اللَّهُ نَزَّلَ أَحْسَنَ الْحَدِيثِ
"Allah telah menurunkan sebaik-baik hadis ( sebaik-baik perbicaraan ) iaitu al-Kitab ( al-Quran ) ..." - [ 39:23 ].Golongan anti hadis selalu menyalahgunakan ayat ini dan beberapa ayat lain yang seumpama dengannya. Ini kerana mereka hanya mengambil ayat yang tidak lengkap sepenuhnya untuk mengambarkan ayat Al-Quran itu adalah hadis (perbicaraan) Allah. Lalu, mereka membawakan ayat tersebut dan mewarwarkannya dengan tafsiran mereka sendiri. Walhal pemahaman mereka itu telah jelas salah dan tersasar kerana mereka tidak meneliti ayat itu dengan sepenuhnya, apatah lagi untuk menilai dari beberapa sudut yang wajib diperhatikan untuk memahami ayat-ayat Allah dengan betul.
Perkara yang sering mereka dakwakan dalam memahami ayat ini adalah: Allah menyebutkan bahawa al-Quran adalah " ahsanal hadiis " atau " perkataan terbaik ", maka ia sudah cukup sebagai panduan yang lengkap dan sempurna. Dengan itu, al-Qur'an tidak perlu kepada hadis-hadis Rasulullah صلى الله عليه وسلم.
Sesungguhnya tafsiran ini adalah salah dan amat tidak bertepatan sekali dengan apa yang dikehendaki oleh Allah daripada ayat ini. Bahkan, sekiranya diperhatikan dari beberapa wajah / sudut, kita akan mendapati, secara zahirnya pun ( secara makna luaran, tanpa mengambil kira tafsiran yang lebih mendalam ), ayat ini tidak boleh sama sekali difahami dengan cara begitu. Bagi menjelaskan kenapa sebabnya tafsiran mereka ini salah, kami kemukakan pembahasan dari sudut bahasa dan bentuk sebenar ayat ini, InsyaAllah.
Penjelasan Terhadap Makna "at-Tafdhiil" [ التَّفْضِيْلُ ] atau "Melebihkan" Pada Kalimah "Ahsanal Hadis" ( sebaik-baik perbicaraan ).
Sebelum membawakan penjelasannya, kami bawakan dulu teks asal ayat al-Quran yang dimaksudkan dan terjemahan penuhnya:
اللَّهُ نَزَّلَ أَحْسَنَ الْحَدِيثِ كِتَابًا مُّتَشَابِهًا مَّثَانِيَ تَقْشَعِرُّ مِنْهُ جُلُودُ الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ ثُمَّ تَلِينُ جُلُودُهُمْ وَقُلُوبُهُمْ إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ هُدَى اللَّهِ يَهْدِي بِهِ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُضْلِلِ اللَّهُ فَمَا لَهُ مِنْ هَادٍ
"Allah telah menurunkan sebaik-baik hadis ( sebaik-baik perbicaraan ) iaitu al-Kitab ( Al-Quran ) yang berserupaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain, yang berulang-ulang, menggeletar kulit orang-orang yang takutkan Tuhan mereka, kemudian kulit dan hati mereka menjadi lembut kepada peringatan Allah. Demikianlah petunjuk Allah yang ditunjuki dengannya sesiapa yang dikehendakiNya. Dan barangsiapa yang disesatkan Allah, tidak adalah bagi dirinya pemberi petunjuk yang lain" [ az-Zumar: 39/23 ]
Sekiranya dikaji dari sudut asal usulnya, kalimah " ahsanu " [ أَحْسَنُ ] berasal dari kalimah " hasuna " [ حَسَنٌ ] yang membawa maksud baik, elok dan bagus. Frasa " ahsanal hadiis " [ أَحْسَنَ الحَدِيْثِ ] yang disebutkan dalam firman Allah di atas membawa maksud " sebaik-baik perkataan ".
