Selamat Datang


Dan di antara mereka pula ada orang-orang yang buta huruf, mereka tidak mengetahui akan isi al-Kitab selain dari angan-angan (penerangan-penerangan bohong dari ketua-ketua mereka), dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja." - [ al-Baqarah: 2/78 ].

Ketahuilah! Sesungguhnya aku telah diutuskan dengan al-Qur'an dan yang seumpamanya (as-Sunnah) bersama-sama. Hampir sahaja (munculnya) seorang lelaki yang kekenyangan sambil bersandar di atas katilnya lalu berkata: Hendaklah kalian berpegang kepada al-Qur'an ini sahaja, apa yang dihalalkannya maka halalkanlah dan apa yang diharamkannya. maka haramkanlah - Ketahuilah, apa yang diharamkan oleh Rasul itu serupa seperti apa yang diharamkan Allah". - [ Tirmizi, Abu Daud, Ibn Majah, Ahmad ].

Friday, April 20, 2012

Sanggahan ke atas golongan anti hadis bahawa tiada azab kubur

Golongan anti hadis ini juga didapati menafikan berlakunya perkara 'ghaib selepas mati', contohnya seperti siksaan kubur selepas mati kerana ia tidak disebut di dalam Al-Quran dan hadis mengenainya adalah palsu belaka.

Sebenarnya apa yang perlu dicari dalam al-Quran adalah petunjuk dan bukan perkataan.... kerana banyak perkataan memang tiada dalam al-Quran tetapi banyak petunjuk amat jelas misalnya mengenai siksa kubur ini.... dan ia sesuai dengan sifat al-Quran itu sendiri sebagai petunjuk.

Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa. [ al-Baqarah 2: 2 ]


Sebelum memeriksa dalil al-Quran mari kita lihat hadis2 sahih mengenai siksa kubur ini......

Diriwayatkan oleh Aisyah r.a.:

“Aku tidak lihat Rasulullah s.a.w selepas solat melainkan baginda meminta perlindungan daripada azab kubur”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Diriwayatkan ‘Aisyah:

“Ya Allah aku memohon perlindungan dengan-Mu daripada azab kubur.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Rasulullah bersabda,

"Sesungguhnya kubur ialah tempat perhentian yang pertama dari tempat-tempat perhentian alam akhirat. Oleh itu jika seseorang terselamat dari huru-hara azabnya, maka huru-hara di tempat lain lebih ringan lagi kepadanya dan jika ia tidak terselamat dari yang tersebut, maka huru- hara di tempat-tempat yang lain lebih berat lagi.
(Riwayat At-Tirmidhi dan Ibnu Majah)



dan ia adalah selari dengan beberapa petunjuk al-Quran beikut......

1.

Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dalam penderitaan "sakratul-maut" (ketika hendak putus nyawa), sedang malaikat-malaikat pula menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyeksa orang-orang itu) sambil berkata (dengan menengking dan mengejek): "Keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh kamu sendiri); pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina (kamu) sehina-hinanya disebabkan apa yang telah kamu katakan terhadap Allah dengan tidak benar dan kamu pula (menolak dengan) sombong takbur akan ayat-ayat keteranganNya". [al-An‘aam 6:93]

Ungkapan …pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina… mengandung makna azab ketika akan mati atau azab di dalam alam Barzakh. Ini kerana seandainya yang dimaksudkan dengan azab pada ayat di atas adalah selepas Hari Kiamat maka sudah tentu ia tidak disebut sebagai …pada hari ini kamu dibalas.

2.

Dan Firaun bersama-sama kaumnya ditimpa azab seksa yang seburuk-buruknya. Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam Barzakh); dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): “Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!” [al-Mukmin 40:45-46]

Allah memperlihatkan (mendedahkan) azab kepada Firaun dan pengikutnya pagi dan petang lalu kemudian menyiksa mereka dengan azab yang keras setelah kiamat. Ini bermakna azab sebelum kiamat itu adalah azab kubur dan bukan azab di akhirat (neraka) mahupun di dunia. Ini kerana:

Azab tersebut berlaku sebelum kiamat.
Di alam akhirat tidak ada pagi dan petang.
Azab tidak diperlihatkan (‘aradh) kepada Fir’aun di dunia.
Ayat ini untuk umum tidak hanya khusus untuk Fir’aun dan pengikutnya saja. (Kaedah Ilmu Tafsir)

3.

