Selamat Datang


Dan di antara mereka pula ada orang-orang yang buta huruf, mereka tidak mengetahui akan isi al-Kitab selain dari angan-angan (penerangan-penerangan bohong dari ketua-ketua mereka), dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja." - [ al-Baqarah: 2/78 ].

Ketahuilah! Sesungguhnya aku telah diutuskan dengan al-Qur'an dan yang seumpamanya (as-Sunnah) bersama-sama. Hampir sahaja (munculnya) seorang lelaki yang kekenyangan sambil bersandar di atas katilnya lalu berkata: Hendaklah kalian berpegang kepada al-Qur'an ini sahaja, apa yang dihalalkannya maka halalkanlah dan apa yang diharamkannya. maka haramkanlah - Ketahuilah, apa yang diharamkan oleh Rasul itu serupa seperti apa yang diharamkan Allah". - [ Tirmizi, Abu Daud, Ibn Majah, Ahmad ].

Thursday, April 19, 2012

Penjelasan Tentang Makna Sebenar al-Wahyu ( الوَحْيُ ) Dan Masalah “Takhsis” (pengkhususan) Wahyu Dengan al-Quran – Bantahan Kepada Dakwaan yang Mengatakan Wahyu Itu Dikhususkan dengan al-Quran Sahaja.

Ini adalah satu bab yang istimewa, di mana kami mengemukakan satu penjelasan dalam bentuk yang mampu dinilai oleh semua orang, tentang satu persoalan yang kami timbulkan apabila kami melihat beberapa salah faham yang wujud pada pemikiran anti-hadis terhadap apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan kalimah "al-wahyu" ( الوَحْيُ ). Mereka sesungguhnya tidak pernah memahami dan tidak pernah berusaha pun untuk memahami apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan wahyu itu. Kerana inilah, timbul salah faham yang paling serius pada pemikiran mereka: Bahawa wahyu itu hanyalah al-Quran semata-mata dan bukannya as-Sunnah. Padahal kita telah mengetahui bahawa Sunnah itu juga merupakan sebahagian dari wahyu. Jadi, kami akan mengemukakan beberapa bantahan terhadap salah faham ini dalam bentuk yang kami fikirkan terbaik untuk dinilai oleh kemampuan akal fikiran pembaca sekalian.

Juga, kami akan memperjelaskan perkara berkenaan perihal | "takhsiis al-wahyu bi al-qur'aan" | ( تَخْصِيْصُ الوَحْيُ بِالْقُرْآنِ ) atau "pengkhususan wahyu dengan al-Qur'an" sebagai jawapan bantahan kepada dakwaan yang ditimbulkan oleh golongan anti-hadis yang mendakwa perkataan "wahyu" itu hanya merujuk kepada al-Quran semata-mata, dan tidak termasuk as-Sunnah. Kami tegaskan, tidak pernah wujud satu pun ayat-ayat al-Quran yang dengan tegasnya mengemukakan bentuk pengkhususan pada setiap tempat yang menyebutkan lafaz-lafaz seperti "wahyu", atau "apa yang diturunkan kepada engkau" sehingga ia merujuk hanya kepada al-Quran sahaja.

Perkataan "al-wahyu" ( الوَحْيُ ) adalah perkataan Bahasa Arab yang boleh memilki maksud dari dua sudut: dari sudut | lughah | ( لُغَةٌ ) atau bahasa dan dari sudut istilah. Adapun makna dari sudut bahasanya itu adalah makna yang asalnya, dan makna dari sudut istilah itu adalah makna yang diguna pakai dalam al-Qur'an dan Islam secara keseluruhannya. Terdapat beberapa tempat dalam al-Quran di mana perkataan "wahyu" itu digunakan merujuk kepada makna asalnya, yakni makna dari segi bahasa dan tidak merujuk kepada makna dari segi istila, yaki kitab-kitab Allah seperti al-Qur'an, Injil, Taurat dan Zabur.