Makna " melebihkan " / " at-tafdhiil " [ التَّفْضِيْلُ ] - Ditakrifkan sebagai: "Melebihkan sesuatu di atas sesuatu yang lain dari sudut tingkatan sifat yang sama wujud pada kedua-duanya". Contohnya,
"Muhammad lebih bijak daripada Ali
" Sifat " yang dimaksudkan dalam " pelebihan " atau " perbuatan melebihkan " Muhammad ke atas Ali di sini adalah sifat " bijak ". Di dalam hal ini, sifat yang sama berhimpun pada kedua-duanya, yakni Muhammad memiliki sifat bijak dan begitu juga si Ali. Maka, kita katakan, sifat bijak itu " bersekutu " pada kedua-dua orang ini. Jadi, di dalam kenyataan di atas, apa yang dimaksudkan ialah, "melebihkan martabat atau tingkatan sifat baik yang dimiliki oleh Muhammad ke atas martabat sifat baik yang dimiliki oleh si Ali". Namun, ini bukan bermaksud "menghapuskan sifat baik yang ada pada si Ali dan menetapkan sifat baik tersebut hanya pada si Muhammad".
Perbuatan melebihkan yang kita bincangkan di atas merujuk kepada perbandingan di antara 2 perkara yang bersekutu satu sifat yang sama. Ini disebutkan dalam istilah sebagai " komparatif " ( dalam Bahasa Inggeris, comparative degree ) Satu bentuk lagi pelebihan adalah "meletakkan tingkatan sifat sesuatu di atas semua sekutunya yang lain". Ini terjadi apabila satu kelompok perkara berkongsi satu sifat yang sama, namun pada berbeza tingkatan sehingga salah satu daripada perkara-perkara tersebut memegang martabat yang tertinggi. Ini kita sebutkan dalam istilah sebagai " superlatif " ( dalam Bahasa Inggeris, superlative degree ). Sebagai contoh,
"Muhammad paling bijak / terbijak di antara sahabat-sahabatnya, Ali, Azmi dan Jamal"
Di dalam hal ini, Muhammad, Ali, Azmi dan Jamal, semuanya memiliki sifat " bijak ". Kenyataan di atas berniat untuk "melebihkan tingkatan / martabat sifat bijak si Muhammad melebihi daripada semua sekutu-sekutunya yang lain". Di dalam erti kata lain, "meletakkan tingkatan sifat bijak Muhammad pada tingkatan yang tertinggi di antara sekalian sekutunya yang lain". Ini juga, seperti makna " komparatif ", tidak membawa maksud "menghapuskan segala sifat baik yang ada pada sekutu-sekutu yang lain", yakni Ali, Azmi dan Jamal.
Maka, berdasarkan penjelasan kami ini, firman Allah yang menyebutkan perkataan " ahsanal hadiis " [ أَحْسَنَ الحَدِيْثِ ], perkataan " ahsana " itu menggunakan satu bentuk yang kita sebutkan dalam Bahasa 'Arab sebagai bentuk " at-tafdhiil " atau " melebihkan " dengan makna " superlatif ", yakni "meletakkan tingkatan / martabat sifat baik al-Qur'an melebihi kebaikan yang ada pada perkataan-perkataan lain", bukan "menghapuskan sifat baik yang ada pada perkataan lain yang juga dipandang terpuji dan baik, dan hanya menetapkan al-Qur'an sahaja sebagai satu-satunya perkataan yang baik". Ini kerana, seperti mana yang kami akan jelaskan berikutnya, Allah sendiri memuji beberapa perkataan manusia biasa yang baik, yang bukan perkataannya sendiri ( KitabNya, al-Qur'an ).
Makna sebenar kalimah "ahsanal hadis"
Berdasarkan ketentuan yang dapat dilihat di atas, di mana kami menyebutkan "Makna melebihkan tidak bermaksud membatalkan (menghapuskan) sifat-sifat yang wujud dalam sekutunya yang lain", maka kita dapat memahami satu kesimpulan yang pasti: Firman Allah yang menyebutkan frasa ayat "Allahu nazzala ahsanal hadis" ( الله نَزَّلَ أَحْسَنَ الحَدِيْثِ ) yang membawa maksud "Allah telah menurunkan sebaik-baik perbicaraan" tidak sama sekali menghapuskan sifat "baik" yang ada pada perbicaraan lain, yang selain dari perbicaraan Allah, yakni perbicaraan yang datang dari lisan manusia, seperti mana yang difahami oleh golongan antii-hadis.
Ini jelas apabila Allah sendiri telah menyebutkan di dalam beberapa tempat dalam al-Quran perintah supaya manusia sentiasa berkata benar, jujur dan perkataan yang baik, di antaranya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا
"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat (benar)" - [ al-Ahzaab: 33/70 ].
Juga dalam ayat:
يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لَا تَغْلُوا فِي دِينِكُمْ وَلَا تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ إِلَّا الْحَقَّ
Wahai Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam agama kamu dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar ..." - [ an-Nisaa': 4/171 ].
