"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah". Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam". - [ Ali 'Imran: 3/64 ].
Pada frasa ayat ( bahagian dari ayat di atas ),
" ... jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan Tuhan ( sembahan ) selain dari Allah ... "
Golongan anti-hadis telah sekali lagi mengemukakan tafsiran yang salah pada firman Allah, di mana mereka mentafsirkannya menggunakan akal dan hawa nafsu mereka. Mereka mengatakan bahawa ayat ini ditujukan kepada para alim ulama, bahawa golongan Sunni sentiasa menyembah dan mengagung-agungkan para alim ulama.
Tafsiran yang betul terhadap ayat Surah Ali Imran ( 3/64 )
Untuk memahami ayat ini dengan baik, mari kita mengikuti petunjuk orang-orang yang lebih memahami al-Quran. Di dalam hal ini, ada dua orang ulama yang bernama Ibn Juraij dan 'Ikrimah yang berguru daripada para sahabat Rasulullah sendiri, dan sahabat-sahabat Rasulullah pula seperti mana yang kita faham, mereka berguru terus dari Rasulullah. Ini adalah satu kenyataan yang tidak dapat dibantah lagi. Ia merupakan satu fakta yang diketahui umum.
" ... jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan Tuhan ( sembahan ) selain dari Allah ... "
Berkata Ibn Juraij:
Yakni sebahagian kita mentaati sebahagian lain di dalam melakukan maksiat kepada Allah.
Berkata 'Ikrimah:
Yakni sebahagian kita sujud ( tunduk ) kepada sebahagian yang lain.
Tafsir al-Qurtubi:
"Janganlah sebahagian kita mengikuti sebahagian lain dalam menghalalkan atau mengharamkan sesuatu kecuali di dalam apa yang dihalalkan oleh Allah". Dan ayat ini serupa dengan firman Allah:
اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِّن دُونِ اللَّهِ وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا إِلَٰهًا وَاحِدًا لَّا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ سُبْحَانَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ
"Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli ugama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan."
Maknanya: Mereka menempatkan kedudukan rahib-rahib dan ahli agama mereka pada kedudukannya Tuhan di dalam menerima apa yang mereka halalkan dan apa yang mereka haramkan, bagi apa yang tidak pernah diharamkan Allah dan tidak pernah pula dihalalkanNya.
Kedua-dua ayat ini - Surah Ali Imran, (3/64) dan Surah at-Taubah (9/31) - Adalah satu peringatan supaya jangan menggunakan akal, hawa nafsu atau pendapat peribadi bagi meneliti perkara yang berkait dengan soal hukum ahkam Islam, kerana setiap perkara yang berpandukan ijtihad ( pendapat peribadi ) pun harus diteliti dulu dalil dan nas-nas keterengannya daripada al-Quran dan as-Sunnah, bukan bermaksud tidak boleh menghormati para alim ulama seperti mana yang didakwakan oleh golongan anti-hadis.
Seperti mana yang kita fahami, menghormati golongan yang telah dimuliakan Allah dengan hikmah dan kebijaksanaan seperti para alim ulama adalah dibenarkan, bahkan digalakkan, namun haruslah berpada-pada dan tidak berlebih-lebihan sehingga membawa kepada sikap taksub kepada mereka, kerana yang demikian itu adalah sikap kaum Bani Israel seperti yang disebutkan Allah dalam dua ayat di atas. Demikian ini adalah sikap yang ditegaskan oleh ramai para fuqaha' ( ahli hukum ahkam ) dalam Islam. Berikut kami nyatakan beberapa perkataan sebagai bukti bahawa ulama-ulama Sunni tidak pernah disembah atau dipuja-puja secara berlebih-lebihan kecuali oleh sebilangan pengikut-pengikut yang tertimpa ke atas diri mereka penyakit taksub.
Imam Malik rah. ( pengasas Mazhab Maliki ) berkata:
"Aku ini hanyalah manusia biasa seperti kamu semua, kadang-kadang aku benar dalam pendapatku dan kadang-kadang aku salah. Maka, hendaklah kalian melihat kepada pendapatku baik-baik, maka setiap apa yang bersesuian dengan al-Kitab dan as-Sunnah, maka ambillah. Setiap apa yang bercanggahan dengan al-Kitab dan as-Sunnah, maka tinggalkanlah.
Imam as-Syafi'e rah. ( pengasas Mazhab Syafi'e ) berkata:
"Apa sahaja yang kamu katakan daripada perkataan yang ada didalamnya perkara yang bercanggahan dengan Sunnah, maka perkataan yang benar adalah perkataan Rasulullah dan itulah pendapat ( perkataan ) ku."
Imam Ahmad bin Hanbal rah. ( pengasas Mazhab Hanbali ) berkata:
"Janganlah engkau bertaqlid ( berpegang secara membabi buta ) kepadaku, kepada Syafi'e atau Maliki, al-Awzaa'i atau at-Thauri, dan ambillah daripada sumber ( asal ) di mana mereka mengambilnya ( al-Kitab dan as-Sunnah )".
Ayat ini merujuk kepada keadaan di zaman Bani Israel di mana sebilangan kaum Bani Israel telah mengambil rahib-rahib dan pemimpin-pemimpin agama mereka sebagai Tuhan yang mempunyai kuasa untuk menghalalkan dan mengharamkan sesuatu tanpa berpandukan Kitab Allah dan petunjuk Rasul mereka. Jadi, rahib-rahib mereka berkuasa menetapkan hukum mengikuti hawa nafsu mereka sendiri dan mereka hanya mengikuti sahaja rahib-rahib mereka itu.
Adapun ummat Muhammad, Allah telah mengurniakan kepada mereka kaedah, peraturan dan disiplin dalam memahami Kitab Allah dan Sunnah Rasul mereka berdasarkan panduan yang betul dan melalui alat yang betul seperti sanad dan sebagainya, maka Allah telah menyelamatkan mereka daripada perkara yang terjadi pada Bani Israel itu
No comments:
Post a Comment