Disebabkan dosa-dosa dan kesalahan mereka, mereka ditenggelamkan, kemudian dimasukkan ke dalam neraka; maka mereka tidak akan beroleh sebarang penolong yang lain dari Allah (yang dapat memberikan pertolongan). [Nuh 71:25]

Ayat ini menyatakan azab yang ditimpakan ke atas orang-orang dari umat Nabi Nuh ‘alaihissalam. Setelah mereka ditenggelamkan kerana kesalahan-kesalahan mereka (مما خطيئاتهم أغرقوا) lalu Allah sambung dengan (فأدخلوا نارا) kemudian dimasukkan ke dalam neraka. Maksud neraka di sini ialah azab di alam Barzakh dan bukan di alam setelah Kiamat sebab kata sambung (‘ataf) yang digunakan dalam ayat di atas adalah huruf (الفاء) = (فأدخلوا). Menurut kaedah bahasa Arab, kegunaan kata sambung (الفاء) mengandung makna tertib yang dekat bukan berselang lama. Kaedah tersebut dalam bahasa Arab disebut:

أنَّ الْعَطْفَ بِالْفَاءِ يَقْتَضِى التَّرْتِيْبَ مَعَ التَّعْقِيْبِ مِنْ غَيْرِ تَرَاخٍ

Atas dasar kaedah ini maka maksud ayat di atas adalah, umat Nuh yang derhaka itu dimasukkan terus ke dalam neraka setelah mereka ditenggelamkan tanpa menunggu lama. Demikianlah menurut zahir ayat. Ia tidak bermaksud azab api neraka setelah Hari Kiamat kerana azab tersebut masih lama setelah kejadian taufan Nabi Nuh a.s.

4.

Bermegah-megahan telah melalaikan kamu , sampai kamu masuk ke dalam kubur. [al-Takaathur 102:1-2]

Diriwayatkan bahawa 'Ali r.a berkata:

Kami masih meragukan akan adanya azab kubur sehingga turunlah ayat ini.
(Sunan al-Tirmizi, Kitab al-Tafsir, no: 3413)

5.

Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan dia pada Hari Kiamat dalam keadaan buta. [Ta-Ha 20:124]

Imam Ibn Katsir ketika menafsirkan ayat di atas mengemukakan sebuah hadis daripada Abi Hurairah r.a bahawa Nabi berkata tentang firman Allah: (فإن له معيشة ضنكا) maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, maksudnya adalah azab kubur. Berkata Imam Ibn Katsir setelah itu: “Isnadnya jayyid (baik).”

http://hafizfirdaus.com/ebook/HimpunanRisalah1/chapter1%20dalil%20alquran.htm

1 comment:

  1. Salam,

    Saya penuh yakin sistem mahkamah atau sistem keadilan Allah adalah sistem sebaik-baiknya dan wajib dicontohi oleh maklukNya (manusia) untuk menjalani sistem keadilan tersebut.

    Sistem keadilan Allah,

    1. Bicara (mahkamah akhirat)
    2. Jatuh hukum (salah/tidak)
    3. Jalani hukuman tersebut (neraka/syurga).

    Tuan segolongan percaya....

    1. Jalani hukuman (siksa kubur)
    2. Buat perbicaraan
    3. Jatuh hukuman dan jalani hukuman semula..

    Dalam dunia (mahkamah dunia)ini pun setiap pesalah perlu dibicarakan dahulu sebelum dihukum.... bukan disiksa dlm lokap sehingga lebam baru nak dibicarakan.... apatah lagi sistem ISA jatuh hukuman tanpa bicara....

    ReplyDelete