Sekiranya kita memerhatikan makna perkataan "al-wahyu" ( الوَحْيُ ) itu dari sudut bahasa, kita akan mendapati bahawa penggunaannya merujuk kepada beberapa makna, antaranya :

1. Isyarat yang cepat ( الإِشَارَةُ السَّرِيْعَةُ )
2. Isyarat yang rahsia ( الإِيْمَاءَةُ الخَفِيَّةُ )
3. Pemberitahuan dan penyampaian secara rahsia dan tersembunyi ( الإِعْلَامُ أَوْ الإِلْقَاءُ بِخَفِيٍّ )
4. Mencampakkan pengetahuan terus ke dalam hati atau ilham ( الإِلْهَامُ )

Sekiranya kita memerhatikan makna-makna perkataan di atas, kita akan mendapati bahawa perkataan wahyu itu memiliki penggunaan yang sedikit berbeza-beza. Namun, semua makna tersebut memiliki perkaitan. Perkataan "wahyu" yang merujuk kepada makna "isyarat yang tersembunyi dan pantas" membawa maksud, ianya tersembunyi dan pantas sehingga tidak dapat diketahui oleh sesiapa pun kecuali orang yang menerima wahyu itu sendiri. Ia juga merujuk kepada makna "pemberitahuan atau penyampaian sesuatu ilmu dalam bentuk yang halus dan tersembunyi". Jadi, digabungkan semua makna tersebut, perkataan wahyu boleh merujuk kepada "isyarat yang berfungsi untuk memberitahu, mengajarkan atau menyampaikan sesuatu pengetahuan, arahan atau kehendak tertentu secara pantas dan tersembunyi". Perkataan "ilham" juga boleh digunakan untuk merujuk kepada makna ini. Di dalam al-Quran, wujud beberapa tempat di mana perkataan "al-wahyu" digunakan untuk merujuk kepada makna-makna ini. Di sini, saya kemukakan ayat-ayat tersebut :

Firman Allah, Surah Fusshilat, ayat 12.

فَقَضَاهُنَّ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ فِي يَوْمَيْنِ وَأَوْحَىٰ فِي كُلِّ سَمَاءٍ أَمْرَهَاۚ وَزَيَّنَّا السَّمَاءَ الدُّنْيَا بِمَصَابِيحَ وَحِفْظًاۚ ذَٰلِكَ تَقْدِيرُ الْعَزِيزِ الْعَلِيمِ

"Lalu Ia menjadikannya tujuh langit, dalam dua hari dan Ia mewahyukan (memberitahu) kepada tiap-tiap langit akan urusan dan keperluannya masing-masing. Dan Kami hiasi langit yang dekat (pada pandangan mata penduduk bumi) dengan bintang-bintang yang bersinar cemerlang serta memelihara langit itu dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui." – [ Fusshilat : 41/12 ].

Di dalam ayat ini, perkataan wahyu yang digunakan adalah "awhaa" ( أَوْحَى ) wujud pada frasa "wa awhaa fii kulli samaa'in amraha" ( وَأَوْحَى فِيْ كُلِّ سَمَاءٍ أَمْرَهَا ) - "Dan Dia mewahyukan kepada tiap-tiap langit akan urusannya". Di dalam ayat ini, perkataan wahyu membawa maksud "mengajarkan" atau "menyampaikan pengetahuan" secara tersembunyi kepada tujuh lapis langit tersebut akan peraturan-peraturan dan urusannya masing-masing, seperti berlakunya putaran dan peredaran antara planet-planet, pergolakan haba yang terjadi dalam bintang-bintang yang menjadikannya berkekuatan untuk memancarkan cahaya di sekelilingnya, dan segala sesuatu peraturan dan hukum yang terjadi pada semua tujuh lapis langit tersebut.

Firman Allah, Surah az-Zalzalah, ayat 4 – 5.

يَوْمَئِذٍ تُحَدِّثُ أَخْبَارَهَا ﴿٤﴾ بِأَنَّ رَبَّكَ أَوْحَىٰ لَهَا

"Pada hari itu bumipun menceritakan perkhabarannya. Bahawa Tuhanmu telah mewahyukannya (berlaku demikian)." – [az-Zalzalah: 99/4 – 5].

Di dalam ayat ini disebutkan bahawa pada hari Kiamat itu, bumi akan menceritakan segala perkhabarannya, yakni segala sesuatu yang pernah terjadi di atasnya daripada segala amal perbuatan baik dan jahat. Kemudian, setalah itu, disebutkan bahawa Allah yang "mewahyukan" kepada bumi untuk melakukan sedemikian. Di sini, perkataan "mewahyukan" membawa maksud "memberi isyarat" atau "Allah menyampaikan kepada bumi sesuatu yang berupa kehendakNya sendiri, yakni perintahNya supaya bumi mengkhabarkan setiap perbuatan baik dan buruk yang terjadi di atasnya". Di sini, perkataan "awhaa" ( أَوْحَى ) juga telah digunakan.

Firman Allah, Surah an-Nahl, ayat 68.

