam yang hakiki, tapi hanyalah ia dinamakan sebagai zina dan rejam kerana keserupaaan dengan kedua-duanya, maka yang demikian ini tidaklah menetapkan berlakunya taklif ke atas para haiwan (haiwan tidak menanggung apa-apa tanggungjawab pahala atau dosa, dan mereka tidak direjam kalau melakukan perhubungan, kerana mereka tidak perlu berkahwin, seperti yang dilakukan pada manusia).

Demikianlah penjelasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani rah. dalam kitabnya, Fathul Baari Syarah Sahih al-Bukhari (penjelasan untuk Sahih al-Bukhari). Dan kami terpaksa membawakannya daripada kitab ini, walaupun kami mengerti sikap golongan anti-hadis yang tidak suka kepada buku-buku dan ulama-ulama, kerana ini adalah penjelasan yang terbaik yang pernah wujud di sisi kami.

PENJELASAN TERAKHIR
Oleh: Ahmad Dailami

Sebenarnya, sekiranya dikaji dari sudut "al-Qiaas" atau "perbandingan akal", dalam hadis ini, memang tidak ada apa-apa masalah, dan ada satu perkara yang mampu kita perhatikan, antaranya :-

1. Athar (آثّارُ) ini membicarakan tentang monyet-monyet yang melakukan perbuatan zina. Apakah layak makhluk-makhluk Allah yang tergolong dalam kategori binatang seperti monyet, yang sama sekali tidak memiliki akal, layak dijadikan sebagai hujjah untuk merujuk kepada hukum rejam yang pada hakikatnya, dilakukan oleh manusia yang berakal, yakni penzina manusia yang berakal? Kalau sekiranya, monyet dijadikan sebab kepada berlakunya hukum rejam, yang dimaksudkan dalam hadis ini sebenarnya, hanyalah "qias" atau "penyerupaan" monyet-monyet kepada para penzina yang direjam, kerana melakukan perbuatan zina itu serupalah dengan menjadikan diri sendiri seperti binatang monyet yang tidak berakal. Dan qias atau penyerupaannya di sini hanya tertuju antara "monyet-monyet yang direjam" dengan "penzina-penzina berkahwin yang direjam", melalui sifat "tidak menggunakan akal". Sedangkan, orang-orang yang melakukan rejam itu sendiri tidaklah tergolong dalam qias ini. Jadi, secara tidak langsung, hadis ini telah terkandung di dalamnya satu pengajaran yang sangat berguna bagi kita.

2. Qias / penyerupaan itu terjadi melalui wajah / bentuk berikut: Monyet-monyet yang direjam diserupakan dengan penzina-penzina yang telah berkahwin yang direjam, kerana monyet adalah makhluk Allah yang berupa binatang yang tidak berakal, lalu Allah tidak mensyariatkan apa-apa kepada binatang yang tidak ada akal. Jadi, sekiranya penzina yang telah berkahwin sekali pun, masih lagi melakukan perbuatan zina, itu serupa keadaannya dengan monyet yang tidak berakal, yang mereka tidak membezakan mana satu perhubungan jenis yang halal, dan mana satu yang haram, kerana seperti yang maklum di sisi kita, monyet-monyet melakukan hubungan sejenis sesuka hati, tanpa perlu ada ikatan yang sah, kerana mereka tidak bertanggungjawab untuk menjadikan diri mereka terkawal oleh peraturan syariat Allah, seperti mana yang perlu dilakukan bagi diri manusia yang benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, yang perlu kepada perkahwinan melalui jalan yang baik. Binatang-binatang bukan makhluk yang mukallaf (yang diberatkan ke atas diri mereka tanggungjawab keagamaan). Demikianlah wajah (bentuk) qiasnya dalam hal ini.

No comments:

Post a Comment