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
"Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam" - [ Fusshilat: 41/33 ].
Sekiranya yang dimaksudkan di sini - semoga Allah memelihara kita dari kesesatan dan salah tafsiran dalam memahami ayatNya - bahawa Allah membatalkan segala kebaikan yang terkandung dalam perkataan lain dan hanya berniat untuk mengkhususkan kebaikan itu kepada al-Quran sahaja, maka mengapakah ada ayat di atas yang memerintahkan kita supaya sentiasa berkata perkataan yang baik ( tepat dan benar )?
Ini jelas membuktikan bahawa bukanlah al-Quran itu sahaja perkataan yang benar, tapi ada perkataan lain juga yang boleh dianggap benar. Namun, sebab sebenar digunakan bentuk " melebihkan sifat " terhadap al-Quran, seperti mana yang kami sebutkan di atas, adalah untuk " memenangkan " kebaikan dan kemuliaan al-Quran di atas sekalian perkataan lain dan " meninggikannya " tanpa menghapuskan kebaikan dan kemuliaan dalam perkataan-perkataan lain ( yang bukan al-Quran ). Ini bersesuaian dengan maksud firman Allah:
وَمَنْ أَصْدَقُ مِنَ اللَّهِ حَدِيثًا
"Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah?" - [ an-Nisaa': 4/87 ].
"Lebih benar perkataannya daripada Allah" tidaklah membawa maksud bahawa perkataan lain itu tidak benar dan semuanya dusta dan hanya perkataan Allah sahaja yang memegang kebenaran. Ada perkataan yang terbit daripada lidah seorang manusia yang jujur, ada pula perkataan yang memuji-muji kebesaran Allah atau mengajak manusia supaya berbuat kebajikan, mematuhi segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya. Semua itu merupakan perkataan yang baik yang diperintahkan oleh Allah supaya kita sentiasa berkata-kata dengannya.
Maka, berdasarkan keterangan yang kami kemukakan di atas, tidaklah benar untuk dikatakan bahawa hanya al-Quran sahaja yang merupakan perkataan yang baik di sisi Allah. Namun, yang benar adalah, al-Quran merupakan sebaik-baik perkataan, yakni perkataan yang paling tinggi darjat kebaikannya di atas segala perkataan lain. Ini ada satu perkara yang jelas dan mampu difahami oleh sesiapa pun kerana seperti mana yang maklum, al-Quran itu adalah perkataan Allah sendiri, dan tidak ada perkataan yang lebih baik dan tinggi mutu serta kualitinya, serta mendalam hikmahnya selain daripada perkataan Allah.
Dengan ini, telah terhapuslah kebenaran di dalam dakwaan golongan anti-hadis yang mengatakan al-Quran itu sahaja perkataan Allah yang patut kita pegang, dan sesuatu yang menjadi kesalahan untuk menggunakan ayat ini bagi merujuk kepada hadis-hadis Rasulullah. Kerana sekiranya dikatakan bahawa perkataan manusia biasa yang bukan Nabi dan bukan Rasul benar dan terkandung kebaikan dalamnya, apatah lagi perkataan Rasulullah yang menempati kedudukan wahyu kedua setelah al-Quran?
Maka, al-Quran adalah perkataan Allah yang terbaik dan hadis-hadis Rasulullah itu berada di bawahnya, kerana perkataan Rasul merupakan wahyu dan tidak sama dengan perkataan manusia biasa yang bukan wahyu. Dalam erti kata lain, kita boleh menyimpulkannya seperti berikut:
Tingkatan perkataan-perkataan yang baik dan terpuji di sisi Allah.
1. al-Quran - adalah perkataan terbaik, kerana ia merupakan perkataan Allah yang Maha Benar, di mana kebenaranNya tidak dapat ditandingi oleh sesuatu apa pun. al-Quran adalah wahyu Allah dalam bentuk perkataan Allah yang rasmi - Ia memiliki lafaz, yakni kalimah-kalimah yang tersusun, yang susunannya dibuat oleh Allah sendiri - dan ia juga memiliki makna - sesuatu yang boleh difahami oleh akal waras sesiapa sahaja yang membacanya.