وَأَوْحَىٰ رَبُّكَ إِلَى النَّحْلِ أَنِ اتَّخِذِي مِنَ الْجِبَالِ بُيُوتًا وَمِنَ الشَّجَرِ وَمِمَّا يَعْرِشُونَ

"Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: "Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia." – [ an-Nahl: 16/68 ].

DI sini, di dalam ayat ini, perkataan "awhaa" ( أَوْحَى ) digunakan lagi. Yakni "dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah …" ( وَأَوْحَى رَبُّكَ إِلَى النَّحْلِ ). Perkataan "mewahyukan" di sini membawa maksud "menyampaikan ilmu atau pengetahuan tentang sesuatu tabiat atau kebiasan naluri" atau "memberi ilham" kepada lebah-lebah tersebut tentang sesuatu yang menjadi naluri dan tabi’i kepada lebah, yakni membuat sarang atau mencipta rumah tempat tinggal. Dan penyampaian ini juga terjadi secara halus dan tersembunyi, tidak ada binatang lain yang mengetahui bagaimana caranya untuk membuat sarang di gunung-ganang dan pokok-pokok kayu melainkan bintang yang bernama lebah sahaja.

Firman Allah, Surah al-Qishaash, ayat 7.

وَأَوْحَيْنَا إِلَىٰ أُمِّ مُوسَىٰ أَنْ أَرْضِعِيهِۖ فَإِذَا خِفْتِ عَلَيْهِ فَأَلْقِيهِ فِي الْيَمِّ وَلَا تَخَافِي وَلَا تَحْزَنِيۖ إِنَّا رَادُّوهُ إِلَيْكِ وَجَاعِلُوهُ مِنَ الْمُرْسَلِينَ

"Dan Kami mewahyukan kepada ibu Musa: Susukanlah dia; dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari Rasul-rasul Kami" – [ al-Qishaash: 28/7 ].

Pada ayat ini, perkataan wahyu telah digunakan, yakni "kami mewahyukan kepada ibu Musa" ( أَوْحَيْنَا إِلَى أُمِّ مُوسَى ). Di sini, perkataan "mewahyukan" membawa makna "memberi ilham atau petunjuk" kepada ibu Nabi Musa as. agar menyusukannya ketika Baginda masih bayi dan sedang lapar.

Firman Allah, Surah al-Maaidah, ayat 111.

وَإِذْ أَوْحَيْتُ إِلَى الْحَوَارِيِّينَ أَنْ آمِنُوا بِي وَبِرَسُولِي قَالُوا آمَنَّا وَاشْهَدْ بِأَنَّنَا مُسْلِمُونَ

"Dan (ingatlah) ketika Aku mewahyukan kepada orang-orang Hawariyyiin (sahabat-sahabat karib nabi Isa): "Berimanlah kamu kepadaku dan kepada RasulKu!" Mereka menjawab: "Kami telah beriman, dan saksikanlah, bahawa sesungguhnya kami orang-orang Islam (yang menyerah diri kepada Allah)" – [ al-Maaidah: 5/111 ].

Dalam ini, perkataan "Aku mewahyukan kepada Hawariyyiin" ( أَوْحَيْت إِلَى الحَوَاريُّيْنَ ) merujuk kepada makna yang sama dengan ayat di atas, yakni "ilham". Allah memberi ilham kepada hati mereka atau memberitahu kepada mereka akan perintahNya atau kehendakNya supaya mereka beriman kepadaNya dan kepada RasulNya.

Firman Allah, Surah Yusuf, ayat 15.

فَلَمَّا ذَهَبُوا بِهِ وَأَجْمَعُوا أَن يَجْعَلُوهُ فِي غَيَابَتِ الْجُبِّۚ وَأَوْحَيْنَا إِلَيْهِ لَتُنَبِّئَنَّهُم بِأَمْرِهِمْ هَٰذَا وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ

"Setelah mereka (saudara-saudara Nabi Yusuf) pergi dengan membawanya (Nabi Yusuf) bersama dan setelah mereka sekata hendak melepaskan dia ke dalam perigi, (mereka pun melakukan yang demikian), dan kami pula ilhamkan kepadanya:" Sesungguhnya engkau (wahai Yusuf) akan memberi tahu mereka tentang hal perbuatan mereka ini, sedang mereka tidak sedar (dan tidak mengingatinya lagi) ". – [ Yusuf: 12/15 ].

Dalam ayat ini, diceritakan kisah Nabi Yusuf as, ketika Baginda dicampakkan oleh saudara-saudara Baginda ke dalam perigi dan ditinggalkan begitu sahaja, sedangkan Baginda masih kecil, Allah "mewahyukan", yakni mendatangkan ilham kepada hatinya, atau memberitahu kepadanya satu perkhabaran bahawa dia akan menceritakan semula pengkhianatan yang dilakukan oleh abang-abangnya itu suatu hari nanti sedangkan mereka tidak lagi mengingati persitiwa itu.

Sekarang, saya berkeinginan untuk melontarkan satu persoalan kepada golongan anti-hadis: Di dalam semua ayat-ayat di atas, kita dapat melihat penggunaan perkataan wahyu.

1. Allah mewahyukan kepada tujuh lapis langit segala peraturan dan hukum ahkamnya masing-masing, sehingga segala-galanya berjalan dengan teratur. ( Fussilat: 41/12 ). Adakah Allah "mewahyukan" kepada langit dan wahyu itu berbentuk al-Kitab?

2. Allah mewahyukan kepada bumi supaya menceritakan segala perkhabarannya (segala perbuatan baik dan buruk yang berlaku di atasnya). ( az-Zalzalah: 99/4 – 5 ). Adakah Allah "mewahyukan" kepada bumi perkara tersebut berbentuk al-Kitab?

3. Allah mewahyukan kepada lebah untuk membina sarangnya di gua-gua, gunung ganang dan di bangunan binaan manusia. ( an-Nahl: 16/68 ). Adakah Allah "mewahyukan" kepada lebah dan wahyu tersebut berbentuk al-Kitab?

4. Allah mewahyukan kepada ibu Nabi Musa as. supaya beliau menyusukan Baginda. ( al-Qishaash: 27/8 ). Adakah wahyu itu berbentuk al-Kitab?

5. Allah mewahyukan kepada pengikut-pengikut Nabi Musa as. yang bernama al-Hawariyyun supaya beriman kepadaNya dan kepada RasulNya. ( al-Maaidah: 5/111 ). Adakah wahyu itu juga berbentuk al-Kitab? Sedangkan "wahyu" Allah yang berupa al-Kitab itu hanya diberikan kepada para Nabi dan Rasul sahaja sedangkan golongan al-Hawaariyyun itu masih lagi manusia biasa.

6. Allah mewahyukan kepada Nabi Yusuf as., ketika Baginda dicampakkan ke dalam perigi oleh saudara-saudara Baginda, bahawa engkau (Yusuf) akan menceritakan semula perbuatan mereka ini pada satu masa nanti sedangkan mereka tidak lagi mengetahuinya. ( Yusuf: 12/15 ). Adakah wahyu ini diberikan dalam bentuk al-Kitab?

Berdasarkan kenyataan-kenyataan di atas, perkataan "wahyu" dalam semua ayat di atas telah disebutkan, namun ia tidak merujuk kepada wahyu yang diturunkan Allah dalam bentuk al-Kitab, seperti Zabur, Taurat, Injil atau al-Quran. Sekiranya tidak begitu, adakah hanya untuk mewahyukan kepada lebah-lebah supaya membuat sarangnya sahaja, Allah menurunkan al-Kitab kepada semua lebah tersebut? Ini sesuatu yang tidak masuk akal sama sekali. Kerana lebah adalah makhluk Allah yang berupa binatang, dimanakah mungkin lebah boleh menerima al-Kitab?

Apabila demikian keadaannya, tidakah Allah juga boleh menurunkan as-Sunnah kepada Rasulullah sebagai salah satu daripada bentuk-bentuk wahyunya yang bukan berbentuk al-Kitab? Kerana seperti mana al-Quran itu satu bentuk wahyu yang membawa makna "isyarat" atau "pengajaran", "pemberitahuan", dan "penyampaian" setiap hukum ahkam, peraturan, perintah, larangan, peringatan dan pengajaran, janji-janji Allah kepada sekalian ummat manusia, as-Sunnah juga adalah satu bentuk atau cara wahyu yang lain, yang juga mengandungi semua perkara tersebut. Maka, telah jelas tidak ada apa-apa pertentangan dan tidak wujud dakwaan yang mengatakan bahawa wahyu itu hanya dikhususkan kepada al-Quran sahaja, bahkan as-Sunnah itu juga adalah wahyu Allah yang diturunkan kepada Rasulullah, wajib kita beriman dengan kedua-duanya. Kedua-dua al-Quran dan as-Sunnah memang menjadi "bentuk-bentuk" kepada wahyu itu sendiri.