2. Hadis-hadis Rasulullah - adalah perkataan kedua terbaik, kerana ia merupakan wahyu dari Allah juga seperti mana al-Quran. Tingkatannya berada di bawah al-Quran, kerana itu, ia adalah perkataan yang kedua terbaik setelah al-Quran. Hadis-hadis adalah wahyu Allah yang wujud dalam bentuk makna sahaja, namun tidak memiliki lafaz tersusun yang dibentuk oleh Allah sendiri seperti mana al-Qur'an.
Setiap apa yang Nabi perkatakan atau " al-Hadiith " [ الحَدِيْثُ ] yang terkait dengan persoalan hukum ahkam, tarbiah akhlak, pengajaran dan nasihat, adalah wahyu yang bersumber dari Allah. Namun, Allah menyampaikan makna wahyu tersebut kepada Rasulullah dan Baginda dibenarkan untuk mengolahkan semula bentuk wahyu itu ke dalam perkataan Baginda sendiri dengan menggunakan kefasihan dan kebijaksanaan Baginda dalam berbicara.
Seperti apabila seorang general mengatakan kepada orang bawahannya: "Kamu perintahkanlah kepada semua askar kita supaya menyiapkan senjata mereka". Maka, general ini telah memberikan arahan kepada orang bawahannya dari sudut maknanya sahaja, dan orang bawahan itu dibenarkan untuk mengolahkan semula makna arahan itu ke dalam bentuk perkataannya sendiri. Maka, dia dibenarkan untuk mengeluarkan perkataan-perkataan seperti: "Sekalian askar, tolong bersiap sedia dengan senjata masing-masing". Dia boleh juga berkata dalam bentuk lain: "Sekalian askar, ambil semua senjata kamu dan berjaga-jaga".
Jadi, orang bawahan itu telah pun mengolahkan semula makna yang terkandung dalam arahan general itu dengan menggunakan kefasihannya dalam berbicara. Semua askar itu tetap menerima arahan daripada general melalui perkataan orang bawahan general itu. Walaupun perkataannya daripada orang bawahan, makna arahan itu tetap bersumberkan dari general.
Begitulah keadaannya dengan hadis-hadis Rasulullah. Makna wahyu itu tetap bersumberkan dari Allah, setiap arahan, larangan, peringatan, pengajaran dan nasihat. Namun, Rasulullah dizinkan untuk menggunakan kefasihan dan kebijaksanaan Baginda berkata-kata untuk mengolahkan semula makna wahyu itu ke dalam bentuk perkataan Baginda sendiri.
Ini adalah salah satu tanda kenapa Allah sendiri yang mengkehendaki untuk memuliakan Baginda dengan sifat fasih dan bijak dalam bertutur, kerana sebagai seorang Rasul utusan akhir zaman yang merupakan pemimpin Islam, Baginda terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran yang berat dalam melaksanakan tanggungjawab Baginda. Bagaimana Baginda Rasulullah dapat melaksanakan tanggungjawab tersebut sekiranya Baginda tidak dikurniakand dengan kelebihan ini?
3. Perkataan manusia biasa yang mengandungi kebaikan - Setiap perkataan yang terbut daripada lidah seorang manusia yang mengandungi kebaikan, kebenaran, kelurusan, kejujuran, seruan ke arah iman, takwa, amal soleh, dan akhlak terpuji yang ditekankan oleh Islam. Seorang manusia yang benar dalam perkataanNya sentiasa dikasihi dan diredhai Allah, dan perkataannya itu menjadi cahaya yang menghidupkan hati-hati manusia yang malap. Termasuk dalam " perkataan terpuji " ini adalah setiap perkataan yang baik seperti seruan yang mengajak manusia supaya berbuat kebajikan dan mencegah dari manusia yang berbuat kemungkaran. Ini amatlah bertepatan dengan apa yang difirmankanNya:
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
"Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam" - [ Fusshilat: 41/33 ].
Ayat-ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Allah memandang terpuji setiap perkataan yang baik yang mengajak manusia ke arah iman, takwa, amal soleh, akhlak mahmudah ( akhlak yang terpuji ) yang diajarkan oleh Islam dan sebagainya. Jadi, apakah tidak ini menunjukkan kepada kita bahawa Allah memandang terpuji perkataan-perkataan manusia biasa selain perkataanNya sendiri?
Alhamdulillah, berakhir sudah penjelasan saya di sini. Hanya kepada Allah kita mengadu dan hanya kepadaNya kita mohon pertolongan. Mudah-mudahan Allah dengan segala rahmat dan kasih sayangNya memberikan petunjuk dan hidayahNya kepada diri kita.
No comments:
Post a Comment