Demikianlah, telah kami kemukakan semua penjelasan berkenaan dengan makna asal perkataan "al-wahyu" itu. Tidak ada satu pun penetapan dalam Bahasa Arab, yakni bahasa al-Quran itu sendiri yang mengatakan bahawa perkataan wahyu itu hanya digunakan untuk merujuk kepada satu-satu makna tertentu sahaja kerana sememangnya telah menjadi satu ketetapan bahawa perkataan wahyu itu di antara kalimah-kalimah Bahasa yang memiliki banyak makna. Lalu, dakwaan golongan anti-hadis yang mengatakan kalimah wahyu diterhadkan maknanya hanya kepada al-Quran sahaja, ini jelas sesuatu yang tidak tepat sama sekali. Kemudian, perkataan wahyu ini digunakan dalam istilah Islam untuk merujuk kepada 2 perkara :

1) Al-Quran – Perkataan Allah yang rasmi berupa hukum ahkamNya, peringatan, pengajaran, khabar gembira, ancaman, dan janji-janji Allah yang diturunkannya kepada RasulNya, seorang manusia biasa melalui perantaraan Rasul daripada kalangan makhluk ghaib yang bukan manusia, yakni Malaikat Jibrail as.

Al-Quran adalah "wahyu" – yakni "isyarat", "pengajaran", atau "penyampaian" dalam bentuk perkataan Allah yang rasmi yang memiiliki lafaz-lafaz (yang boleh dibaca) dan makna-makna (yang boleh difahami oleh akal yang waras).

2) As-Sunnah – Isyarat yang berupa penyampaian dan pengajaran daripada Allah yang terdiri daripada hukum ahkam, peringatan, pengajaran, khabar gembira, ancaman, dan janji-janji Allah, kepada Rasul yang disampaikannya juga melalui perantaraan, atau tanpa melalui perantaraan (dalam bentuk ilham atau penyampaian terus kepada hati). Sehingga pengajaran tersebut dilaksanakan oleh Rasul dalam bentuk :

i) Perbuatan atau "al-af’aal" ( الأَفْعَالُ ) Rasulullah.
ii) Perkataan atau "al-hadis" ( الحَدِيْثُ ) Rasulullah.
iii) Pengakuan atau "at-taqriir" ( التَّقْرِيْرُ ) Rasulullah.

As-Sunnah adalah "wahyu" - yakni "isyarat", "pengajaran", atau "penyampaian" bukan dalam bentuk perkataan Allah yang rasmi, tapi sebaliknya dalam bentuk makna-makna sahaja tanpa lafaz-lafaz. Maka Allah membenarkan Rasulullah menggunakan kebijaksanaan dan kepetahan Baginda dalam berbicara untuk mengolahkan semula makna-makna tersebut dalam bentuk perkataan Baginda sendiri ( al-Hadis, ba: الحَدِيْثُ ). Dan Baginda mengamalkan makna-makna yang diwahyukan tersebut dalam bentuk perbuatan Baginda sendiri ( al-Af’aal, ba: الأَفْعَالُ ) dan pengakuan Baginda terhadap hukum sesuatu perkara atau masalah ( at-Taqriir, ba: التَّقْرِيْرُ ).

al-Qur'an adalah bentuk wahyu yang merupakan perkataan Allah yang rasmi yang wujud secara makna dan lafaz dari Allah as-Sunnah pula adalah bentuk wahyu yang wujud secara makna dari Allah, namun disembunyikan dalam bentuk perkataan ( hadis ), perbuatan ( af'aal ) dan pengakuan ( taqriir ) Rasulullah seperti yang dijelaskan di atas.

Dengan itu, jelas segala penyimpangan yang dilakukan oleh golongan anti-hadis dan telah terbatal segala hujjah mereka. Maka, dakwaan yang mengatakan bahawa wahyu itu hanya bermaksud al-Quran sahaja adalah satu dakwaan yang tidak benar dan tidak berasas sama sekali. Dakwaan ini terbit kerana golongan anti-hadis tidak pernah memahami makna kalimah-kalimah 'Arab denan baik. Ini tidaklah bermakna kita menafikan al-Qur'an itu sebagai wahyu Allah, sebaliknya kita tetap mengakuinya sebagai salah satu daripada wahyu, dan di dalam masa yang sama, tidak menafikan bahawa as-Sunnah itu juga wahyu dari Allah. Allah lebih Mengetahui apa yang benar.

No comments:

Post a Comment